12 February 2011 Tags: 1 comments

Sambutan Valentine@ Maulidurrasul???

Belek-belek kalender minggu depan, 14 Feb Isnin tercatat Hari Valentine manakala 15 Feb jatuh 12 Rabiul Awal bulan Hijri..Hari Kelahiran Rasulullah s.a.w tercinta...kira-kira 2 event yang amat-amat berbeza..mari kita ketahui tentang kedua-dua sambutan tersebut...

Hari Valentine (Hari kekasih)
Biasanya ia disambut tanggal 14 Feb setiap tahun. Biasanya orang di Amerika dan Eropah akan meraikan Hari Valentine iaitu satu hari rasmi untuk menyatakan rasa kasih sayang kepada pasangan masing-masing.

Ada yang saling bertukar-tukar bunga ros merah, mengirimkan kad ucapan dan hadiah, mengumandangkan lagu-lagu cinta dan asmara, membuat upacara tari-menari besar-besaran di disko-disko bersama minuman arak, mengadakan acara makan malam dengan disinari cahaya lilin, bertukar-tukar perasaan di taman-taman bunga sehingga berkucupan dan akhirnya sanggup menggadaikan kehormatan diri sendiri demi membuktikan kesetiaan kepada teman masing-masing. Sedangkan mereka tidak ada hubungan yang sah disisi agama yang mengharuskan mereka berbuat demikian.

Tidak dinafikan ada umat Islam di negara ini turut meraikan Hari Valentine. Mereka meraikan hanya kerana suka-suka dan terikut-ikut untuk mendapatkan keseronokan tanpa mengetahui asal-usul dan sejarah hari tersebut.

” Hari Kekasih” yang dibawa oleh orang barat tanpa disedari bertujuan untuk melekakan serta merosakkan aqidah dan akhlak masyarakat Islam, kerana kebiasaannya senario menyambut ”Hari Kekasih” berlaku dikalangan remaja Islam. Sungguhpun ia belum sampai ke tahap yang kronik, namun begitu ia boleh menyumbangkan kepada pelbagai kerosakan aqidah, akhlak dan budaya umat Islam sekiranya tidak ada sebarang tindakan dibuat untuk menyedar dan menginsafkan mereka.

Harus diingat mengamalkan dan mengikut budaya asing terutama dalam meraikan hari tertentu tanpa mengetahui latar belakang perayaan itu sebenarnya akan menjerumus umat Islam kepada kehancuran. Hal ini kerana perlakuan seperti ini bukan sahaja menjejaskan akhlak orang Islam, bahkan boleh menjejaskan keimanan dan aqidah mereka.

Asal-usul Hari Valentine
Menurut catatan sejarah, pelbagai kisah diceritakan mengenai asal-usul sambutan hari kekasih ini. Ada yang mengatakan, sebelum abad ke-17 Masihi, masyarakat Rom meraikan Hari Valentine pada 14 Februari setiap tahun sebagai hari mencintai tuhan atau patung pujaan mereka. Manakala dalam penceritaan lain, hari kekasih ini diraikan oleh penganut Kristian yang memuja seorang paderi bernama St Valentine dengan menganggap beliau seorang mulia kerana sanggup berkorban dan mati demi kasih sayangnya terhadap agama Kristian dan penganut-penganutnya.

Antara sejarah lain pula menyebut, Hari Valentine diambil daripada nama paderi Saint Valentine atas kesungguhannya mempertahankan hak tentera pada zaman pemerintahan Claudius II untuk berkahwin. Ini kerana, semasa Claudius II memerintah kerajaan Rom, beliau menghalang tentera-tentera Rom berkahwin kerana pada pendapat beliau, mereka akan lebih kuat dan tabah untuk berperang jika masih bujang. Namun secara senyap, Saint Valentine melakukan upacara pernikahan dan ini mendatangkan kemarahan Claudius II. Lalu paderi itu dihukum gantung pada 14 Februari 269 Masihi.

Pada zaman pertengahan, masyarakat England dan Perancis pula menganggap 14 Februari sebagai `hari burung-burung mencari pasangan mereka.’

Pada kurun ke-14 dan ke-15 mereka mula meniru perbuatan burung tersebut dengan mengadakan hari mencari pasangan atau jodoh pada tarikh tersebut.

Masing-masing akan mengucapkan `Selamat Hari Valentine’ sesama pasangan mereka.

Ada juga mitos menyebut, kad Hari Valentine dijadikan amalan memperingati peristiwa seorang paderi yang dipenjarakan dan sering menghantar kad bertulis From Your Valentine kepada kekasihnya, seorang gadis iaitu anak seorang pengawal penjara...catatan di sini

Hukum Menyambut Hari Kekasih
KEPUTUSAN FATWA

Kertas kerja berkaitan dengan hukum umat Islam menyambut Hari Kekasih ( Valentine’s Day ) telah dibentang dan dibahaskan dengan teliti oleh Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor pada 25 Zulkaedah 1426 Hijriah bersamaan 27 hb Disember 2005 Miladiah. Setelah dilihat dengan penuh penelitian, maka Jawatankuasa Fatwa mengambil keputusan sebagaimana berikut :

” Amalan merayakan hari kekasih ( Valentine Day ) tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah dilarang oleh Islam yang jelas bercanggah dengan aqidah, syariah dan akhlak Islamiah. Oleh itu umat Islam adalah DILARANG daripada melibatkan diri di dalam meraikan hari tersebut. ”

NOTA : Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71, yang telah bersidang pada 20-22 Syawal 1426 Hijriah bersamaan 22-24 November 2005 Miladiah di Kuching Sarawak, juga telah bersetuju memutuskan bahawa amalan merayakan Valentine’s Day, tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsure-unsur kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam.

Antara hujah keputusan tersebut adalah seperti berikut :


1. Sejarah Valentine’s Day tidak ada di dalam Islam. Amalan budaya dan hasrat perayaan ini mempunyai unsur-unsur Kristian yang bercanggah dengan Islam.

2. Di dalam Islam tidak ada hari tertentu bagi meraikan kekasih atau kasih sayang. Islam sangat menitikberatkan soal kasih sayang dan setiap hari di dalam Islam adalah hari kasih sayang.

3. Islam menolak konsep kasih sayang yang terkandung dalam Valentine’s Day kerana unsur-unsur ritual keagamaan yang diamalkannya boleh menggugat aqidah Islam.

