06 November 2008

Firman Allah taala:Orang-orang yang telah Kami berikan Al Kitab kepadanya, mereka membacanya dengan bacaan yang sebenarnya,mereka itu beriman kepadanya. Dan barangsiapa yang ingkar kepadanya, maka mereka itulah orang-orang yang rugi
(Surah A-Baqarah ayat 121)

Pada 29hb Oktober 2008 saya sempat menghadiri sesi temuduga terbuka JQAF di Maktab Perguruan Tengku Ampuan Afzan di Lipis.Jadual keberangkatan saya ke Lipis dari Chenor pada hari itu seawal pukul 4.00pg dengan ditemani Ayah Chik,abah dan emak.Alhamdulillah kami selamat sampai ke maktab tersebut lebih kurang pukul 7.30pg.Sempat saya menyelak-nyelak sedikit bacaan sementara menanti sesi temuduga yang dijadualkan bermula pukul 8.00pg.Dengan kedatangan yang menanti untuk ditemuduga pagi itu lebih kurang 35orang,kami dibahagikan kepada 2 panel.
Temuduga dimulakan dengan sesi mengisi borang,kemudian kami diuji dengan ujian syaksiah perguruan yang berbentuk objektif,dalam masa setengah jam kami perlu menyelesaikan lebih kurang 130 soalan.Seterusnya kami dikenakan membuat essei di dalam Bahasa Arab.Seterusnya kami dipanggil seorang demi seorang untuk ujian lisan.Alhamdulillah saya dapat menyelesaikan sesi temuduga walaupun natijahnya saya tidak pasti bila akan diketahui.Semoga natijah yang bakal saya terima adalah yang terbaik buat diri saya,Insyaallah.
Begitulah serba sedikit pengalaman saya menghadiri temuduga JQAF,manalah tahu ada sahabat yang berminat juga untuk mengisi borang JQAF nanti.:)
Setulusnya saya kurang berminat untuk mengajar di bawah program JQAF ini atas sebab-sebab tertentu yang saya fikirkan logik.Namun agak ramai yang memberikan galakan untuk saya menyertainya.sehingga ke hari ini saya masih tidak dapat mempertimbangkan adalah wajar untuk diri saya?
Apa itu JQAF?
Setahu saya ianya adalah kependekan daripada perkataan Jawi,Al-Quran,Bahasa Arab dan Fardhu Ain(Saya pasti semua makruf mengenainya).Ianyanya program perguruan sama seperti Kursus Perguruan Lepasan Ijazah(KPLI).Namun ia tertumpu kepada pengajaran dan pembelajaran di sekolah rendah.
Mungkin ianya salah satu jalan keluar kepada masalah pelajar-pelajar kini yang masih ramai tidak pandai membaca Al-Quran apatah lagi membaca jawi selain pendedahan kepada Bahasa Arab dan penumpuan kepada ilmu fardhu ain.
Dari satu sudut saya nampak usaha pihak kerajaan untuk mengangkat martabat pendidikan Islam ke tempat yang tinggi malah mampu membasmi masalah buta jawi dan Al Quran juga mampu memperkenalkan Bahasa Arab kepada semua seawal di sekolah rendah lagi.
Walaupun terdapat desas-desus yang mengatakan kerjaya ini tidak sesuai dengan kelayakan pendidikan bagi lepasan ijazah lebih-lebih lepasan Universiti Al Azhar yang melahirkan golongan ilmuan namun sebagai seorang pendakwah pula,saya merasakan peluang ini boleh digunakan untuk menanamkan fikrah Islamiah kepada para pelajar.Usaha mengembangkan ilmu untuk diri dan semua tidak semestinya kepada pengajaran di dalam kelas semata-mata malah ianya anjal.Yang penting,tepuk dada tanyalah iman.
Semoga usaha ini membuahkan hasil dan mampu melahirkan para ulama’ suatu masa nanti.

.

.

...terus mencari nur ilahi... . 2017 Copyright. All rights reserved. Designed by Blogger Template | Free Blogger Templates