25 March 2013 0 comments

Ku serah padaMu Allah..

Assalamualaikum warahmatullah...( coretan yg lama, baru kini blh di publish :))
Lama benar saya meninggalkan laman ini, dan hari ini saya teringatkannya. Terasa ingin mencoret sesuatu di sini.
Ramadhan telah beberapa hari berlalu dan kini kita berada di bulan syawal yang mulia.Bagaimana natijah madrasah Ramadhan kita? Mumtaz, jayyid Jiddan atau Jayyid sahaja? Malang sekali jika natijahnya sekadar Maqbul atau Rasib..Nauzubillah. Semoga amalan dan kebiasaan kita di  madrasah Ramadhan yang telah berlalu akan terus subur di bulan-bulan yang mendatang.
Syawal ke 2 kami menerima kedatangan rombongan meminang adinda Sumayyah, merupakan adik bongsu saya. Alhamdulillah majlis pertunangannya yang serba sederhana namun meriah. Semoga pilihan hati adinda merupakan lelaki soleh yang telah ditentukan Allah dan mampu memimpin bahtera usrahnya nanti.
Bercerita mengenai bab perkahwinan, sudah tentulah saya orang yang seterusnya menjadi mangsa untuk disoal- selidik. Yalah, kiranya adik Sumayyah sudah berumahtangga nanti, tinggal saya seorang yang tiada keluarga lengkap.Ramai juga yang bertanyakan saya bilakah saya akan menamatkan zaman balu ini?(betul tak istilah ni?)
Soalan-soalan tersebut ada masanya agak menyinggung dan mengguris hati saya. Namun, bila ditanyakan, saya hanya mampu tersenyum.Jawapan saya mudah sahaja."Ada jodoh, adalah ketentuan untuk saya". Namun ada masanya, jawapan saya lain pula. :"Saya senang begini."
Hakikatnya, berstatus begini bukanlah sesuatu yang mudah. Berdasarkan pengalaman saya sejak bergelar balu..beberapa kali juga saya telah dilamar, oleh orang yang berbeza dan pelbagai statusnya..Allah! ujian hati buat saya. bukan senang mengharunginya.
Pernah saya dikunjungi oleh sepasang suami isteri, tak silap saya pada syawal yang lepas. Kelihatannya mereka pasangan yang Islamik. Katanya mereka kawan kepada arwah suami saya, namun saya tidak pernah mengenali mereka sebelum daripada itu.Niat kedatangannya untuk menziarahi saya dan anakda Aufa. Sedang berborak, isterinya meminta untuk bertemu saya sendirian.Dia menyampaikan hasrat seseorang yang ingin menjadikan saya isteri ke 2. Masyaallah, antara sedar saya beristighfar. Apa yang lebih mengkagumkan saya, permintaan tersebut adalah datang daripada isteri pertamanya.Ya Allah, Mampukah saya untuk memikul dan menggalas tanggungjawab sebagai isteri ke 2? Cerita yang dibaca dalam cerpen dan novel sebelum ini benar-benar terjadi pada saya.Saya hanya mendengar apa bait-bait yang ingin disampaikan lagi. Saya tidak memberikan apa-apa jawapan, tetapi saya meminta masa seminggu untuk memohon petunjuk Allah.Pada malam tersebut, wanita yang datang siang tadi menelefon saya, dan menyatakan yang sebenarnya dialah yang melamar saya untuk suaminya dan mahu menjadikan saya madunya. Bertambah-tambah debar dihati saya.Saya memikirkan apakah ini kesudahan yg baik buat saya?.Akhirnya setelah memohon bimbingan Allah, saya menolak lamaran tersebut kerana itulah yang sebaiknya.
Sememangnya soal jodoh, ajal maut ini bukanlah perancangan kita. Usaha yang bagaimana pun, andai Allah tidak izinkan maka ianya tidak akan terjadi. Andai Allah akan takdirkan untuk saya seorang Rijal yang mampu membimbing saya, untuk terus membawa saya dan Aufa ke jalan Allah, saya akan mempertimbangkannya. Dia daya untuk saya melakukan ketaatan melainkan semuanya dari Allah...Wallahu alam.



Semua dalam Kesempurnaan

Assalamualaikum warahmatullah...
Alhamdulillah wa syukru lillah atas pelbagai nikmat yang dikecapi saat ini. Syukur juga atas nikmat pinjaman nyawa juga nikmat iman dan Islam yang benar ini.

Alhamdulillah, kiranya sudah 3 bulan masuk ke 2013.Akhirnya baru saya temui jalan untuk menulis kembali di blog ini. Sungguh saya rindukan blog ini.

Pelbagai perkara datang dan pergi dari hidup ini , yang sememangnya sunnah ilahi. Kekadang diri terkesan juga dengan dugaan dan keperitan yang dialami.Luka yang ada sememangnya meninggalkan parut yang tidak hilang.Atau mungkin memakan masa untuk hilang. Itulah ujian duka dalam hidup.

Sedangkan ujian kegembiraan dan kesenangan mudah sekali kita lupakan. Apabila datang kesusahan, kita berkeluh kesah mengenangkan duka.Walhal kegembiraan kita banyak sungguh yang sudah dikecapi. Allah, itulah jiwa yang lemah. Tersangkut dengan buaian dunia yang fana.

2013 merupakan tahun yang biasa bagi saya, biasa dengan rutin. Kesungguhan perlu dikekalkan untuk terus mencari bahagia. Kenangan lama semakin jauh ditinggalkan dan saya perlu lebih berusaha mencari yang terbaik buat diri, juga mereka-mereka yang saya kasihi. 

Sesungguhnya suatu cabaran yang tidak kurang besarnya membesarkan seorang anak tanpa sayap yang utuh. Kekangan kerja di sekolah juga kerja-kerja dakwah yang perlu dilunaskan kekadangnya akan membuatkan saya di dalam dilema. Tambah lagi tanggungjawab terhadap ibu bapa yang tidak harus dipinggirkan. Dilema itu sememangnya sentiasa melingkari saya. Ada kalanya saya mengambil bahagian di sini dan terpaksa meninggalkan yg di sana. Sungguhlah setiap pilihan ada kos lepasnya. Jadi, saya hanya terpaksa membuat pilihan yang berlainan di satu-satu masa. Kata-kata orang yang kekadang meruntun jiwa terpaksa juga ditelan habis. Semoga mereka juga memahami saya.

Semoga usaha kita hari ini akan membuahkan hasil yang setimpal. Kesungguhan dalam usaha, kecekalan dalam jiwa juga kekuatan iman jua lah yang akan memandu kita ke arah kesempurnaan dalam kehidupan. Semoga Allah terus memberikan Taufiq dan HidayahNya kepada saya dan kalian semua..Salam sayang lillah :)

.

.