4. Sekiranya seseorang Islam itu berhasrat untuk memberi hadiah kepada seseorang pada 14 Februari bersempena dengan Valentine, perbuatan tersebut adalah tidak betul kerana ia seolah-olah meraikan konsep yang dibawa oleh Valentine’s Day.

5. Kebanyakan golongan remaja Islam hari ini meraikan Valentine’s Day dengan perbuatan-perbuatan yang dilarang oleh Islam. Gejala seperti ini sekiranya tidak dibendung akan merosakkan generasi umat Islam akan datang.

6. Valentine’s asal nama sebenarnya St. Velentino merupakan seorang paderi palaing berpengaruh di zaman pemerintahan ratu Isabella di Sepanyol dan juga merupakan antara orang terpenting yang menghancurkan tamadun Islam di Sepanyol. Oleh itu ratu Isabella telah menetapkan 14 Februari sebagai hari menginati kemenangan kristian terhadap Islam. Maka barangsiapa yang merayakannya seolah-olah ia bergembira dan merestui ke atas kekalahan orang Islam di Sepanyol.

6. Memang Islam sangat menggalakkan umatnya supaya berkasih sayang antara satu sama lain, tetapi untuk meluahkan kasih sayang antara seorang lelaki dan seorang perempuan perlu melalui saluran yang dibenarkan oleh syara’. Ia bukannya yang menggalakkan kepada perkara yang mendorong atau meransang kepada yang dilarang dan maksiat.



Sambutan Maulidurrasul(Hari Keputeraan Nabi Muhammad s.a.w
Perayaan Maulidur rasul telah diasaskan oleh kerajaan Fatimiah di Mesir. Kerajaan Fatimah telah merayakan perayaan ini secara besar-besaran. Bukan hanya hari jadi Rasulullah saw sahaja yang dirayakan, tetapi juga ahli keluarga Nabi saw seperti Zainab, Hassan, Hussain (r.a.). juga dirayakan. Bahkan mereka juga merayakan kelahiran Nabi Isa as.


Walaubagaimanapun, semua perayaan ini telah dihentikan pada tahun 488 atas perintah Perdana Menteri al-Afdal Shahindah pada ketika itu yang berpegang kuat pada sunnah seperti tercatit di dalam buku Al-Kamel, karangan Ibnu Al-Atheer. Masyarakat berhenti merayakannya sehingga Al-Makmun Al-Bataani memegang kuasa kerajaan. Beliau telah yang memulakan kembali perayaan yang telah dihentikan sebelum itu.

Apabila Kerajaan al-Ayubbiah merampas kuasa, semua perayaan telah dihentikan. Namun begitu, masyarakat tetap merayakannya dikalangan keluarga mereka di dalam rumah. Pada Abad ke 7, Putera Muzafar Al-Deen Abi Saed Kawakbri Ibn Zein Ed-Deen `Ali- Ibn Tabakatikin telah mewartakan perayaan Maulid Nabi di Bandar Irbil. Beliau merupakan seorang sunni. Muzafar mengambil berat akan perayaan ini sehingga memerintahkan agar persediaan seperti mendirikan khemah, menghias khemah dan pelbagai lagi dilaksanakan seawal dan sebaik mungkin. Setiap kali selepas solat Asar, Muzafar akan menyaksikan perayaan ini di dalam khemah yang telah didirikan itu.


Perayaan diadakan pada 8 Rabiulawal dan kadang-kadang 12 Rabiulawal. Sambutannya diisikan dengan pelbagai acara antaranya membaca sejarah Nabi (s.a.w.) sehinggalah kepada menghias binatang ternakan untuk disembelih kemudian diadakan jamuan besar-besaran.

Berkata Ibnu Haajj Abu Abdullah Al-Abdari, perayaan tersebut tersebar luas di seluruh Mesir pada zaman pemerintahan Putera Muzafar ini. Beliau menentang akan perayaan yang diadakan. Banyak buku telah ditulis mengenai perayan Maulidur Rasul ini antara penulisnya ialah Ibn Dahya, meniggal dunia pada 633, Muhy Ed-Deen Ibn Al-`Arabi, meniggal di Damascus pada 683, Ibn Taghrabik, meniggal di Mesir pada 670, dan Ahmad Al-`Azli dan anaknya Muhammad, meniggal di Sebata pada 670.


Oleh kerana amalan bidah yang banyak ketika perayaan itu, ulama telah berbeza pendapat akan kebolehan merayakan Maulid Nabi ini. Pendapat pertama membolehkan perayaan ini manakala pendapat yang kedua mengatakan sebaliknya. Antara yang membolehkan ialah As-Siyooti, Ibn Hajar Al-`Asqalaani dan Ibn Hajar Al-Haythmi. Walaupun mereka bersetuju dengan perayaan ini, mereka tetap membangkang aturcara ketika Maulid itu(pada zamannya).

APAKAH HUKUM SAMBUTAN MAULUD
Seperti yang telah diketahui, perayaan Maulidur Rasul ini merupakan satu perayaan yang kontroversi. Ulama berbeza pendapat akan kebolehan perayaan ini. Kita sebagai masyarakat awam tersepit antara dua pendapat. Yang mana perlu kita turuti. Sedangkan kedua-dua belah pihak terdiri daripada ulama yang hebat dan tidak boleh ditolak lagi akan kewibawaan mereka. Di dalam artikel ini, akan dilampirkan kedua-dua belah hujah setakat mana yang mampu dikumpulkan. Melalui cara ini, kita dapat menilai sendiri yang manakah mempunyai hujah yang kuat. Dan insya Allah, kita akan berada di jalan yang benar.

HUJAH MEMBOLEHKAN MAULIDUR RASUL
Antara ulama yang menyokong akan Maulidur Rasul ialah Imam Jalaluddin Sayuti dan Sayid Ahmad bin Zaini Dahlan.

Telah berkata Imam Jalaluddin Sayuti:
"Ibadat macam itu adalah bid'ah Hasanah (bid'ah baik) yang diberi pahala mengerjakannya kerana dalam amal ibadat itu terdapat suasana membesarkan Nabi, melahirkan kesukaan dan kegembiraan atas lahirnya Nabi Muhammad SAW yang mulia".


