24 November 2008 Tags: 0 comments

::22 November 2008,Selamat Pengantin Baru Adikku::

Buat adikku Muhamad Khairul Zaman dan Salehah
Selamat pengantin Baru,Barakallahulakuma wa barik alaikuma wa jama'a bainakuma fil khair.

Semoga baitul muslim yang dibina mendapat keredhaan Allah taala…

Dedikasi buat adikku dan jua Buat tatapan para isteri dan bakal isteri seorang pejuang :)

BismiLLAHirrahmanir rahim..
Isteriku...Apabila kusentuh telapak tanganmu...Ku usap-usap,ianya semakin kasar dan keras....
Apabila kurenung wajahmu....Terpancar sinar bahagia dan ketenangan walaupun kutahu...Redup matamu menyimpan satu rintihan yang memberat....
Apabila ku tersentak dari pembaringan dikala fajar kazib menyinsing.. .Aku terpana dek munajatmu yang syahdu.

Isteriku...Tatkala teman-temanmu sedang bersantai di samping...Insan-insan tersayang di dunia ciptaan mereka..Engkau bahagia mengorbankan seluruh detik-detikmu. ...Hanya untuk Islam...

Tatkala lengan-lengan mereka dibaluti...Pelbagai hiasan yang indah...Leher-leher mereka memberat dilingkari dengan kilauan barang kemas...Pakaian-pakaian mereka anggun persis puteri kayangan...Wajah mereka dipalit pelbagai warna dan jenama...

Kau umpama ladang ummah...Kau menginfa'kan seluruh jiwa dan raga demi kebangkitanIslam...Kau tak pernah bersungut-sungut, mengeluh, meminta-minta mahupun mengadu domba...Tatkala mereka berlumba-lumba mengejar pangkat dan nama..Kau gah menjulang nama dengan pengaduanmu di sisi yang Esa...

Isteriku...Bukan aku tidak mampu membelikan barang dan hiasan-hiasan tersebut...Tetapi isteriku...Aku masih ingat tatkala aku menyuntingmu untuk dijadikan suri dan seri kamar hatiku....Kau melafazkan, "Saya sudi menjadi sayap kiri perjuangan saudara tetapi dengan syarat..."..

Kau tersenyum sambil menghela nafas dalam-dalam. ...Aku termangu sendirian...Syarat apakah itu? Banglokah? Hantaran seribu serba satukah?Kereta mewahkah? Aksesori Habib Jewels kah? Barangan kulit Bonia kah? Perabot mahal dari Itali kah?...Atau honeymoon di Kota Paris kah?..

Katakan... Aku mampu memberikan.. .Lamanya kau mengumpul kekuatan untuk berkata...Akhirnya...Arghhh... Permintaanmu itu...Pasti ditertawakan oleh kerabat dan teman-teman kita...Dengan penuh keyakinan kau berkata.."Saudara, Mampukah saudara menjadikan saya sebagai isteri yang kedua saudara?....

Mampukah saudara menjadikan Islam sebagai isteri pertama saudara yang lebih perlukan perhatian?.. .Mampukah saudara meletakkan kepentingan Islam melebihi segala-galanya termasuklah urusan-urusan dunia?...Mampukah saudara menjual diri saudara semata-mata kerana Islam?..Mampukah saudara berkorban meninggalkan kelazatan dunia?...Mampukah saudara menjadikan Islam laksana bara api....Saudara perlu menggenggamnya agar bara itu terus menyala...Mampukah saudara menjadi lilin yang rela membakar diri untuk Islam..Bukannya seperti lampu kalimantang yang bisa di'on'kan bila perlu dan di'off'kan bila tidak....Mampukah saudara mendengar hinaan yang bakal dilontarkankepada saudara kerana perjuangan saudara....

