30 April 2010 Tags: 0 comments

::Cerita hati::

Sekadar perkongsian bersama…

Cerita 1
Baru-baru ini saya telah menerima sebuah panggilan telefon dari seorang yang menggelarkan dirinya Kak Ani.Kak Ani tinggal di Kuala Lumpur bersama keluarganya.Sungguh saya tidak mengenali Kak Ani namun hajat dia menghubungi saya adalah semata-mata untuk bersembang dengan saya.Katanya dia ingin mengambil semangat dari saya setelah mengetahui musibah yang menimpa saya melalui seorang sahabat.
Kak Ani menceritakan perihal suaminya yang telah sebulan koma di Hospital UKM kerana mengalami strok.Sehingga kini suaminya masih belum sedar.Saya hanya mengingatkannya sesungguhnya setiap ujian yang Allah anugerahkan itu merupakan ujian bagi menguji iman kita.Walau apapun saya mendoakan agar suami Kak Ani akan semakin pulih dari penyakitnya.
"Ya Allah, janganlah kau uji hambaMu dengan ujian yang berat ini."

"Sungguh Kak Ani,sesiapa yang tidak mengalaminya tidak akan merasai keperitannya.Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul.
Namun bagi kita insan yang mengalaminya hanya perkataan sabar dan harapan agar kita tabah yang mampu memujuk hati,semoga kita menemui hikmah disebaliknya."


Cerita 2
Pada 6 Februari 2010, saya mendapat berita kemasukan abang ipar saya Muhamad B.Azizan ke Hospital Temerloh kerana dijangkiti paru-paru berair.Mad telah mengalami demam dan batuk-batuk setelah pulang dari Hospital Selayang semasa menjadi penjaga arwah suami saya.Setelah menjalani pemeriksaan di Hospital Jengka, scan paru-paru mendapati air yg berada di paru-paru agak banyak dan terpaksa dibawa ke Hospital Temerloh.Baru-baru ini Mad terpaksa ditukarkan ke Hospital Selayang dan menjalani pembedahan paru-paru.Sehingga ke hari ini Mad masih berada di dalam wad sehingga dia agak sihat untuk dibenarkan keluar.
Doa saya semoga Mad semakin pulih dan dapat keluar dari hospital dengan segera.

Cerita 3
Seorang sahabat rapat yang saya meluahkan masalahnya kepada saya.Dia mengadu bahawa suaminya sudah mempunyai kekasih lain di luar.Keadaan suaminya sekarang seolah-olah berada di awanan dan lupa pada rumahtangganya.Setiap hari dia sibuk dengan handphone ditangan apabila berada dirumah malah selalu 'bergayut' sampai larut malam.
Kawan saya mengadu yang dia begitu sedih dan semakin tidak mempercayai suaminya.Kekadang dia menyuarakan hasrat untuk meminta cerai tetapi suaminya tidak mahu melepaskannya.

Saya bukanlah seorang motivator yang mampu untuk merungkai permasalahan begini,namun sebagai sahabat saya simpati dengan keadaan yang menimpanya."Sabarlah dengan apa yang menimpa kita.Keadaan akan lebih rumit sekiranya masing-masing tetap dengan pendirian masing-masing.Berbincang adalah jalan yang terbaik."

Apakah kesimpulan ketiga-tiga cerita ini?
Walaupun keadaan dan situasi berbeza, namun semuanya meruntun hati dan rasa.Sakit pada badan dan jiwa kekadang mampu membuat seseorang itu jatuh dan tidak mampu bangkit untuk meneruskan kehidupan.

Apa yang perlu kita ketahui dan sedar ialah sesungguhnya ujian dan dugaan itu merupakan satu sunnah Allah Taala kepada hambaNya. Kerana itulah Rasulullah s.a.w bersabda;
'Orang yang lebih berat menghadapi ujian itu adalah para anbiya' dan auliya' kemudian orang yang mengikuti mereka'.

Ini bermaksud ujian yang berbentuk mala petaka dan sebagainya ini atau berbentuk nikmat dan rahmat kesenangan, ini merupakan satu ujian iman daripada Allah s.w.t.
Firman Allah taala:
"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan: 'Kami tela beriman' sedang mereka tidak diuji lagi?
(Surah Al Ankabut ayat 2)

Bagi saya,sungguh saya katakan bahawa selepas saya ditimpa musibah berat ini,barulah saya merasakan setiap rintihan kepada Yang Esa benar-benar tulus dari hati ini.Doa tulus saya panjatkan setiap kali saya terkenangkan semua ini.Mungkin semua ini adalah penyucian hati buat saya dari dosa-dosa lalu yang saya sedari mahupun tidak.Setiap kali itulah saya memandang kepada mereka yang susah untuk menimbulkan keinsafan dihati saya, bukan hanya saya yang menerima nasib sedemikian.