Dan berkata Sayid Ahmad bin Zaini Dahlan:
Telah berlaku kebiasaan bahawa orang apabila mendengar kisah Nabi dilahirkan, maka ketika Nabi lahir itu mereka berdiri bersama-sama untuk meghormati dan membesarkan Nabi Muhammad saw. Berdiri itu adalah hal yang mustahsan (bai) kerana dasarnya ialah membesarkan Nabi Muhammad saw dan sesungguhnya telah mengerjakan hal serupa itu banyak dari ulama-ulama ikutan umat.


Berkata pula Syeikh Atiah Saqr:
Saya berpendapat tidak menjadi kesalahan untuk menyambut maulid. Apatah lagi di zaman ini pemuda pemudi Islam semakin lupa dengan agama dan kemuliannya. Perlu juga diingat sambutan tersebut janganlah dicemari oleh perkara-perkara haram dan bid€ ¦’²ah. Seperti pergaulan antara lelaki dan wanita tanpa batas. Kita juga tidak sewajarnya menjadikan sambutan ini sebagai satu tradisi yang khusus, sehingga timbul dalam kefahaman masyarakat jika sesuatu acara tidak dilansungkan maka seseorang itu dikira telah berdosa dan melanggar syariat.


Syeikh Yusuf Qardawi juga telah memberi komen mengenai maulid ini.
Beliau berkata(ringkasan):
Semua telah sedia maklum bahawa sahabat-sahabat Rasulullah saw tidak merayakan hari kelahiran Rasulullah saw. Ini adalah kerana mereka telah menyaksikan secara langsung setiap gerak-geri Rasulullah saw dan seterusnya ingatan terhadap Rasulullah saw itu kekal di dalam hati dan juga ingatan. Sad Abi Waqas mengatakan bahawa beliau begitu ghairah untuk menceritakan mengenai Rasulullah saw kepada kanak-kanak sama sepertiman keghairahan mereka mendidik anak-anak itu Al-Quran. Oleh kerana mereka sering menceritakan sejarah perjuangan Rasulullah saw, maka tidak perlulah mereka merayakan sepertimana dirayakan Maulid ar-Rasul kini.


Walaubagaimanapun, generasi terkemudian telah mula melupakan kegemilangan sejarah Islam dan kesannya. Dengan itu, perayaan Maulid Rasul ini diadakan bertujuan untuk mengingati sejarah Islam ketika Rasulullah saw masih hidup. Tetapi malangnya, Maulid Rasul ini telah bercampur dengan amalan bidah yang ditentang oleh Islam. Sebenarnya, meraikan hari kelahiran nabi bermakna meraikan hari kelahiran Islam.


Maka dibolehkan meraikan Maulid nabi ini dengan syarat tidak dicampur-adukkan dengan perkara-perkara bidah. Tetapi sebaliknya diisi dengan ceramah yang menceritakan akan sejarah Islam.


Berikut adalah antara dalil-dalil yang menjadi hujah bagi yang membolehkan Maulid ini:
1) Allah berfirman:
'maka orang yang beriman kepadanya (Muhammad saw) memuliakannya, menolongnya dan mengikuti cahaya yang terang yang diturunkan kepadanya (Al-Quran) mereka itulah yang beruntung.' - Al-Araf: 157


Keterangan:
Tujuan maulud diadakan adalah untuk memuliakan Nabi Muhammad saw. Maka perayaan maulud masuk dalam umum ayat tersebut.


2) Firman Allah:
'Dan ingatkanlah mereka dengan hari-hari Allah.'-Ibrahim. Ayat 5


Keterangan:
Al-Baihaqi di dalamSyakbu al-Iman daripada Ubai bin Kaab daripada Nabi saw, sesungguhnya baginda menafsirkan hari-hari Allah ialah hari-hari nikmat dan kurniaan Allah. Al-Alusi dalam Ruh al-Maani menjelaskan lagi dengan katanya kelahiran Nabi saw merupakan nikmat yang paling besar.


3) Bahawasanya Nabi Muhammad saw datang ke Madinah maka beliau mendapati orang-orang yahudi berpuasa pada hari Asyura iaitu hari 10 Muharram, maka Nabi bertanya kepada orang yahudi itu:Kenapa kamu berpuasa pada hari Asyura?´


Jawab mereka: Ini adalah hari peringatan, pada hari serupa itu dikaramkan Firaun dan pada hari serupa itu Musa dibebaskan, kami berpuasa kerana bersyukur kepada Tuhan. Maka Nabi berkata: Kami lebih patut menghormati Musa berbanding kamu. [Riwayat Bukhari dan Muslim.]


Ibnu Hajar Al-Asqalani pengarang Syarah Bukhari yang bernama Fathul Bari berkata bahawa dari hadis ini dapat dipetik hukum:


- Umat Islam dibolehkan bahkan dianjurkan memperingati hari-hari bersejarah, hari-hari yang dianggap besar umpamanya hari-hari maulud, miraj dan lain-lain.


- Nabi pun memperingati hari karamnya Firaun dan bebasnya Musa dengan melakukan puasa Asyura sebagai bersyukur atas hapusnya yang batil dan tegaknya yang hak.


4) Dalam sahih Muslim daripada Abi Qatadah al-Ansari berkata: Nabi (s.a.w.) telah ditanya tentang puasa pada hari Isnin lalu baginda bersabda:Di hari tersebutlah aku dilahirkan dan di hari tersebut jugalah aku diutuskan.


Keterangan:
Rasul saw menegaskan kelebihan hari kelahirannya berbanding hari-hari lain. Oleh itu setiap mukmin sewajarnya berlumba-lumba beramal dan bersyukur dengan kelahiran baginda saw yang membawa rahmat kepada seluruh alam.

HUJAH MENENTANG MAULIDUR RASUL
Berikut antara pendapat yang menentang bersertakan hujah mereka:


1)Nabi Muhammad saw tidak pernah merayakan atau menyuruh umatnya untuk merayakan hari kelahirannya. Nabi saw telah menekankan agar jangan memperbesarkannya sepertimana orang kristian memperbesarkan Nabi Isa as. Ini dijelaskan di dalam hadis riwayat Bukhari:
Baginda bersabda,Jangan memperbesarkan mengenai aku seperti Kristian memperbesarkan mengenai anak Maryam. Aku hanyalah hamba, jadi katakanlah, hamba Allah dan pesuruh Nya.(Au Qoma Qol)

Apa yang telah disuruh Rasulullah saw hanyalah menyuruh umatnya menjadikan hari kelahirannya satu hari untuk beribadat yang mana berbeza dengan perayaan. Bertepatanlah dengan hadis di bawah:


Dalam sahih Muslim daripada Abi Qatadah al-Ansari berkata: Nabi (s.a.w.) telah ditanya tentang puasa pada hari Isnin lalu baginda bersabda: Di hari tersebutlah aku dilahirkan dan di hari tersebut jugalah aku diutuskan.