Dan... mampukah saudara menjadikan saya isteri seorang pejuang yang tidak dimanjai dengan fatamorgana dunia?...Aduh! Banyaknya syarat-syarat itu isteriku...Namun aku menerima syarat-syarat tersebut kerana aku tahu..Jiwamu kosong dari syurga dunia...Kerana aku tahu kau mampu mengubah dunia ini dengan iman dan akhlakmu..Bukannya kau yang diubah oleh dunia...

Isteriku...Akhirnya jadilah engkau penolong setiaku sebagai nakhoda mengemudi bahtera kehidupan kita...Susah senang kita tempuh bersama...Aku terharu dengan segala kebaikanmu.. .Kau jaga akhlakmu...

Kau pelihara maruahmu selaku muslimah...Kau tak pernah mengeluh apabila sering ditinggalkan dek tugasku menjulangIslam ke persada agung....Kau jua sanggup menyekang mata menungguku sambil memberikan aku suatu senyuman terindah di ambang pintu tatkala aku pulang lewat malam....

Malah, kau seringkali meniupkan semangat untuk aku terus thabat di pentas perjuangan ini....Kau tabur bunga-bunga jihad walaupun kita masih jauh dengan haruman kemenangan.. .

Isteriku...Tangkasnya engkau selaku suri...Biarpun kau jua sibuk bersama mengembleng tenaga selaku sayap kiri perjuanganku. .Kau jaga teratak kita dengan indahnya...Kau siraminya dengan wangian cinta dan kasih sayang....Kau tak pernah menjadikan kesibukanmu itu untuk kau lari dari amanahmu meskipun jadualmu padat dengan agenda-agenda bersama masyarakat dan kaum sejenismu... .

Cekalnya engkau mendidik anak-anak...Kau kenalkan mereka dengan Allah, Rasul SAW, Ahlul Bait serta para pejuang Islam...Kau titipkan semangat mereka sebagai generasi pelapis jundullah...Kau asuh mereka membaca Al Quran...Malah kau temani mereka mengulangkaji pelajaran dikala menjelangnya peperiksaan. ..

Isteriku...Barangkali inilah kebenarannya ungkapan keramat Al Khomeini...Tangan yang menghayun buaian boleh menggoncang dunia...Andai Saidatina Fatimah binti Rasulullah SAW masih ada..Pasti beliau tersenyum bangga kerana masih ada srikandi Islam...SEPERTIMU.

...WAHAI ISTERIKU..

adakah aku mampu??

::Sekadar titipan bicara buat seorang kakak...::


...Jika engkau memandang segalanya dari Allah...yang menciptakan segala sesuatu...yang menimpakan ujian...yang menjadikan sakitnya hatimu...yang membuatkan keinginanmu terhalang serta menyusah-nyusahkan hidupmu...pasti akan damailah hatimu...kerana masakan Allah mentakdirkan sesuatu yang sia-sia...Bukan Dia tidak tahu akan derita hidupmu...pecahnya hatimu...Tapi mungkin itulah yang dia mahu...Mungkin untuk menguji sedalam mana cinta dan pengorbananmu untukNya...juga mungkin dia Dia tahu...hati yang beginilah selalunya lebih lunak dan akrab denganNya.
Yakinlah...setiap ujian yang datang itu hanyalah tarbiah dari Allah.
Setulusnya...kita akan terus gagah selagi kita terasa lemah...
Kuatlah demi Al-Quran yang sedang kita junjung.

06 November 2008 Tags: 0 comments

::06 November::Selamat Hari Lahir buat Emak,Huda dan ‘Cikgu’::



Buat emakku tersayang,
Terima kasih atas pengorbananmu
Menjagaku sejak dalam kandunganmu
Sehingga ke hari ini
Jua terima kasih
Atas kesabaranmu
Mendidikku sehingga aku menjadi manusia
Doaku semoga Allah merahmati usia kita
Agar doamu sentiasa menaungiku
Saban waktu

Buat Huda,
Semoga ikatan kasih persaudaraan kita
Agar kekal hingga ke akhirnya
Doaku agar kita semakin matang seiring usia
Mampu menjadi mata rantai perjuangan Islam
Semoga rahmat Allah sentiasa menaungimu

Buat ‘cikgu’
Semoga persahabatan ini
Dinaungi keredhaan Ilahi
Semoga hari ini dan esok yang bakal tiba
Agar mencambah semangat perjuangan
Dalam diri kita semua..
Ingat impian kita…
Hidup mulia atau mati sebagai pejuangNya..
Selamat Hari Lahir buat kalian.

