25 March 2013

Assalamualaikum warahmatullah...
Alhamdulillah wa syukru lillah atas pelbagai nikmat yang dikecapi saat ini. Syukur juga atas nikmat pinjaman nyawa juga nikmat iman dan Islam yang benar ini.

Alhamdulillah, kiranya sudah 3 bulan masuk ke 2013.Akhirnya baru saya temui jalan untuk menulis kembali di blog ini. Sungguh saya rindukan blog ini.

Pelbagai perkara datang dan pergi dari hidup ini , yang sememangnya sunnah ilahi. Kekadang diri terkesan juga dengan dugaan dan keperitan yang dialami.Luka yang ada sememangnya meninggalkan parut yang tidak hilang.Atau mungkin memakan masa untuk hilang. Itulah ujian duka dalam hidup.

Sedangkan ujian kegembiraan dan kesenangan mudah sekali kita lupakan. Apabila datang kesusahan, kita berkeluh kesah mengenangkan duka.Walhal kegembiraan kita banyak sungguh yang sudah dikecapi. Allah, itulah jiwa yang lemah. Tersangkut dengan buaian dunia yang fana.

2013 merupakan tahun yang biasa bagi saya, biasa dengan rutin. Kesungguhan perlu dikekalkan untuk terus mencari bahagia. Kenangan lama semakin jauh ditinggalkan dan saya perlu lebih berusaha mencari yang terbaik buat diri, juga mereka-mereka yang saya kasihi. 

Sesungguhnya suatu cabaran yang tidak kurang besarnya membesarkan seorang anak tanpa sayap yang utuh. Kekangan kerja di sekolah juga kerja-kerja dakwah yang perlu dilunaskan kekadangnya akan membuatkan saya di dalam dilema. Tambah lagi tanggungjawab terhadap ibu bapa yang tidak harus dipinggirkan. Dilema itu sememangnya sentiasa melingkari saya. Ada kalanya saya mengambil bahagian di sini dan terpaksa meninggalkan yg di sana. Sungguhlah setiap pilihan ada kos lepasnya. Jadi, saya hanya terpaksa membuat pilihan yang berlainan di satu-satu masa. Kata-kata orang yang kekadang meruntun jiwa terpaksa juga ditelan habis. Semoga mereka juga memahami saya.

Semoga usaha kita hari ini akan membuahkan hasil yang setimpal. Kesungguhan dalam usaha, kecekalan dalam jiwa juga kekuatan iman jua lah yang akan memandu kita ke arah kesempurnaan dalam kehidupan. Semoga Allah terus memberikan Taufiq dan HidayahNya kepada saya dan kalian semua..Salam sayang lillah :)

.

.

...terus mencari nur ilahi... . 2017 Copyright. All rights reserved. Designed by Blogger Template | Free Blogger Templates