Dan hendaklah kamu menjauhi perkara-perkara yang diada-adakan , kerana setiap yang diada-adakan itu adalah bidah , dan setiap bidah itu adalah sesat. [Diriwayatkan oleh Imam Abu Daud]


2)Para sahabat Rasulullah dan juga umat Rasulullah saw pada 3 abad kemudian tidak pernah merayakannya walaupun merekalah orang yang lebih mencintai Rasulullah saw lebih dari umat terkemudian..


Hadis Imran bin Husain r.a: Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya yang terbaik dari kalangan kamu ialah sezaman denganku, kemudian orang yang hidup selepas zaman aku, setelah itu orang yang hidup selepas mereka. Imran berkata: Aku tidak mengetahui kenapakah Rasulullah s.a.w menyebut selepas kurunnya sebanyak dua atau tiga kali. Selepas itu datang satu kaum yang di minta memberi penyaksian tetapi tidak di beri penyaksian, yang berkhianat sehingga tidak boleh dipercayai, yang suka bernazar tetapi tidak melaksanakannya dan sukakan kemewahan. Perayaan Maulid Nabi datang beberapa abad kemudian yang mana ciri-ciri Agama Islam yang sebenar sudah hilang dan bidah berleluasa.


3)Allah berfirman di dalam Al-Quran:
Katakanlah, "Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, niscaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu,Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. "


Katakanlah, "Taatilah Allah dan Rasul-Nya; Jika kamu berpaling, maka sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang kafir". (QS. 3:31-32)


Ayat di atas menerangkan cara menunjukkan kasih sayang yang sebenar yang patut dilakukan kepada Rasulullah saw. Ayat yang pertama di atas menjelaskan bahawa cinta itu hanyalah pengakuan, tetapi buktinya ialah menuruti apa yang Rasulullah saw bawakan. Manakla ayat kedua menekankan kepentingan dalam menuruti kehendak Allah dan Rasul Nya. Allah menyudahi ayat di atas dengan ancaman yang keras bahawa sesiapa yang tidak mahu mentaati adalah kafir dan Allah tidak mencintai orang kafir.


Pada hari ini telah Kusempurnakan untuk kamu agamamu dan telah Ku-cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Ku-ridhai Islam itu jadi agamamu. (QS. 5:3)


Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (yaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah. (QS. 33:21)


4)Kata-kata sahabat Rasulullah saw:


Huzaufah Ibnu Al-Yamaan ra berkata : "Setiap ibadah yg tidak dilakukan oleh sahabat Rasulullah saw, maka janganlah melakukannya"


Dan berkata Ibnu Mas'ud :"Ikutlah (sunnah) dan jangan menambah, dan telah cukup bagi kamu - perbuatan yg lama (kekal dengan cara lama)"


Jadi...sama-samalah kita membuat perkiraan dan pertimbangan yang sewajarnya sebelum kita mengambil keputusan untuk merayakan kedua-dua sambutan ini. Jika seluruh dunia masih berterusan menjadikan 14 Februari sebagai hari ”percintaan rasmi” mereka dengan pasangan mereka, marilah kita umat Islam menjadikan setiap hari sebagai bersatunya Ukuwah Mukminin sesama Mukminin dan Mukminat sesama Mukminat dengan memperkukuhkan ikatan ukhuwah, kasih sayang dan mencintai Allah dan RasulNya, demi menghadapi pakatan musuh Islam yang bertanggungjawab menjatuhkan kerajaan Islam Sepanyol, serta pada masa yang sama mendeklarasikan penentangan umat Islam kepada syirik dan penzinaan tajaan musuh-musuh Islam zaman berzaman.

Sumber:

06 February 2011 Tags: 0 comments

Implikasi serantau revolusi Mesir

Oleh:Haris Zalkapli Sumber: Harakah Daily
Pemimpin Perancis, Napolean Bonaparte pernah berkata, “Mesir ialah negara paling penting di dunia,” menjelaskan kepentingan negara Arab itu kepada kuasa-kuasa dunia semasa era empayar satu masa dulu.


Apapun yang mendasari pandangan Bonaparte itu, kepentingan Mesir di dunia dapat diperhatikan dan dirasakan pada masa ini, ketika negara itu sedang dalam proses melalui satu perubahan besar.

Kuasa-kuasa Israel, Amerika Syarikat, Arab Saudi, Eropah, Turki dan Iran semuanya bakal terkesan sekiranya dan apabila perubahan yang benar-benar mengubah dasar negara Mesir berlaku.

Israel jelas sekali merupakan kuasa yang akan paling terkesan, disebabkan sempadan dan sejarah yang mengikat kedua-dua pemain penting Asia Barat itu.

Mesir kekal sebagai satu-satunya negara yang mampu berperang secara terus dengan Israel, seperti yang telah ditunjukkan oleh sejarah.

Apapun keputusan peperangan masa silam, faktor ini tetap dipandang berat oleh rejim Zionis itu.

Pada masa ini, Mesir yang masih di bawah pimpinan Presiden Hosni Mubarak yang semakin terhakis keabsahannya, ialah faktor paling penting yang menjayakan kepungan ke atas wilayah Gaza, Palestin.

Sempadan kecil Gaza dengan Mesir yang menjadi talian hayat rakyat Gaza dikawal oleh pihak berkuasa Mesir, menjadikan Kaherah sebagai satu kuasa yang berperanan besar dalam memberi kesan kepada situasi dan kondisi di Gaza.

Kaherah juga pada masa kini berada di pihak Barat melibatkan rundingan diwakili Fatah dengan Israel, satu peranan yang menjadi faktor penting sokongan AS.

Sejak sekurang-kurangnya 2009, dalam tempoh menuju pilihan raya parlimen dan pilihan raya presiden yang dinantikan di Mesir, pemerintahan Hosni menunjukkan tindakan-tindakan yang keras terhadap Gaza dan pembangkang terutama gerakan Islam Ikhwan al-Muslimin.

Tindakan-tindakan pemerintah Mesir itu dibaca penentangnya sebagai usaha meminta sokonga daripada kuasa Barat, dengan menunjukkan kepentingannya memerangi gerakan Islam yang didakwa militan dan teroris, satu lagi kepentingan yang menjadi sebab penting dukungan kuasa-kuasa Barat selama ini.

