06 February 2011

Oleh:Haris Zalkapli Sumber: Harakah Daily
Pemimpin Perancis, Napolean Bonaparte pernah berkata, “Mesir ialah negara paling penting di dunia,” menjelaskan kepentingan negara Arab itu kepada kuasa-kuasa dunia semasa era empayar satu masa dulu.

Apapun yang mendasari pandangan Bonaparte itu, kepentingan Mesir di dunia dapat diperhatikan dan dirasakan pada masa ini, ketika negara itu sedang dalam proses melalui satu perubahan besar.

Kuasa-kuasa Israel, Amerika Syarikat, Arab Saudi, Eropah, Turki dan Iran semuanya bakal terkesan sekiranya dan apabila perubahan yang benar-benar mengubah dasar negara Mesir berlaku.

Israel jelas sekali merupakan kuasa yang akan paling terkesan, disebabkan sempadan dan sejarah yang mengikat kedua-dua pemain penting Asia Barat itu.

Mesir kekal sebagai satu-satunya negara yang mampu berperang secara terus dengan Israel, seperti yang telah ditunjukkan oleh sejarah.

Apapun keputusan peperangan masa silam, faktor ini tetap dipandang berat oleh rejim Zionis itu.

Pada masa ini, Mesir yang masih di bawah pimpinan Presiden Hosni Mubarak yang semakin terhakis keabsahannya, ialah faktor paling penting yang menjayakan kepungan ke atas wilayah Gaza, Palestin.

Sempadan kecil Gaza dengan Mesir yang menjadi talian hayat rakyat Gaza dikawal oleh pihak berkuasa Mesir, menjadikan Kaherah sebagai satu kuasa yang berperanan besar dalam memberi kesan kepada situasi dan kondisi di Gaza.

Kaherah juga pada masa kini berada di pihak Barat melibatkan rundingan diwakili Fatah dengan Israel, satu peranan yang menjadi faktor penting sokongan AS.

Sejak sekurang-kurangnya 2009, dalam tempoh menuju pilihan raya parlimen dan pilihan raya presiden yang dinantikan di Mesir, pemerintahan Hosni menunjukkan tindakan-tindakan yang keras terhadap Gaza dan pembangkang terutama gerakan Islam Ikhwan al-Muslimin.

Tindakan-tindakan pemerintah Mesir itu dibaca penentangnya sebagai usaha meminta sokonga daripada kuasa Barat, dengan menunjukkan kepentingannya memerangi gerakan Islam yang didakwa militan dan teroris, satu lagi kepentingan yang menjadi sebab penting dukungan kuasa-kuasa Barat selama ini.

Seperti rejim-rejim Arab lain, pemerintahan Hosni disokong kerana peranannya melawan kumpulan-kumpulan Islam yang didakwa ekstremis dan teroris (dengan isu hak asasi manusia dan demokrasi menjadi kurang penting berbanding memerangi “teroris.”)

Hal tersebut menjelaskan satu bahagian besar sokongan kuasa-kuasa asing terhadap rejim Hosni, yang dibenarkan memerintah dengan kuku besi selama 30 tahun kini.

Di kedua-dua Tunisia dan Mesir, kebimbangan yang dilihat pada pihak Barat ialah kemungkinan gerakan Islam menjadi pemain penting dalam negara tersebut dalam era selepas revolusi.

Kenyataan William Hague, menteri luar Inggeris tentang kebimbangan “ekstremis mengambil alih” di Mesir memberi satu gambaran sentimen dunia Barat.

Seluruh dunia Barat bakal terkesan oleh perubahan fundamental Mesir, yang salah satunya ialah menjadikannya lebih bebas daripada rejim Hosni sekarang yang terhutang dengan kuasa asing.

Kuasa terbabit juga masih mempunyai ruang dan peluang untuk mengatur dan melaksana tindakan, dalam tempoh berlaku perubahan dan tempoh peralihan termasuk pilihan raya baharu dan pembentukan kerajaan selepas itu, tempoh yang paling kritikal untuk melihat perubahan bermakna terlaksana.

Bergantung kepada sikap pemerintah baharu, perubahan fundamental Mesir juga mampu mengubah kedudukan negara itu dalam dunia Arab.

Sekiranya peranan Mesir dalam politik serantau merosot, pakatan Kaherah-Riyadh akan terjejas, dan berkemungkinan meningkatkan pengaruh kuasa pesaing lain.

Perubahan ini sememangnya telah dirasakan dan dibimbangi oleh kedua-dua pusat kuasa dunia Arab itu.

Mesir mencapai puncak prestijnya dalam dunia Arab di bawah Presiden Jamal Abdel Nasser yang membawa fahaman penyatuan Arab atau pan-Arabisme.

Pada masa kini, Mesir bersama Arab Saudi dan juga Jordan berperanan sebagai pemimpin dan suara dunia Arab, dan pada tahap tertentu, mewakili dunia Islam.

Mesir dan Arab Saudi terutamanya merupakan negara dominan dalam Liga Arab dan seluruh politik Asia Barat.

Salah satu medan persaingan kuasa-kuasa tersebut ialah Lubnan, yang menyaksikan pakatan Syria-Iran mengukuhkan pengaruhnya.

Aliansi Damsyik-Tehran, yang paling berjaya dan paling bertahan dalam politik serantau Asia Barat ini berdepan pelbagai cabaran dalaman dan luaran tetapi masih bertahan sehingga kini, walaupun sekadar pada sebab-sebab pragmatik.

Sekiranya Mesir tidak lagi bersama Arab Saudi dalam aliansi menguasai dunia Arab, peningkatan pengaruh Syria dan Iran boleh dijangkakan, terutama melibatkan Lubnan.

Ini ditambah lagi dengan dasar luar baharu Turki yang mengukuhkan pengaruhnya melalui usaha-usaha diplomasi, dan pada masa sama meningkatkan hubungan baik dengan Iran dan negara-negara Arab.

Banyak tindakan kerajaan Turki kebelakangan ini - paling utama melibatkan Israel - juga menjadikannya popular di dunia Arab dan Islam, memberikan Ankara aset untuk menjadi kuasa serantau disegani.

Sekiranya perubahan besar yang mengubah haluan fundamental negara-negara Arab seperti Mesir, Jordan dan Arab Saudi berlaku, politik serantau dunia Arab bakal muncul dengan bentuk yang jauh berbeza.

Pusat kuasa dunia Arab yang berpaksi pada Mesir dan Arab Saudi mampu untuk beralih kepada kuasa lain iaitu Turki dan Iran bersama Syria, dengan dua yang dominan bukan kuasa Arab di Asia Barat.

Memandangkan perubahan-perubahan yang berpotensi tercetus akibat perkembangan di dunia Arab hari ini, boleh dijangka tentangan terhadap perubahan itu tidak akan memberi laluan mudah untuk kemungkinan itu berlaku.

Hal ini juga menunjukkan kuasa-kuasa serantau dan dunia mempunyai saham untuk memberi kesan kepada perubahan-perubahan itu, menjelaskan lagi apa yang pernah diucapkan oleh Bonaparte tentang kepentingan Mesir

.

.

...terus mencari nur ilahi... . 2017 Copyright. All rights reserved. Designed by Blogger Template | Free Blogger Templates