23 June 2013 0 comments

Random

Assalamualaikum dan salam ziarah..
Hari ini 14 Syaaban 1434 H, kiranya petang ini sudah masuk ke Nisfu Syaaban yang mana bagi umat Islam ianya adalah hari buku catatan amalan kita selama setahun diangkat ke langit dan diganti dengan buku catatan yang baru.

Saiyidatina Aisyah r.a. meriwayatkan bahawa Nabi S.A.W tidak tidur pada malam itu sebagaimana yg tersebut dalam sebuah hadis yg diriwayatkan oleh Imam Al-Baihaqi r.a:

“Rasulullah S.A.W telah bangun pada malam (Nisfu Syaaban) dan bersembahyang dan sungguh lama sujudnya sehingga aku fikir beliau telah wafat. Apabila aku melihat demikian aku mencuit ibu jari kaki Baginda S.A.W dan bergerak. Kemudian aku kembali dan aku dengar Baginda S.A.W berkata dlm sujudnya, “Ya Allah aku pohonkan kemaafanMu daripada apa yg akan diturunkan dan aku pohonkan keredhaanMu daripada kemurkaanMu dan aku berlindung kpdMu daripadaMu. Aku tidak dapat menghitung pujian terhadapMu seperti kamu memuji diriMu sendiri.”

Baginda Rasulullah sendiri telah menggalakkan kita agar beramal pada malam kemuliaan nisfu syaaban dengan sabdanya
Ertinya : “ Apabila tiba malam Nisfu Syaaban , maka hendaklah kalian bangun pada malamnya (melakukan ibadat) dan berpuasa pada siangnya, ini kerana Allah swt (turun merahmati hamba-hambaNya) pada malam tersebut mulai dari terbenamnya matahari ke langit dunia. Allah swt berfirman ” Adakah dari kalangan hamba-hambaKu yang memohon keampunan, maka akan Ku ampunkannya. Adakah dari kalangan mereka yang memohon rezeki , maka akan Ku turunkan rezeki untuknya. Adakah dari kalangan mereka orang yang ditimpa bala, maka akan Ku sejahterakannya. Adakah dari kalangan mereka yang begini dan adakah dari kalangan mereka yangt begini sehinggalah terbit Fajar “.

Setelah Baginda S.A.W selesai sembahyang, Baginda berkata kpd Saiyidatina Aisyah r.a.

“Malam ini adalah malam Nisfu Syaaban. Sesungguhnya Allah Azzawajjala telah datang kepada hambanya pada malam Nisfu syaaban dan memberi keampunan kepada mereka yg beristighfar, memberi rahmat ke atas mereka yg memberi rahmat dan melambatkan rahmat dan keampunan terhadap orang2 yg dengki.”

****************************************************************************
Sebenarnya ingin membawa kisah hari ini yang rata-rata tempat dilanda jerebu. Dalam whatsapp saya juga rata-rata sanak saudara post gambar jerebu di tempat masing-masing.

Di Johor Bharu
Di Pekan Pahang
Di KUIS
Di dalam Al Quran juga ada diceritakan berkenaan dengan asap atau jerebu ini di dalam Surah Ad Dukhan yang bermaksud asap. yang menceritakan mengenai tanda-tanda hari kiamat.
“Maka tunggulah hari ketika langit membawa asap yang nyata, yang meliputi manusia. Inilah azab yang pedih.” (Ad-Dukhan: 10-11)

Dukhan (asap) ini akan keluar dan mengakibatkan penyakit yang seperti selsema di kalangan orang-orang yang beriman dan akan mematikan semua orang kafir.

Al-Qurthubi rahimahullahu berkata: “Mujahid rahimahullahu ...berkata: ‘Ibnu Mas’ud radhiyallahu ‘anhu dahulu berkata: Itu adalah dua asap. Salah satunya telah terjadi. Adapun yang belum terjadi, asapnya akan memenuhi antara langit dan bumi. Asap itu akan menyebabkan seorang yang beriman akan terkena semacam selesma, sedangkan orang kafir akan tembus pendengarannya’.”
(Diambil dari Asyrathus Sa’ah, hal. 383-388)
********************************************************************************

Jadi marilah kita mengambil kesempatan di bulan Syaaban ini bermunajat kepada Allah semoga Allah menerima amal ibadah kita, juga bertaubat dengan sebenar-benar taubat kerana kiamat akan datang bila-bila masa.
Apabila tanda-tanda besar telah tiba, maka segala amalan dan taubat kita tidak akan berguna lagi.. Wallahu alam.