Seperti rejim-rejim Arab lain, pemerintahan Hosni disokong kerana peranannya melawan kumpulan-kumpulan Islam yang didakwa ekstremis dan teroris (dengan isu hak asasi manusia dan demokrasi menjadi kurang penting berbanding memerangi “teroris.”)

Hal tersebut menjelaskan satu bahagian besar sokongan kuasa-kuasa asing terhadap rejim Hosni, yang dibenarkan memerintah dengan kuku besi selama 30 tahun kini.

Di kedua-dua Tunisia dan Mesir, kebimbangan yang dilihat pada pihak Barat ialah kemungkinan gerakan Islam menjadi pemain penting dalam negara tersebut dalam era selepas revolusi.

Kenyataan William Hague, menteri luar Inggeris tentang kebimbangan “ekstremis mengambil alih” di Mesir memberi satu gambaran sentimen dunia Barat.

Seluruh dunia Barat bakal terkesan oleh perubahan fundamental Mesir, yang salah satunya ialah menjadikannya lebih bebas daripada rejim Hosni sekarang yang terhutang dengan kuasa asing.

Kuasa terbabit juga masih mempunyai ruang dan peluang untuk mengatur dan melaksana tindakan, dalam tempoh berlaku perubahan dan tempoh peralihan termasuk pilihan raya baharu dan pembentukan kerajaan selepas itu, tempoh yang paling kritikal untuk melihat perubahan bermakna terlaksana.

Bergantung kepada sikap pemerintah baharu, perubahan fundamental Mesir juga mampu mengubah kedudukan negara itu dalam dunia Arab.

Sekiranya peranan Mesir dalam politik serantau merosot, pakatan Kaherah-Riyadh akan terjejas, dan berkemungkinan meningkatkan pengaruh kuasa pesaing lain.

Perubahan ini sememangnya telah dirasakan dan dibimbangi oleh kedua-dua pusat kuasa dunia Arab itu.

Mesir mencapai puncak prestijnya dalam dunia Arab di bawah Presiden Jamal Abdel Nasser yang membawa fahaman penyatuan Arab atau pan-Arabisme.

Pada masa kini, Mesir bersama Arab Saudi dan juga Jordan berperanan sebagai pemimpin dan suara dunia Arab, dan pada tahap tertentu, mewakili dunia Islam.

Mesir dan Arab Saudi terutamanya merupakan negara dominan dalam Liga Arab dan seluruh politik Asia Barat.

Salah satu medan persaingan kuasa-kuasa tersebut ialah Lubnan, yang menyaksikan pakatan Syria-Iran mengukuhkan pengaruhnya.

Aliansi Damsyik-Tehran, yang paling berjaya dan paling bertahan dalam politik serantau Asia Barat ini berdepan pelbagai cabaran dalaman dan luaran tetapi masih bertahan sehingga kini, walaupun sekadar pada sebab-sebab pragmatik.

Sekiranya Mesir tidak lagi bersama Arab Saudi dalam aliansi menguasai dunia Arab, peningkatan pengaruh Syria dan Iran boleh dijangkakan, terutama melibatkan Lubnan.

Ini ditambah lagi dengan dasar luar baharu Turki yang mengukuhkan pengaruhnya melalui usaha-usaha diplomasi, dan pada masa sama meningkatkan hubungan baik dengan Iran dan negara-negara Arab.

Banyak tindakan kerajaan Turki kebelakangan ini - paling utama melibatkan Israel - juga menjadikannya popular di dunia Arab dan Islam, memberikan Ankara aset untuk menjadi kuasa serantau disegani.

Sekiranya perubahan besar yang mengubah haluan fundamental negara-negara Arab seperti Mesir, Jordan dan Arab Saudi berlaku, politik serantau dunia Arab bakal muncul dengan bentuk yang jauh berbeza.

Pusat kuasa dunia Arab yang berpaksi pada Mesir dan Arab Saudi mampu untuk beralih kepada kuasa lain iaitu Turki dan Iran bersama Syria, dengan dua yang dominan bukan kuasa Arab di Asia Barat.

Memandangkan perubahan-perubahan yang berpotensi tercetus akibat perkembangan di dunia Arab hari ini, boleh dijangka tentangan terhadap perubahan itu tidak akan memberi laluan mudah untuk kemungkinan itu berlaku.

Hal ini juga menunjukkan kuasa-kuasa serantau dan dunia mempunyai saham untuk memberi kesan kepada perubahan-perubahan itu, menjelaskan lagi apa yang pernah diucapkan oleh Bonaparte tentang kepentingan Mesir

Revolusi Mesir: Di mana kedudukan Ikhwan Muslimin?

Oleh:Ahmad Lutfi Othman
Sumber: Harakahdaily

Kebangkitan rakyat Tunisia sehingga dapat menggulingkan diktator Zine El Abidin Ben Ali dalam waktu begitu singkat kini menjalar ke Mesir, dan berpotensi cerah meranapkan banyak lagi pemerintahan kuku besi di rantau Arab. Siapa pun tidak dapat menduga, anak-anak muda yang membesar dalam ledakan dunia maklumat tanpa sempadan, yang sentiasa dikongkong dan dikurung oleh budaya takut, berjaya menghalau Ben Ali dan keluarga.

Di Timur Tengah, hampir semua kerajaan yang memerintah tidak dipilih rakyat melalui sistem demokrasi. Sama ada ia sebuah republik atau sistem monarki, memihak Barat atau memusuhinya, mengadakan hubungan dengan Israel atau tidak, namun rakyatnya sentiasa ditindas dan dinafikan hak. Elit penguasa membolot dan menimbun kekayaan untuk diri, keluarga dan kroni. Negara kaya tetapi majoriti penduduknya merempat. Pengangguran, kemiskinan dan rasuah bermaharajalela. Manakala maruah umat tergadai dengan pergantungan kepada kuasa-kuasa luar.

Tumpuan kini tertumpu ke Mesir. Regim zalim Hosni Mubarak, yang menjadi sekutu rapat Amerika Syarikat dan zionis Israel hanya menunggu masa untuk runtuh. Diberitakan keluarga presiden yang memerintah selama 30 tahun itu sudahpun melarikan diri ke luar negara. Hosni tidak berupaya lagi membendung amarah rakyat, yang terus melancarkan protes tanpa henti biarpun berdepan risiko tinggi. Medan Tahrir menjadi saksi pertumpahan darah tidak dapat dielakkan, apatah lagi rakyat berdepan dengan dalang keganasan yang dicetuskan Parti Nasionalis Demokratik pimpinan Hosni.

