23 January 2012 Tags: 0 comments

alahai limau

Assalamualaikum dan salam ziarah..
Alhamdulillah, 3minggu telah berlalu persekolahan dan minggu ini berjumpa dengan cuti lagi.Selamat Tahun Baharu Cina buat kaum Tiong Hwa. Bila sebut Tahun Baharu Cina, ada satu perkara yang sangat saya suka...buah limau Mandarin yg sangat manis:)

Memang sekarang ini saya sangat sukakan buah limau, tapi yang manis-manis sahaja. Sejak bila saya sukakan limau pun saya tak perasan, mungkin sejak banyak makan limau murah di Mesir dulu. Anakanda Aufa juga persis mamanya, pantang jumpa limau juga.Mungkin terikut-ikut tabiat saya semasa mengandung dulu yang setiap hari minta limau manis dari arwah baba.Maka, masa itu setiap harilah baba Aufa belikan limau pelbagai jenis,kecil,besar dan macam-macam versi setiap kali..hehe. Seronok ingat kisah itu, namun itu hanya kenangan manis semasa hayat bersama mama.

Alhamdulillah, Tahun Baharu Cina kali ini dapat lagi beberapa kotak limau.Maka, tok pun 'tauzi' sedikit seorang untuk sama-sama merasa pemberian orang.'Panjangkan sedekah' katanya.

Terbaca saya suatu cerita mengenai limau di FB tadi, seronok untuk dikongsi di sini.begini kisahnya,saya copy dan paste sahaja, selamat membaca.

‘Abg, masamnya limau jiran kita bg ni.. >_<’ Luah si adik smbil mengeyitkan matanya sewaktu memakan limau yg dihadiahkan jirannya yg menyambut Tahun Baru Cina.. ‘Adik..adik nk tahu tak kisah Rasulullah dan buah limau, bila abg tgk keadaan adik ni, abg ingat kat satu kisah ’ Si adik terus menjawab,..’nak2’ 

‘Erm suatu hari Rasulullah s.a.w didatangi oleh seorang wanita kafir, masa tu baginda bersama beberapa orang sahabat. Wanita itu membawa beberapa biji buah limau sebagai hadiah untuk nabi. Cantik sgt buahnya. Siapa2 yang tengok pasti terliur dik. Baginda menerimanya dengan senyuman gembira. Hadiah itu dimakan oleh Rasulullah s.a.w seulas demi seulas dengan tersenyum. Biasanya Rasulullah s.a.w akan jemputlah para sahabat makan bersama apa yang diterimanya, namun kali ini tidak pula dik. Pelik kan?Tidak seulas pun limau itu diberikan kepada mereka. 

Rasulullah s.a.w terus makan. Setiap kali dengan senyuman, hinggalah habis semua limau itu. Kemudian wanita itu meminta diri untuk pulang, diiringi ucapan terima kasih dari baginda. Sahabat-sahabat agak hairan dengan sikap Rasulullah s.a.w itu. Lalu mereka tanyalah lepas tu,mengapakah Rasulullah tidak menjemput mereka makan limau yang nampak sedap itu. Dengan tersenyum Rasulullah s.a.w menjelaskan "Tahukah kamu, sebenarnya buah limau itu terlalu masam semasa aku merasainya kali pertama. Kiranya kalian turut makan bersama, aku bimbang ada di antara kalian yang akan mengenyitkan mata atau memarahi wanita tersebut Aku bimbang hatinya akan tersinggung. Sebab tu aku habiskan semuanya.". 

Begitulah akhlak Rasulullah s.a.w. dik, Baginda tidak akan memperkecil-kecilkan pemberian seseorang biarpun benda yang tidak baik, dan dari orang bukan Islam pula. Wanita kafir itu pula pulang dengan hati yang kecewa. Mengapa ya dik? Erm sebenarnya dia bertujuan ingin mempermain-mainkan Rasulullah s.a.w dan para sahabat baginda dengan hadiah limau masam itu. Malangnya tidak berjaya. Rancangannya di'tewas'kan oleh akhlak mulia 

Rasulullah s.a.w...hebatkan Rasulullah punya akhlak yg sgt baik.. Si adik tersenyum ^_^, dan menyimpulkan bhw ‘Jadi, kita hendaklah menghargai pemberian orang lain walaupun pemberian tersebut bukan kesukaan kita. Kena ucp terima kasih dan menerima dengan hati yang ikhlas dan terbuka kerana setiap pemberian adalah rezeki daripada Allah.’ Kan abg? ‘Betul2...jom kita tiru akhlak nabi, insyaAllah ’

wallahu 'alam

08 January 2012 Tags: 0 comments

Cinta Yang Hilang

Cinta Yang Hilang
Oleh:Lia Salsabilla

Semilir angin kian lembab
Lahirkan titik titik embun dihujung dedaun
Cengkerik bersiul merdu
Sayup suara Ku Ku si burung hantu
Suasana malam yang kian pekat nan senyap
Temaniku dalam pilu

