04 March 2012 Tags: 0 comments

Apa itu Istidraj?

Di dalam mengharungi kehidupan sebagai seorang manusia lebih-lebih lagi manusia muslim, Allah SWT akan menguji kita dengan pelbagai bentuk ujian. Secara mudahnya ujian Allah SWT ke atas manusia ada dua bentuk. Yang pertama dalam bentuk nikmat dan yang kedua dalam bentuk bala.

Contoh ujian Allah SWT dalam bentuk nikmat antara lain ialah pangkat, kedudukan, kuasa, kekayaan, kemewahan, sihat tubuh badan, tidak pernah sakit dan banyak lagi. Manakala ujian Allah SWT dalam bentuk bala antara lain ialah tiada pangkat dan kedudukan, tidak memiliki kuasa, kemiskinan, kemelaratan hidup, sakit, kematian ahli keluarga terdekat dan banyak lagi. Kebanyakan manusia muslim dan mukmin mampu mengharungi ujian Allah SWT dalam bentuk bala ini. Malangnya ramai manusia termasuk yang muslim tetapi tidak mukmin gagal mengharungi ujian Allah SWT dalam bentuk nikmat.

Ramai manusia yang hanyut dengan nikmat Allah SWT dan tidak sedikit pula yang menjadi riak, sombong, angkuh, takbur dan ada yang mengaku menjadi tuhan dengan nikmat yang Allah SWT berikan kepada mereka. Contoh klasik yang patut di fikirkan tentang jenis manusia yang mendapat nikmat tetapi lupa kepada Allah SWT ialah Firaun, Qarun, Namrud dan banyak lagi. Mereka ini semuanya ditimpa dengan bala bencana dan kemudiannya dimusnahkan oleh Allah SWT. Tidakkah terfikir oleh kita kenapa sesudah diberikan dengan pelbagai nikmat, Allah SWT musnahkan pula mereka dan segala nikmat yang telah mereka perolehi.

Perkara inilah yang dinamakan istidraj. Pemberian nikmat oleh Allah SWT kepada manusia yang mana pemberian itu tidak diredhaiNya. Kenapa pula terjadi beri tetapi tidak redha. Inilah satu kaedah Allah SWT berurusan dengan manusia yang tidak tahu bersyukur dan ingkar dengan perintahnya. Pelbagai nikmat telah diberikan tetapi manusia tidak beriman dan bersyukur sebaliknya menjadi betambah angkuh, sombong, bongkak , takabur dan kafir terhadap Allah SWT. Dalam hal ini tidak hairanlah jika Allah SWT beri tetapi tidak meredhainya.

Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: “Apabila kamu melihat bahawa Allah SWT memberikan nikmat kepada hambaNya yang selalu membuat maksiat (dosa) ketahuilah bahawa orang itu telah diistidrajkan oleh Allah SWT”. (Diriwayatkan oleh: At-Tabrani, Ahmad danAl-Baihaqi)

Agak malang bagi manusia yang melakukan dosa dan maksiat ini kerana terkeliru dengan pemikirannya yang merasakan bahawa nikmat yang melimpah ruah itu tadi sebagai tanda Allah SWT bersama dan meredhai perbuatannya. Mereka dilalaikan oleh syaitan dengan nikmat itu tadi sehingga tidak terfikir bahawa nikmat yang banyak inilah yang bakal memusnahkan hidup mereka.

Sebenarnya manusia yang telah diistidraj adalah jenis manusia yang lupa daratan. Walaupun berbuat dosa dan maksiat masih merasakan Allah SWT amat menyayanginya. Mereka memandang hina kepada orang yang kuat beramal soleh. “Dia tu siang malam ke masjid tetapi basikalpun tak mampu beli, sedangkan aku ke kelab malam pun dengan kereta mewah. Tak payah beribadat pun rezeki datang mencurah-curah. Kalau dia tu sikit ibadatnya tentu boleh kaya macam aku, katanya sombong”. Sebenarnya nikmat yang banyak Allah SWT berikan kepadanya adalah bertujuan untuk menghancurkannya.

Rasulullah SAW bersabda: Apabila Allah SWT menghendaki untuk membinasakan semut, maka Allah SWT terbangkan semut itu dengan dua sayapnya” Sebagai contoh perbandingan daripada hadis ini ialah bangaimana Allah SWT memusnahkan anai-anai. Anai-anai, jika tidak bersayap akan duduk diam di dalam busut, atau merayap di dalam kayu, atau di bawah batu dan di celah-celah timbunan daun kering. Bila Allah SWT berikan sayap anai-anai berubah menjadi kelkatu. Timbul sifat sombongnya bila mendapt sayap (nikmat) lalu cuba melawan api atau cahaya. Maka anai-anai tadi akan binasa dan mati. Begitu juga dengan manusia, bila dapat nikmat (kekayaan, kemewahan, pangkat, kedudukan, kuasa dan sebagainya) akan cuba melawan Allah SWT dengan cara tidak beriman dan tidak bersyukur kepadaNya. Maka manusia itu tadi dibinasakan oleh Allah SWT dengan pebagai cara dan mati.