Keaiban detik-detik akhir kehidupan presiden sebelumnya, Anwar Sadat yang dibunuh di hadapan publik dan disiar secara langsung televisyen, mungkin berulang kepada Hosni. Anwar ditembak mati seorang anggota tentera, Leftenan Khalid Islambouli ketika beliau berdiri menerima tabik hormat daripada perbarisan ketenteraan pada 6 Oktober 1981. Ia berpunca daripada kemarahan rakyat terhadap perjanjian Mesir dengan Israel, dalam Perjanjian Kem David, selain penentangan terhadap amalan rasuah dan kenaikan harga barangan.

Apabila rasa gentar dan takut sudah hilang daripada sanubari rakyat tertindas, tiada apa lagi yang mampu menghalang tercetusnya revolusi dan pemberontakan. Regim yang diperkasakan oleh pasukan keselamatan, khususnya polis rahsia yang dulunya digeruni kini terpaksa melutut dengan suara keramat rakyat. Pukulan belantan, perintah darurat, arahan berkurung, tembakan gas pemedih mata, peluru getah hatta ratusan kes pembunuhan oleh agen pemerintah; semuanya dianggap enteng apabila kepompong budaya takut pecah berkecai.

Malah balai polis diserbu penunjuk perasaan dan mereka bertindak nekad membakarnya. Satu simbol nyata bahawa ketakutan yang membungkus gerak kehidupan rakyat selama ini telah turut terbakar. Rasa hormat dan maruah diri yang dipijak-pijak sejak sekian lama mula bangkit mengisi roh generasi baru rakyat Mesir. Mereka kini sedang berusaha mencipta sejarah, bukan hanya untuk membebaskan negara yang "terjajah" sekian lama, juga bagi membawa obor semangat buat negara-negara jiran dan ummah seluruhnya.

Sejarah pembebasan negara-negara Arab, termasuk Mesir dan Tunisia, daripada belenggu penjajahan, memang luar biasa. Pengaruh Mesir terhadap orang-orang Melayu juga tidak kurang hebatnya. Akhbar-akhbar Melayu, seperti al-Ikhwan, Saudara, al-Imam, Idaran Zaman dan Suara Melayu sejak awal abad 20 telah melaporkan pergolakan politik dan gerakan kebangsaan rakyat Mesir. Nama-nama pejuang dan pemikir Islam seperti Jamaluddin Al-Afghani (1838-1897), Muhammad Abduh (1849-1905) dan Rashid Ridha (1865-1935) tidak asing lagi kepada orang Melayu, yang seterusnya menimbulkan polemik Kaum Muda di Tanah Melayu.

Menurut Prof Dr Mohammad Redzuan Othman dalam bukunya, Islam dan Masyarakat Melayu; Peranan dan Pengaruh Timur Tengah, gerakan Pan-Islamisme yang dipelopori Jamaluddin Al-Afghani telah mencetuskan kesedaran kebangsaan rakyat Mesir. Ketika di Mesir, Afghani berjaya mempengaruhi generasi muda dan ramai pengikutnya muncul memainkan perana penting dalam perkembangan sejarah Mesir moden. Gagasan ideanya -- yang menyeru umat Islam kembali kepada ajaran sebenarnya -- lebih berpengaruh jika dibandingkan dengan pergerakan nasionalisme Arab atau Mesir.

Selain itu, dua institusi besar Mesir yang juga cukup dekat-akrab dengan masyarakat Islam di Malaysia ialah Universiti Al-Azhar dan gerakan Islam, Ikhwan Muslimin. Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat merumuskan: "Itulah hebatnya Mesir. Bumi anbiya' yang dipilih Allah SWT untuk menjadi tuan rumah kepada universiti tertua di dunia ini telah melahirkan generasi ulama terbilang yang bertebaran menyebarkan ilmu ke serata dunia."

"Sayangnya," tambah Ustaz Nik Aziz, "Mesir hari ini ditadbir oleh rejim diktator yang sedikitpun tidak mencerminkan kemuliaan Universiti al-Azhar. Lihatlah bagaimana Syed Qutb telah dibunuh dengan kejam hanya kerana menulis kitab Maalim fit Tariq dan tafsir Fil Zilal al-Quran."

Isu Palestin juga begitu dekat dengan umat Islam sedunia dan rakyat negara ini. Di kala zionis Yahudi bertindak zalim sewenang-wenangnya, dibantu pula oleh Amerika Syarikat, maka peranan negara-negara jiran, sekurang-kurangnya untuk tidak sama-sama menekan amat diharapkan. Mesir pula pernah menunjukkan komitmen dan kekuatannya untuk berperang dengan Israel.

Malangnya Mesir mengkhianati amanah dan harapan ummah. Ia turut melakukan pengepungan ke atas wilayah Gaza, Palestin. Talian hayat rakyat Palestin dipotong. Bantuan dunia luar tersekat. Mesir memang terbukti menjadi sekutu rapat dan talibarut Israel memerangi kumpulan Islam di Gaza. Benarlah rumusan Ustaz Nik Aziz:

"Sesungguhnya tangan Hosni Mubarak ialah tangan berlumuran dengan darah rakyat Palestin. Kekuasaannya tegak di atas susunan tulang tulang para ulama yang dikorbankan demi untuk memenuhi tuntutan hawa nafsunya."

Secara peribadi, saya lebih terasa intim dengan Ikhwan Muslimin (ditubuhkan pada 1927, di Isma'iliyyah, Mesir), yang dianggap guru buat semua gerakan Islam moden. Saya kira hampir semua aktivis dakwah di negara ini sedikit sebanyak, secara langsung atau tidak langsung, dipengaruhi Ikhwan. Malah kebangkitan harakah Islamiyah di negara-negara lain, seperti Jamaat Islami di Pakistan, Masyumi di Indonesia, Parti Refah di Turki, Parti Islam Se-Malaysia (PAS) di Malaysia juga mendapat inspirasi daripada Ikhwan, yang kemudiannya diikuti Hamas di Palestin dan banyak lagi gerakan Islam di seluruh dunia.