"Ya Allah kami akui kelemahan diri kami,kami kesali kejahilan diri kami ,jadi terimalah taubat hambamu ini"

Dalam derita ada bahagia
Dalam gembira mungkin terselit duka
Tak siapa tahu tak siapa pinta ujian bertamu

Bibir mudah mengucap sabar
Tapi hatilah yang remuk menderita
Insan memandang mempunyai berbagai tafsiran

Segala takdir terimalah dengan hati terbuka
Walau tersiksa ada hikmahnya

Harus ada rasa bersyukur disetiap kali ujian menjelma
Itu jelas dan membuktikan Allah mengasihimu setiap masa

Diuji tahap keimanan sedangkan ramai terbiar dilalaikan
Hanya yang terpilih sahaja antara berjuta mendapat rahmatnya

Allah rindu mendengarkan rintihanmu berpanjangan
Bersyukurlah dan tabahlah menghadapi

Setiap ujian diberi
Maka bersyukurlah selalu

 

23 April 2010 Tags: 0 comments

::Untukmu Muslimah::

Pilihlah suami yang beragama dan berakhlak
Jangan tertipu dengan sihir harta dan pangkat
Siapa yang bertaqwa kepada Allah dia yang terlebih layak
Membela hak kamu dari orang yang ada harta dan keturunan


Maka piliharalah dia pada jiwanya, hartanya, dan anak
Dan peliharalah dia pada maruahnya, samada dia menyaksikannya atau tanpanya
Dan bantulah dia dalam mengerjakan ketaatan dan saling berlumbalah
Dan waspadalah dari melakukan perkara yang haram

Jadilah kamu untuknya dalam keredhaan sebagai pembantu dan teman mengadu
Dan jika timbul kejahatan untuk mengingkari maka jauhilah
Rumah adalah roh dan wangian di ribaannya
Dan ia juga neraka penuh kebencian dan kemarahan


13 April 2010 Tags: 0 comments

::ayah...::


Tahun lalu,saya selamat bergelar isteri dengan satu lafaz yang suci,ijab dan kabul...satu anugerah yang amat tinggi disisi Allah juga penghormatan yang mulia dari seorang lelaki kepada seorang wanita yang dikasihinya kerana Allah.Kerana dengan ikatan itu maka terlerailah simpulan yang membatasi pergaulan antara Adam dan hawa selama ini.
Dengan ikatan itu juga saya telah mendapat keluarga baru, punyai ayah, abang, kakak dan adik-adik yang baru yang perlu saya kasihi dan peduli.
Alhamdulillah keluarga baru saya amat mengasihi saya seperti mana saya mula mengasihi mereka.
Walaupun saya tidak mempunyai ibu mertua, namun dengan kehadiran ayah mertua juga terasa saya mempunyai keduanya.Ayah berjaya memainkan peranan sebagai ayah dan ibu dirumah,walaupun tidak sepenuhnya..saya amat mengagumi beliau.
Dia seorang lelaki yang kelihatannya agak pendiam, namun saya sebagai menantu kekadang saya membuka cerita untuk bercakap-cakap dengannya.Nyata, diamnya bertempat.Banyak yang diceritakannya kepada saya.dari zaman mudanya..kisah kehidupannya sedari kecil,saya tahu harapannya agar kami mengambil iktibar dari kesusahan hidupnya masa lalu.

Sesekali berjumpa dengannya, tiap kali itu juga hati saya hiba.Kerana setiap kali itu juga dia mengalir air matanya..entah mengapa? mungkin melihat saya membuat dia terkenang arwah anaknya yang juga merupakan suami saya.
"Ayah, kita sayang padanya..namun Allah lebih-lebih lagi menyayangi dia.." setiap kali terkenangkan arwah, setiap kali itu juga hati berbisik
"Ya Allah, ampunkan dosanya, engkau tempatkan dia bersama para syuhada' dan solehin di syurga..ameen.."
Kini anak ayah yang ke 4, yang kami gelarnya Mad juga telah diuji dengan penyakit yang agak berat.Namun, saya lihat ayah tetap tabah menghadapinya.
"Ayah, Allah telah menguji kita dengan ujian yang berat..namun, semua itu hanyalah ujian yang kecil berbanding mereka-mereka yang terdahulu daripada kita.Allah tidak akan menguji kita andai kita tidak mampu menghadapinya.Semuanya menguji kita, sejauh mana iman kita, setebal mana pergantungan kita denganNya, sekukuh mana tawakal kita padaNya dan sejauh mana kepercayaan kita pada ketentuanNya..."
Pada munajat saya yang syahdu, saya panjatkan padaNya..
"Ya Allah..engkau teguhkan iman kami, pertingkatkan iman kami, jauhkan diri kami dari kemunafikan, kuatkan hati kami dalam menghadapi ujian iman ini..semoga kami semua dikalangan hamba-hamba yang soleh, ditempatkan di dalam syurga yang abadi..ameen.."