Aku termenggu
Gejolak rindu seolah membeku
Rembulan yang tinggal separuh
Mengintip dari celah jendela kamarku
Dia pun terlihat agak sendu
Meski tetap tersenyum merayu
Seolah dia tahu gundahku
Oh rembulan
Tahukah engkau dihujung langit mana dia terbang
Tak satupun nampak jejak juga bayang
Masihkah rindu ini harus ku genggam
Hingga sampai saat itu menjelang

Aku mencintainya sepenuh hati
Amat merinduinya meski telah pergi

Ku hanya ingin bertatap
Walau hanya sekejap
Namun itu takkan mungkin terjadi
Tidakkah seharusnya rasa ini telah mati
Dan sirna dari hati ini
Namun dia tetap bertahta di palung sanubari

Sekalung Al Fatihah buat Almarhum Suamiku Muhamad Fauzi Bin Azizan, sedar tak sedar telah genab 2tahun abang pergi meninggalkan kami.Namun, cinta dan kasihnya tidak pernah padam malah aku masih merinduinya. Aku, selaku pemegang amanah abang akan sentiasa berusaha agar buah cinta kita akan dicorak dengan acuan yang abang pernah luahkan. Semoga kita akan bersua di sana nanti,Insyaallah biiznillah.

07 January 2012 Tags: 0 comments

Perutusan 2012 by Hati Besi

sebuah ukhuwwah
Assalamualaikum warahmatullah...
Salam ziarah di entri pertama di tahun 2012. Minggu kedua ini,rasanya belum terlambat untuk saya titipkan Ucapan Selamat Tahun Baru. Biasanya yang dikaitkan dengan tahun baru sudah tentulah 'sebuah azam'.Tetapi untuk menanam azam, tidak semestinya di tahun baru sahaja, betul tak?

Kerana, sebagai umat Islam, Allah telah membuka luas ruang taubat kepada hamba-hambanya yang berdosa untuk melaksanakan taubat, bukan hanya bertaubat apabila tiba tarikh-tarikh yang tertentu sahaja. Prinsip azam dan taubat sama sahaja. Yang penting, pasang niat dan laksanakan.

Bercakap berkenaan tahun baru, bermakna telah bertambah setingkat lagi hitungan usia kita. Juga bermakna, berkurang setingkat lagi usia kehidupan kita. Sebab itu biasa kita dengan luahan teman-teman "Cepatnya masa berlalu."

Sedar tidak sedar sahaja, seolah berada di sebuah filem. Namun, saya suka mengkoreksi apa yang telah berlaku dalam kehidupan saya. Bukankah kehidupan ini ibarat sebuah roda? Apa yang berlaku hari ini sudah pasti akan berulang kembali suatu hari nanti.  Sejarah yang pernah saya ukir, saya kenang lagi dan lagi. Kerana di hati saya ada sedikit sesalan pada sebuah ketaatan,perubahan yang pernah saya lakukan dan kebaikan yang pernah saya kongsikan.

Jadi, dalam melalui perjalanan hari ini, kena sentiasa berhati-hati dalam melangkah. Hati-hati dengan erti kata membawa sebuah panduan bersama-sama. Sudah tentu panduan kita sebagai muslim dengan meletakkan Al Quran dan Sunnah di sisi kita. Apabila terpana pada suatu lubang, maka tanyalah panduan itu, sudah pasti suatu hari nanti kita akan sampai dengan selamat di jalan yang terang.

Di dalam mengkoreksi pula, pelbagai halangan pasti tiba.Berhati-hatilah juga dengan bisikan noda dari musuh syaitan yang sentiasa mewar-warkan kepalsuan. Usah bertanya-tanya kenapa dan kenapa sesuatu yang pernah terjadi, sebaliknya bertanyalah bagaimana untuk kita ulangi kegemilangan amal dan ilmu yang pernah kita miliki.

Dalam urusan bersahabat pula, sentiasalah mencerahkan hati dengan sikap bersangka baik, kerana nilai sebuah ukhuwwah itu amat besar nilainya. Bukankah setiap mukmin itu adalah bersaudara? Usah mencipta pelbagai cerita keburukan sahabat kita, sekalipun cerita yang sampai itu adalah realitinya. Sebaliknya usahalah mengikat semula tali yang terputus. Musnahkan benteng penghalang kepada ketulusan hati dalam bersahabat. 

Insyaallah jalan dan panduan telah lama tersedia, sebagai insan kitalah yang mendorong hati dan akal yang dimiliki ini untuk mencari cahaya ilahi. Semoga sikap dan perlakuan kita akan sentiasa membawa 'sakinah' kepada mereka-mereka dan alam di sekeliling kita.Ibaratnya, di campak ke laut menjadi pulau dan dicampak ke darat menjadi gunung khusus dalam beramal. Semoga kita menjadi insan yang sama-sama beriringan  ke syurga nanti, dengan rahmat Allah taala. Wallahu 'alam.

.

.