Pengasasnya, Assyahid Hassan Al-Banna (14 Oktober 1906 - 12 Februari 1949) dibunuh regim Mesir melalui satu tipu helah jemputan perundingan dengan kerajaan. Imam yang agung itu terkena tujuh tembakan tetapi masih mampu berjalan memanggil ambulan. Bagaimanapun pihak tentera tidak membenarkan doktor merawatnya, sehinggalah Al-Bana sengaja dibiarkan mati dengan tumpahan darah yang banyak.

Tiada sesiapa dibenarkan menguruskan jenazahnya. Hanya ayahnya, Syeikh Ahmad Abdul Rahman, berusia lebih 90 tahun memandi dan mengafankan jenazah Al-Banna. Syeikh Ahmad bersama tiga anak perempuannya mengusung jenazah ke masjid dengan kawalan ketat tentera. Pengikut dan anak murid Al-Banna kemudiannya diburu bagaikan pengganas. Al-Banna bukan sahaja meninggalkan puluhan karya ulung untuk umat, tetapi lebih penting menunjukkan teladan unggul mengatur organisasi secara tersusun bagi melaksanakan perjuangan Islam di medan.

Kisah kezaliman dan penderitaan bukan hanya ditanggung Al-Banna tetapi seluruh generasi Ikhwan seterusnya. Penyeksaan yang ditanggung mereka terlalu perit untuk diceritakan. Penuh dengan air mata, penjara, darah, tali gantung, pengharaman dan pembunuhan kejam. Tokoh-tokoh Ikhwan lain yang harum namanya, dan terus disebut-sebut, selain meninggalkan khazanah pemikiran berharga, seperti Assyahid Syed Qutb, Assyahid Abd Qader Audah, Hassan Hudaibi, Umar Tilmisani, Mustafa Masyhur, Mustapha al-Siba'i, Said Hawwa, Syed Sabiq, Muhammad Al-Ghazali, Yusof Al-Qaradawi dan ramai lagi.

Memang ada pihak yang sangsi, apakah Ikhwan yang sering diperalatkan pemerintah akan "dipergunakan" sekali lagi apabila Mesir berdepan krisis besar? Apatah lagi Mesir merupakan negara paling strategik di Timur Tengah, malah bagi Napolean Bonaparte, ia negara terpenting di dunia. Regim Mesir sentiasa menekan dan menindas Ikhwan, sejak Raja Farouk, Jamal Abdul Nasser sehinggalah Anwar Sadat dan Mubarak. Walhal Nasser dan Sadat merupakan orang yang pernah rapat dengan Ikhwan.

Mohamad Fauzi Zakaria dalam, Aqidah Yang Menggoncang Dunia, yang merupakan kajian di peringkat sarjana terhadap pengaruh pemikiran Syed Qutb, menjelaskan Ikhwan terbabit secara aktif dalam Revolusi Julai 1952 menumbangkan tirani monarki, Raja Farouk. Malahan Syed Qutb ditawarkan beberapa kedudukan penting dalam kerajaan revolusi termasuk Menteri Pelajaran, memandangkan pengalamannya yang luas di bidang pendidikan. Namun beliau menolaknya.

Syed Qutb, dalam satu majlis yang dihadiri para pegawai tentera Mesir menegaskan: "Sesungguhnya revolusi telah berlaku ... keluarnya seorang raja tidak bermakna berakhirnya revovulsi. Bahkan matlamat terakhir revolusi ini ialah mengembalikan negeri ini kepada Islam ... Sesungguhnya diriku semasa pemerintahan beraja telah kusediakannya untuk dipenjarakan. Malah tidak aman diriku pada zaman ini pun untuk terus kusediakannya kepada penjara lebih daripada persediaanku sebelumnya." Dengan spontan, Jamal Abdul Nasser yang turut berada dalam majlis sama mencelah: "Saudaraku Syed, demi Allah, tidakkan sampai kebimbangan itu padamu melainkan langkahnya mayat kami. Kami berjanji padamu dengan nama Allah bahawa kamilah tebusan kepada dirimu sehingga maut!"

Realitinya, apa yang dibimbangi Syed Qutb itu terbukti benar. Atas konspirasi terancang, melalui fitnah terhadap gerakan itu, Ikhwan diharamkan pada 13 Januari 1954, pimpinan dan ribuan anggotanya ditangkap. Kenyataan rasmi regim Nasser, dua hari selepas itu: "Pengumuman penting Majlis Pimpinan Revolusi tentang Ikhwan Muslimin, hubungan mereka dengan Inggeris dan mengadakan pertubuhan sulit di dalam pasukan polis dan tentera dalam usaha menggulingkan kerajaan dengan berselindung di sebalik pergerakan agama." Syed Qutb akhirnya terkorban syahid di tali gantung pada pagi Isnin, 29 Ogos 1966, selepas dua kali dipenjarakan.

Saya yakin, suasana kini sudah banyak berubah. Generasi Ikhwan yang terlatih, berakhlak dan berdisiplin, serta kaya dengan pengalaman -- dibantu arus globalisasi dan dasar langit terbuka yang mempercepatkan proses pendemokrasian dan boleh menyulitkan berulangnya konspirasi jahat terhadap Ikhwan -- pasti bersedia menyumbang khidmat menyelamatkan Mesir secara lebih berkesan. Buat masa ini mereka lebih bersedia menonjolkan Mohamed El-Baradei, penerima Hadiah Nobel Keamanan 2005, ke hadapan. "Kemahuan kami adalah kehendak rakyat," kata salah seorang pemimpin Ikhwan di Kaherah.

Insya-Allah, Ikhwan tidak dapat ditipu lagi, manakala pemimpinnya lebih berhati-hati dan bijaksana membaca realiti bagi mengatur rentak. Imej ekstrimis, militan dan teroris, walaupun masih cuba dipalit ke wajah Ikhwan, namun agak sukar mempengaruhi majoriti rakyat yang sudah bersatu hati menghambat Hosni. Dalam masa sama, dipercayai regim Hosni cuba "bertarik tali" dan berlengah-lengah untuk meletakkan jawatan, bagi mempastikan pembaharuan Mesir tidak diterajui Ikhwan. Pemerintahan Amerika Syarikat yang menyokong transisi politik di Mesir turut meminta Hosni bertahan, bagi memastikan proses pembaharuan berjalan secara lancar dan aman.