Sebagai buktinya ialah Firaun. Tidak ada orang yang memiliki kuasa dan kedudukan yang hebat dan luar biasa melainkan Firaun. Nikmat yang Allah SWT berikan kepadanya tidak terkira. Kuasanya tiada tandingan, semua orang tuduk dan patuh kepada kehendaknya, kekayaannya melimpah ruah, tidak pernah sakit, bersin pun tak pernah kerana Allah SWT berikan nikmat sihat yang luar biasa kepadanya. Allah SWT berikan semua ini kerana Allah SWT telah menistidrajkan Firaun. Firaun menjadi angkuh, sombong, bongkak dan takbur sehingga peringkat mengaku dirinya tuhan. Dalam hidupnya dia tidak pernah bersyukur. Dia melawan Allah SWT tanpa henti. Akhirnya dengan nikmat itulah Allah SWT binasakannya.

Firaun sudah binasa. Hanya tinggal sebagai bahan sejarah untuk renungan umat yang terkemudian iaitu kita di hari ini. Walaupun Firaun sudah tiada, orang yang memiliki sifat dan perangai sepertinya masih ramai di bumi Allah ini. Orang seperti ini juga pasti binasa kerana telah diistidrajkan oleh Allah SWT. Hanya menunggu saat dan ketikanya sahaja. Contoh klasik daripada kejadian kemusnahan yang menimpa Firaun ini patut dijadikan sebagai iktibar dan teladan oleh mereka yang memiliki sifat dan perangai sepertinya.

Namrud yang kuat menyembah patung dan sangat berkuasa cuba untuk membakar Nabi Ibrahim AS. Oleh kerana terlalu berkuasanya Namrud menjadikan dia begitu marah dengan sesiapa sahaja yang menentang kekuasaannya. Kekuasan yang tiada tolok banding yang Allah SWT berikan kepada Namrud juga satu bentuk istidraj. Dia begitu sombong dan melawan Allah SWT yang telah menciptakannya. Akhirnya Allah SWT binasakan dengan menghantar tenteranya dalam bentuk nyamuk sahaja. Namrud dan pengikutnya dibinasakan. Salah seekor nyamuk memasuki lubang hidungnya dan Namrud pun binasa. Amat mudah bagi Allah SWT memusnahkan sesiapa yang dikehendakiNya. 

Tidak ada manusia di muka bumi Allah SWT ini sekaya Qarun. Anak kunci gudang hartanya sahaja kena dipikul oleh 40 ekor unta. Bayangkanlah!. Itu baru anak kunci gudang hartanya. Hartanya bagaimana?. Hanya Allah SWT yang tahu betapa kayanya manusian bernama Qarun ini. Ini pun istidraj juga namanya. Qarun sangat kaya tetapi sangat kuat melawan Allah SWT. Dia tidak pernah sujud dan bersyukur kepada Allah SWT. Akhirnya Allah SWT binasakannya dengan ditengelamkan bersama-sama hartanya. 

Jika kita fikir secara halus dan terperinci, maka terjawablah segala keraguan yang menggangu fikiran kita. Mengapa orang kafir sangat berkuasa dan kaya, orang yang berbuat dosa dan maksiat sangat berkuasa dan kaya, Amerika dan Israel sangat hebat, berkuasa dan kaya. Jawapannya mereka telah diistidrajkan oleh Allah SWT. Segala bentuk nikmat yang Allah SWT berikan kepada mereka tidak dengan keredhaanNya dan bertujuan untuk menghancurkannya. Hanya masa dan ketika sahaja untuk melihat mereka ditimpa kemusnahan seperti umat yang terdahulu. Yakin dan percayalah bahawa Allah SWT itu lebih mengetahui segala sebab musabab sesuatu itu dijadikanNya. 

Sebagai kesimpulannya, apabila kita benar-benar memahami maksud istidraj sudah pasti tidak berlaku salah persepksi terhadap istilah istidraj ini. Tidak semestinya orang yang berpangkat, berkuasa, memiliki kekayaan, kemewahan, sihat dan tidak pernah sakit kita katakkan orang ini telah diistidrajkan oleh Allah SWT. Dengan pelbagai nikmat yang mereka perolehi kemudian mengabdikan diri kepada Allah dengan cara bersyukur dan melakukan suruhan serta meninggalkan laranganNya maka orang ini tidaklah diistidrajkan. Inilah sebaik-baik cara apabila kita memperolehi apa sahaja nikmat daripada Allah SWT. Sepatutnya semakin banyak nikmat yang diperolehi semakin rapat dan dekat jiwa kita terhadap Allah SWT. Semakin banyak nikmat yang diperolehi sepatutnya semakin kuat bersyukur dan mencari keredhaanNya serta mengabdikan diri kepadaNya. Orang yang mendapat nikmat dan berbuat seperti ini pasti akan selamat di dunia dan di akhirat.
Untuk Peringatan.

01 March 2012 Tags: 0 comments

Bagaimana menghilangkan marah

Assalamualaikum dan salam ziarah...