22 June 2013 0 comments

WANITA DALAM PERJUANGAN ISLAM: BERSEMANGAT DAN BERISTIQAMAH

Memperjuangkan Islam bukanlah suatu perkara mudah kerana terbukti di dalam sejarah bahawa Islam tertegak dengan mengalirnya darah para syuhada serta airmata balu-balu dan anak-anak yang mereka tinggalkan.

Memperjuangkan Islam bukanlah suatu perkara mudah kerana terbukti di dalam sejarah bahawa Islam tertegak dengan mengalirnya darah para syuhada serta airmata balu-balu dan anak-anak yang mereka tinggalkan. Perjuangan Islam menuntut bukan setakat masa, tetapi jiwa dan raga, pengorbanan dari segi harta dan kedudukan malah adakalanya menghambat nyawa. Firman Allah di dalam surah Al-Hujurat ayat 15 yang bermaksud:

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman iaitu orang yang yakin dan percaya kepada Allah dan Rasul-Nya kemudian tidak syak dan ragu-ragu (terhadap ajaran Allah dan Rasul-Nya) dan mereka berjihad dengan harta benda mereka dan jiwa raga mereka kepada jalan Allah, mereka itulah orang yang sebenar-benarnya (pengakuan imannya)”

Itulah semangat yang ditunjukkan oleh umat-umat Islam terdahulu dan segelintir pejuang-pejuang Islam sekarang tanpa mengira lelaki ataupun perempuan. Malah orang yang mula-mula syahid dalam mempertahankan Islam pada zaman Rasulullah s.a.w adalah seorang wanita, Sumaiyah dari keluarga Yasir.

Jika kita mengkaji sejarah awal Islam, apa yang ditekankan oleh Rasulullah s.a.w ialah penghayatan kepada kalimah tauhid dan pembersihan dari sebarang bentuk syirik. Terbukti insan-insan yang bersih hatinya dari kesyirikan serta jelas ilmu mereka mengenai ketauhidan Allah s.w.t, dapat memperjuang dan mempertahankan Islam walau datang beribu rintangan sekali pun.

Insan-insan dari jenis inilah yang perlu ada di kalangan pejuang-pejuang Islam kini, termasuk wanita. Peranan wanita adalah amat penting dan besar sekali dalam perjuangan Islam kerana mereka merupakan pendidik anak-anak yang boleh dibentuk menjadi satu generasi pembela Islam yang amat diperlukan.

Sifat fizikal wanita yang lebih lemah daripada kaum lelaki terbukti bukanlah satu alasan untuk tidak terbabit dalam memperjuangkan Islam. Tetapi tanggungjawab menegakkan Islam turut terpikul di bahu mereka, mengikut kemampuan serta batasan yang ditentukan Allah s.w.t.

Bila memperkatakan wanita dalam perjuangan Islam, maka biasanya kita tidak dapat lari dari peranan yang mereka mainkan dalam membentuk keluarga muslim. Dari unit keluargalah tanggungjawab mereka bermula. Mendidik anak-anak memahami erti Islam sebenar, menyemai benih iman sejak kecil, mencorakkan akhlak mulia, selanjutnya menanamkan semangat memperjuangkan dan mempertahankan Islam dalam diri mereka.

Tugas ini tidak sepatutnya dilihat sebagai tugas umum wanita, iaitu mendidik anak-anak serta menguruskan rumahtangga. Tetapi wajar dititik beratkan sebagai tanggungjawab muslimah dan sumbangan atau jihad mereka dalam Islam. Bila tugas-tugas ini dikaitkan dengan jihad Islam, maka sewajarnya ia dijalankan dengan penuh kerelaan dan dipikul sebaik-baiknya.

Urusan mewujudkan rumahtangga muslim dan mendidik generasi Islam yang beriman, berakhlak mulia serta bersemangat jihad merupakan tugas utama wanita. Bagaimanapun tidak bermakna mereka tidak boleh memperjuangkan Islam dengan cara lain bila keadaan memerlukan.

Pada zaman Rasulullah s.a.w para muslimat bukan hanya berfungsi sebagai penghias rumah atau melahirkan zuriat semata-mata. Tetapi mereka berperanan membantu kaum lelaki dalam jihad menegakkan Islam, meniup semangat kepada mereka dengan meredhai perjuangan suami malah bila diperlukan mereka bersama-sama kaum lelaki dalam pertempuran.

Begitulah semangat perjuangan yang mereka tunjukkan, mereka pertahankan agama Allah dengan nyawa dan bukan sekadar seorang suami, bapa, anak-anak atau saudara sedarah sedaging.

Sekiranya sekarang kita dapat mewujudkan muslimah-muslimah sebegini, Insya-Allah satu generasi pejuang Islam yang tidak gentar menghadapi musuh dapat dibentuk.