Sekiranya pilihan raya adil dan bebas diadakan di Mesir, seperti pernah berlaku di Algeria dan Lubnan, juga seumpama di Turki, Ikhwan seperti gerakan Islam lainnya, akan mendapat sokongan ramai. Cuma, kepentingan Amerika dan Israel (terbukti Ikhwan bersedia bangun menentang Israel termasuk memikul senjata di medan perang) di Mesir jauh lebih besar berbanding Tunisia yang dibiarkan jatuh. Justeru, strategi dan pendekatan terbaik amat diperlukan oleh gerakan Islam masa kini, agar segala ruang sabotaj ditutup serapat mungkin.

02 February 2011 Tags: 0 comments

Bawa pulang segera pelajar-pelajar Malaysia di Mesir

Ketika membaca berita-berita mengenai kecelaruan, rusuhan dan pergolakan di Mesir hati saya benar-benar cemas. Kerana saya juga pernah berada di sana dan terbayangkan tempat-tempat yang disebutkan..Lagi sahabat-sahabat saya masih ramai di sana, juga sepupu terdekat saya Nadhirah juga di sana...terbayang bagimana situasi mereka, sudah tentu juga di dalam keadaan yang amat mencemaskan.

70 peratus pelajar Malaysia berada dikawasan darurat terutama di Kaherah.Keadaan di sana sudah semakin meruncing...mustahil untuk para pelajar mendapatkan bekalan makanan dan kewangan memandangkan kedai semuanya ditutup.Rakyat Malaysia keseluruhannya sudah amat maklum mengenai hal ini malah desakan-desakan turut diutarakan...Usaha membawa pulang Pelajar Malaysia perlu dipercepatkan dan kerajaan perlu bertindak segera.

Marilah kita bersama-sama merafa'kan doa dengan setulusnya agar sahabat-sahabat,saudara-mara juga umat Islam semua di dalam keadaan selamat...ameen

Kebangkitan rakyat Mesir: Saat sekutu Israel dijatuhkan Allah

Nik Abdul Aziz Nik Mat
Sumber:Harakah Daily 

Mesir dikenali bukan kerana piramidnya. Ini kerana binaan yang menakjubkan bukan sahaja wujud di Mesir, tetapi juga di Indonesia dengan Candi Borobudur, di China dengan Tembok Besar, Patung Zues di Olimpia, Greek dan banyak lagi binaan-binaan lain di seluruh dunia. Bukanlah kemuliaan dan kehebatan Mesir di kehebatan binaan piramidnya yang lebih merupakan lambing kezaliman penguasa terdahulu terhadap rakyatnya di zaman tersebut.

Sesungguhnya kehebatan Mesir ialah kerana Universiti al-Azhar yang diasaskan pada tahun 970M. Itulah hebatnya Mesir. Bumi anbiya’ yang dipilih Allah SWT untuk menjadi tuan rumah kepada universiti tertua di dunia ini telah melahirkan generasi ulama terbilang yang bertebaran menyebarkan ilmu ke serata dunia. Atas kemuliaan ini, pemimpin Mesir sewajarnya terdiri daripada mereka yang mempunyai komitmen dengan Islam.

Sayangnya, Mesir hari ini ditadbir oleh rejim diktator yang sedikitpun tidak mencerminkan kemuliaan Universiti al-Azhar. Lihatlah bagaimana Syed Qutb telah dibunuh dengan kejam hanya kerana menulis kitab Maalim fit Tariq dan tafsir Fil Zilal al-Quran. Sekalipun dibunuh atas tuduhan memberontak, beliau tetap dipuji oleh ulama-ulama terkemudian seperti Syeikh Mutawalli Sya’rawi dan Dr. Zaghloul Najjar. Kedua-dua ulama ini setiap kali menyebut nama Syed Qutb pasti akan diikuti dengan rahimahullah rahmatan wasiatan (semoga Allah merahmatinya dengan rahmat yang luas).

Kezaliman rejim Hosni Mubarak di Mesir terbukti dengan kemenangan besarnya yang dicemari dengan penyelewengan besar-besaran setiap kali diadakan pilihanraya. Kemenangannya yang mencapai 99% merupakan hasil demokrasi tempang dan cacat. Di dalam masa yang sama, rejim inilah yang menangkap ribuan pimpinan Ikhwanul Muslimin bagi menghalang mereka bertanding di dalam pilihanraya. Jika benar Hosni Mubarak menang besar di dalam pilihanraya dengan sokongan rakyat, dari mana datangnya penunjuk perasaan yang berjumlah ratusan ribu pada hari ini?

Rejim inilah juga yang menghulurkan tangan persahabatan dengan Israel pada saat Israel dikutuk di seluruh dunia kerana menzalimi rakyat Palestin. Mereka menidakkan fatwa yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa al-Azhar pada 18 Jamadil Awwal 1375H bersamaan 2 Januari 1956M yang mengharamkan sebarang bentuk kerjasama dengan negara haram Israel. Di antara mereka yang bersidang pada hari itu ialah Syaikh Isa Manun, Dekan Fakulti Syariah dari Mazhab Syafi'i, Syaikh Mahmoud Shaltout, dari Mazhab Hanafi, Sheikh Mohamed Thaneikhi, Pengarah Badan Dakwah dan Bimbingan Keagamaan, dari mazhab Maliki, Syaikh Muhammad Abdul Lathif As-Subki, Pengarah Penyelidikan Universiti Al-Azhar dari mazhab Hanbali dan Syaikh Zakaria Al-Birri, Bahagian Jawatankuasa Fatwa.

Sesungguhnya tangan Hosni Mubarak ialah tangan berlumuran dengan darah rakyat Palestin. Kekuasaannya tegak di atas susunan tulang tulang para ulama yang dikorbankan demi untuk memenuhi tuntutan hawa nafsunya. Hari ini, tindakan paling tidak demokratik telah dilaksanakan dengan menutup semua akses internet dan talian telefon semata-mata untuk membendung kebangkitan rakyat.

Dalam hal ini, saya menyetujui pandangan Syeikh Dr Yusuf al-Qaradawi supaya Hosni Mubarak meletakkan jawatan dan akur dengan kehendak rakyat Mesir demi kebaikan rakyat Mesir dan umat Islam keseluruhannya. Semoga Allah SWT akan menaikkan penguasa yang benar-benar berkhidmat untuk rakyat dan Islam khususnya membela nasih umat Islam di tanah yang bersempadan dengan Mesir iaitu Palestin. Padanlah kalau pihak yang kecut perut sekarang ini dengan perkembangan yang berlaku ialah Israel.

Sekian, wasalam.

.

.