17 May 2011

Oleh:Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man   
PAS Pahang merakamkan ucapan “Selamat Hari Guru” kepada seluruh warga pendidik di Pahang, khasnya dan di seluruh negara amnya.
Pendidik ulung ialah ibu bapa kerana merekalah yang pertama memberi suluhan cahaya kepada anak-anak untuk mengenali dunia mereka dan mereka jugalah insan yang pertama mengajar setiap perkara.
Lantaran itu, peranan ibu bapa sebagai pendidik ulung mesti diteruskan dengan menanam aqidah kepada anak-anak, selaras dengan sabda Rasulullah s.a.w:
"Setiap anak yang dilahirkan dalam keadaan fitrah  suci murni (Islam), maka ibu bapanya menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi.”

Guru merupakan gantian ibu bapa di sekolah yang mengajar murid tanpa jemu dan penat, dengan kekuatan semangat untuk melihat anak muridnya berjaya dan sangat menginginkan muridnya menjadi lebih tinggi dari gurunya.
 Atas sebab itu, Islam sangat memberi ingatan kepada murid agar sentiasa menghormati dan memuliakan gurunya.

Saya masih ingat sewaktu kecil sehingga dewasa, ibu sering kali berpesan "jangan sesekali kamu menyakiti hati guru kamu, kamu tidak akan berkat sepanjang hidup kamu".
Berbekalkan pesanan ini, ingatlah sekalian bahawa yang penting bagi ilmu itu ialah berkat ilmu, yang mampu menyuluh cahaya dalam perjalanan hidup ini.
Kepada para guru, jadilah anda seorang pendidik yang beramanah dengan ilmu kerana guru yang amanah dan ikhlas sama seperti mata air yang mengalir - air yang bersih dan jernih untuk diminum oleh semua.
Beringat-ingatlah bahawa guru yang khianat dan tidak ikhlas dalam kerjayanya adalah sama seperti mata air yang mengalirkan air yang keruh, lalu keruhlah air itu sampai di kuala.
Selamat Hari Guru.

Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man,
Pesuruhjaya PAS Pahang
Naib Presiden PAS
16 Mei 2011

.

.

...terus mencari nur ilahi... . 2017 Copyright. All rights reserved. Designed by Blogger Template | Free Blogger Templates