Sahabat-sahabat sekelian, doakan abang Mad yang kini berada di Hospital Serdang untuk menjalani rawatan paru-paru.Semoga Allah tentukan yang terbaik untuknya dan pulih seperti sediakala..


03 April 2010 Tags: 0 comments

::coretan::

Hari ini saya mengambil kesempatan untuk mencoret lagi...sementara memerhati Aufa Hannan yang sedang nyenyak tidur, saya mengambil kesempatan ini untuk meninjau-ninjau dan membaca (blog walking).Lama rasanya masa saya habis di hospital setelah saya selamat membawa seorang manusia ke dunia.Dua hari Aufa ditahan di wad untuk perhatian setelah selamat lahir ke dunia.Kepala Aufa sedikit berubah kerana di'vakum' ketika proses kelahiran.

Alhamdulillah Aufa pulih sediakala dan dibenarkan keluar.Sehari pulang kerumah Aufa demam dan terkena kuning.Jadi terpaksa dimasukkan semula ke wad.Duduk di bawah lampu tanpa pakaian selain pampers membuatkan hati saya kekadang meruntun juga.5 hari di wad banyak menguji kesabaran saya, terpaksa mengurus sendiri urusan di dalam wad.5hari juga saya menjadi pelawat tak formal di dalam wad ;),berkenalan dengan seramai mungkin orang di dalamnya.Saya tetap mengekalkan prinsip saya untuk menegur dan berkenalan dengan mereka yang berhampiran saya.Terkadang terhibur juga dengan ragam dan omelan juga luahan ibu-ibu yang nasibnya hampir sama denganku.Namun, walau apapun bebelan ibu,anak yang sakit tetap juga ditunggu.

Alhamdulillah kami dibenarkan pulang.Doa saya selalu agar puteri anugerah ilahi pada saya ini sentiasa sejahtera di bawah lindungan Allah jua.


Pengalaman membawa seorang manusia ke dunia serta tinggal bersama ibu-ibu di hospital memberi saya pengalaman baru.Terasa benar betapa sukarnya seorang ibu melahirkan.Kerana itulah Allah meletakkan dosa besar kepada mereka-mereka yang menderhakai ibu bapa.

Firman Allah taala yang bermaksud:
“Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibubapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka janganlah sekali-kali kamu mengatakan perkataan ‘ah’ dan jangan­lah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan-perkataan yang mulia. Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh rasa kasih sayang dan ucapkanlah “Wahai Tuhanku, kasihilah mereka keduanya sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku waktu kecil.”
(Al-Isra’:23-24)


Dari semasa mengandung hingga melahirkan, malam terpaksa berjaga ketika si kecil merengek minta diberi perhatian,semuanya membuat saya terfikir semula bagaimana emak membesarkan saya.Terima kasih emak dan abah, jasa kalian tak mungkin dapat ku balas.


Teringat saya kepada seorang lelaki ketika mendaftar di hospital kerana disahkan darah tinggi tanggal 12 Mac yang lalu.Lelaki tersebut merupakan seorang suami yang baru selesai menemani isterinya di laboor room.Dia keluar tergesa-gesa mendapatkan ibunya sambil menangis.Saya menjangkakan sesuatu telah berlaku kepada isterinya.Namun sangkaan saya meleset.Dia segera meminta maaf sambil mencium-cium ibunya.Ibunya terpinga-pinga melihat keadaaanya.Saya faham lelaki tersebut insaf melihat saat isterinya bertarung nyawa melahirkan zuriat mereka.Semoga keinsafan itu akan berkekalan.Bagus juga seandainya semua suami-suami melalui situasi itu,cemas dan menyesakkan dada ;)


Firman Allah taala yang bermaksud:
“Sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukanNya dengan sesuatu pun. Dan berbuat baiklah kepada kedua ibubapa.”
(An-Nisaa’ :36)


Sabda Rasulullah Salallahu’alihiwasallam (bermaksud):
“Redha Allah itu berada dalam redha kedua orang tua dan murka Allah itu berada dalam murka kedua orang tua”.
(Riwayat Abdullah bin ‘Amr)


.

.