Firman Allah taala:Orang-orang yang telah Kami berikan Al Kitab kepadanya, mereka membacanya dengan bacaan yang sebenarnya,mereka itu beriman kepadanya. Dan barangsiapa yang ingkar kepadanya, maka mereka itulah orang-orang yang rugi
(Surah A-Baqarah ayat 121)

Pada 29hb Oktober 2008 saya sempat menghadiri sesi temuduga terbuka JQAF di Maktab Perguruan Tengku Ampuan Afzan di Lipis.Jadual keberangkatan saya ke Lipis dari Chenor pada hari itu seawal pukul 4.00pg dengan ditemani Ayah Chik,abah dan emak.Alhamdulillah kami selamat sampai ke maktab tersebut lebih kurang pukul 7.30pg.Sempat saya menyelak-nyelak sedikit bacaan sementara menanti sesi temuduga yang dijadualkan bermula pukul 8.00pg.Dengan kedatangan yang menanti untuk ditemuduga pagi itu lebih kurang 35orang,kami dibahagikan kepada 2 panel.
Temuduga dimulakan dengan sesi mengisi borang,kemudian kami diuji dengan ujian syaksiah perguruan yang berbentuk objektif,dalam masa setengah jam kami perlu menyelesaikan lebih kurang 130 soalan.Seterusnya kami dikenakan membuat essei di dalam Bahasa Arab.Seterusnya kami dipanggil seorang demi seorang untuk ujian lisan.Alhamdulillah saya dapat menyelesaikan sesi temuduga walaupun natijahnya saya tidak pasti bila akan diketahui.Semoga natijah yang bakal saya terima adalah yang terbaik buat diri saya,Insyaallah.
Begitulah serba sedikit pengalaman saya menghadiri temuduga JQAF,manalah tahu ada sahabat yang berminat juga untuk mengisi borang JQAF nanti.:)
Setulusnya saya kurang berminat untuk mengajar di bawah program JQAF ini atas sebab-sebab tertentu yang saya fikirkan logik.Namun agak ramai yang memberikan galakan untuk saya menyertainya.sehingga ke hari ini saya masih tidak dapat mempertimbangkan adalah wajar untuk diri saya?
Apa itu JQAF?
Setahu saya ianya adalah kependekan daripada perkataan Jawi,Al-Quran,Bahasa Arab dan Fardhu Ain(Saya pasti semua makruf mengenainya).Ianyanya program perguruan sama seperti Kursus Perguruan Lepasan Ijazah(KPLI).Namun ia tertumpu kepada pengajaran dan pembelajaran di sekolah rendah.
Mungkin ianya salah satu jalan keluar kepada masalah pelajar-pelajar kini yang masih ramai tidak pandai membaca Al-Quran apatah lagi membaca jawi selain pendedahan kepada Bahasa Arab dan penumpuan kepada ilmu fardhu ain.
Dari satu sudut saya nampak usaha pihak kerajaan untuk mengangkat martabat pendidikan Islam ke tempat yang tinggi malah mampu membasmi masalah buta jawi dan Al Quran juga mampu memperkenalkan Bahasa Arab kepada semua seawal di sekolah rendah lagi.
Walaupun terdapat desas-desus yang mengatakan kerjaya ini tidak sesuai dengan kelayakan pendidikan bagi lepasan ijazah lebih-lebih lepasan Universiti Al Azhar yang melahirkan golongan ilmuan namun sebagai seorang pendakwah pula,saya merasakan peluang ini boleh digunakan untuk menanamkan fikrah Islamiah kepada para pelajar.Usaha mengembangkan ilmu untuk diri dan semua tidak semestinya kepada pengajaran di dalam kelas semata-mata malah ianya anjal.Yang penting,tepuk dada tanyalah iman.
Semoga usaha ini membuahkan hasil dan mampu melahirkan para ulama’ suatu masa nanti.