Kali ini ingin saya kongsikan sedikit info yang saya terbaca di sebuah blog, bagaimana menghilangkan rasa marah. Yalah, setiap hari ada sahaja perasaan marah di hati kita..(mungkin saya sahaja) Di tempat kerja,di sekolah,malah kekadang terbawa-bawa ke rumah.Kenapa ya kita ni marah?

"Sifat pemarah itu berasal daripada sifat sombong (ego). Lagi besar ego seseorang lagi besar marahnya. Ini berkaitan pula dengan kedudukan seseorang. Kalau tinggi kedudukan seseorang, besar pangkatnya, banyak hartanya, ramai pengikutnya, maka akan tinggilah ego seseorang dan akan menjadi-jadilah pemarahnya. Sebaliknya jikalau kurang segalanya, maka akan kuranglah egonya dan akan kurang jugalah pemarahnya.

Sifat pemarah ini ada pada hampir semua orang seperti juga hasad dengki. Kenapa kita mesti marah ? Telah berkata Mujahid di dalam sebuah bait syair : "Takdir Allah telah putus dan putusan Allah telah terjadi. Istirehatkan hati dari kata-kata "Barangkali" dan "Kalau".

Setiap kelemahan dan kesilapan manusia adalah ujian untuk kita. Allah mahu melihat bagaimana sabarnya kita dan malunya kita kepada Allah dengan mengucapkan " Inna lillahi wainna lillahi raji'un.". Pernah ditanya Ahnaf bin Qais, bagaimana dia boleh mengekalkan sifatnya yang lemah lembut itu. Ahnaf menjawab : " Aku belajar dengan Qais bin Asim iaitu pada satu hari sedang berehat-rehat, masuk hambanya membawa panggang besi yang berisi daging panggang yang masih panas. Belum sempatdaging itu diletakkan dihadapan Qias, tanpa sengaja besi pemanggang yang panas itu jatuh terkena anak kecil Qais.

Menjerit-jeritlah si anak, kesakitan dan kepanasan sehingga meninggal dunia. Qais yang melihat peristiwa itu dengan tenang berkata kepada hambanya yang sedang pucat dan menunggu hukuman " Aku bukan sahaja tidak marah kepada kamu tetapi muali hari ini aku akan membebaskan kamu." Begitulah sopan santunnya dan pemaafnya Qais bin Asim" Kata Ahnaf mengakhiri ceritanya.

Bukannya Qais tidak menyayangi anaknya tetapi Qais memandang segala kejadian itu adalah dari Allah. Jikalau dia bertindak memarahi hambanya, maka hakikatnya dia memarahi Allah. Dia redha dengan ujian yang ditimpakan kepadanya. Tidak ada di dalam kamus hidupnya perkataan kalau atau barangkali. Hatinya tidak terasa dia " tuan" kerana apa yang ada padanya dirasakan amanah dari Allah. Yang bila sampai ketikanya Allah akan ambil kembali.

Kita mesti ubati hati kita. Kita kita mesti membuangkan rasa rasa "ketuanan" kita yang menyebabkan kita menjadi pemarah dengan melakukan mujahadatun nafsi. Di antara langkah yang perlu kita hadapi untuk menghilangkan marah ialah :

a) Mula-mula kita perlu malu dengan Allah s.w.t akan segala tindak-tanduk kita. Allah memerhatikan segala perlakuan dan sikap biadab kita.

b) Bila datang rasa hendak marah, ingatlah kita ini hanyalah manusia yang hina.

c) Banyakkan berdiam diri dan berdoa kepada Allah agar Allah selamatkan kita daripada sifat marah.

d) Hendaklah ingat kesan daripada sifat marah itu mungkin akan membawa kepada permusuhan dan pembalasan dendam dari orang yang anda marahi.

e) Cuba bayangkan betapa buruknya rupa kita ketika kita sedang marah. Ianya lebih buruk daripada perlakuan seekor binatang jikalau anda di dalam keadaan yang marah.

f) Apabila datang marah, banyakkan baca Ta'awwuz ( A'uzubillahi minas Syaitanirrajim ) kerana marah itu datangnya daripada syaitan.

g) Apabila marah sedang memuncak, ambil wudhu kerana wudhu dapat menenangkan api kemarahan yang sedang membara.

h) Jikalau tidak boleh hilang marah dengan hal tersebut di atas, hendaklah tidur. Kerana ianya akan meredakan perasaan marah apabila bangkit daripada tidur

i) Tauhid kita perlu tepat. Setiap sesuatu itu datangnya dari Allah dan akan kembali kepada Allah. Kenapa kita perlu marah.

Kalau kita bersalah, kita tidak suka orang memarahi kita. Maka begitulah orang lain yang melakukan kesilapan, juga tidak suka dimarahi. Tegurlah dengan lemah lembut dan kasih sayang"

Semoga info ini bermanfaat buat diri saya dan anda semua.Jangan kita menyesal di kemudian hari disebabkan marah yang dibuat-buat oleh syaitan yang membakar jiwa kita..Wallahu'alam.

.

.