04 November 2008 Tags: 0 comments

::Bicara sebuah jasad::

Bulan Zulkaedah menggamit kembali dan lambaian kesucian syawal turut pergi meninggalkan insan-insan yang melata di sekitarnya.Ini bermakna madrasah Ramadhan telah menghampiri dua purnama meninggalkan hamba-hamba yang beriltizam dan mujtahid sepanjang kedatangannya,lantas turut menuruti perintah yang Maha Agong mengabdi diri mendamba keredhaan Sang Pencipta.

Dikala fajar hari ini menjelma,si hamba yang merindui kasih sejati turut melafaz kalimah toyyibah
Ya Hayyu Ya Qayyum Ya Zaljalali wal ikram,asbahna ala fitratil Islam.Alhamdulillah hati yang sentiasa berbolak balik ini masih setia pada nur yang disuluh cahaya kebenaran.

Dan dikala Zulkaedah ini juga hamba masih mentajdid janji pada pencipta,nikmat Islam dan Iman yang tiada terhitung nilaiannya ini akan sentiasa dipasak padu pada jasad kosong yang dipandu oleh Si Pemandu Agong.

Sahabat pengubat kalbu,
Pada jasad kosong ini tiada baginya daya dan upaya untuk melaksanakan segala yang menjadi keceriaan hatimu malah padanya telah terkumpul segala kesakitanmu.Tiada kudrat untuk membangkit jiwamu dan meransang kewibawaan kalian.Namun jauh di dasar latifah rabbaniah ini keinginan untuk terus berupaya mendampingimu yang ku tahu padamu dan kalian terputik cahaya baru buat jasad kosong ini,lantas terus bertunas dan segar di dasarnya.

Kesaktian ikatan mahabbah wa rahmah ini terlalu bermakna buat jasad ini sehinggakan dikau dan kalian mampu membentuk jiwa dan jasad ini untuk terus bersama-sama kehebatan kalian menjadi penyambung mata-mata rantai utusan mulia dalam mendidik jiwa ini dan jiwa-jiwa yang dipandu Si Pemandu Agong.Sesungguhnya ungkapan sakti dari bibirmu juga gerak langkahmu mendorongku agar kuterus gigih dan tabah menyusuri jalan yang terbentang permaidani duri dan tuba.Namun segalanya ku gagahi demi mengangkat dan meletakkan pegangan Quran dan sunnah Pencipta Agong sebagai dustur.

Laut mana tidakkan bergelora, awan mana yang tidak akan menurunkan hujan malah jiwa-jiwa mana yang tidak pernah melepaskan hazan.Demikian juga ikatan ini,kekadang gelora jiwa-jiwa suci ini mampu memunahkan ikatan mahabbah dan rahmah ini andai tidak dibendung dengan kesucian iman dan amal Islami.Kerana itulah jasad kosong ini pernah melepaskan nanarnya pada jiwa-jiwa suci rafikku.

Jantung hatiku,
Kukira dikau dan kalian memahami maksudku.Sesungguhnya mengenalimu dan kalian merupakan rahmat terbesar buat jasad ini.Pohon maaf atas kekhifan dari jiwa yang tidak terlepas dari kesalahan dan dosa.Sesungguhnya,latifah rabbaniahku tidak mampu untuk melupakan mu malah tidak sekali-kali.Syukran rabbi atas rahmat persahabatan.

.

.