Peranan wanita dalam memperjuangkan Islam tidak sepatutnya hanya tertumpu kepada soal rumahtangga semata-mata. Apakah peranan yang sepatutnya dimainkan oleh mereka yang masih belum bersuami, tidak mempunyai anak atau anak-anaknya sudah dewasa dan tidak memerlukan banyak penjagaan lagi?

Tenaga mereka amat diperlukan dalam perjuangan Islam. Mereka boleh bergiat dalam masyarakat, menjalankan dakwah; memberi kesedaran dan ilmu Islam kepada masyarakat sejenisnya yang masih belum mengenali Islam. Perkara ini amat perlu ditekankan kerana terdapat kecenderungan di kalangan ahli jamaah yang meluangkan waktu untuk mempengaruhi ahli jamaah Islam lain untuk menyertai jamaahnya. Tindakan seumpama ini tidak langsung menguntungkan Islam, kerana dakwah Islam perlu sampai kepada semua peringkat masyarakat, terutama mereka yang masih belum memahami apakah Islam sebenar.

Wanita perlu didedahkan dengan masalah sebenar masyarakat Islam dalam menghadapi musuh. Mereka perlu menyedari bahawa wanita mempunyai kuasa dan tenaga tersendiri untuk memperjuangkan dan melaksanakan Islam dalam berbagai bidang, termasuk dalam menegakkan Daulah Islamiyyah.

Tidak timbul persoalan bahawa bidang politik adalah bidang orang lelaki kerana setiap muslim atau muslimah itu mempunyai tanggungjawab masing-masing untuk sama-sama berusaha untuk menegakkan sebuah negara Islam. Firman Allah di dalam surah at-Taubah ayat 71 yang bermaksud:

“Dan orang-orang yang beriman lelaki dan perempuan sebahagian mereka adalah menjadi penolong keatas sebagaian yang lain. Mereka menyuruh mengerjakan yang ma’ruf, mencegah dari yang munkar, mendirikan sembahyang menunaikan zakat dan mereka taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana”


Di dalam negara yang majoriti undinya adalah di tangan wanita, para muslimah hendaklah lebih giat membantu kaum lelaki dengan memberi kesedaran kepada kaum sejenisnya untuk memberi sokongan kepada golongan yang memperjuangkan Islam. Mereka perlu menyakinkan golongan yang masih tidak menyedari atau meyakini bahawa pemerintahan berteraskan Islam adalah yang terbaik.

Untuk menjalankan usaha ini, para Muslimat hendaklah membuat persediaan awal. Kerja-kerja dakwah sebegini tidak mungkin dapat berjalan lancar sekiranya kita tidak mempunyai ilmu dan hikmah. Kerana tanpa ilmu dan hikmah, bukan sahaja kita tidak mampu meyakinkan mereka, tetapi mungkin juga membawa perpecahan.

Selain itu juga, muslimah-muslimah yang terbabit dalam memperjuangkan Islam mestilah sentiasa beristiqamah dengan perjuangan. Tidak bersikap hangat-hangat tahi ayam, aktif semasa bujang, tetapi meninggalkan terus perjuangan setelah berumahtangga.

Alangkah ruginya jamaah sekiranya ramai muslimat bersikap begini. Mereka hendaklah terus berjuang sedaya mungkin kerana kerja-kerja dakwah itu tidak sepatutnya terhenti atas alasan sudah berkahwin. Yang penting ialah mereka bijak mengurus masa dan tidak mengabaikan tanggungjawab sebagai isteri mahupun ibu dalam menjalankan kerja-kerja dakwah.


Sebagai muslimah-muslimah yang yang memilih untuk memperjuangkan Islam melalui jamaah maka kita perlu mengetahui dengan mendalam mengenai apa yang dikehendaki oleh jamaah. Kita hendaklah beriltizam di tempat bertugas dan setiap suasana hidupnya hendaklah diselaraskan dengan kebaikan dan kepentingan amal dakwah. Setiap amalnya harus menjadi alat dakwah dan usaha atau aktiviti dakwahnya tidak sepatutnya dilemahkan oleh sesuatu perkara lain.


Apa yang penting ialah setiap muslimah yang terbabit dalam perjuangan Islam mestilah memahami dengan jelas matlamatnya dan menepati al-Quran dan Hadith. Mereka mestilah bersedia dengan ilmu, kerana tanpanya segala usaha perjuangan Islam tidak mungkin dapat dijayakan. Firman Allah di dalam surah Az-Zumar ayat 9 yang bermaksud:

“…Katakanlah: “Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?”. Sesungguhnya orang yang berakallah yang dapat menerima pelajaran”


Firman Allah lagi di dalam surah Al-Mujadalah ayat 11 yang bermaksud:
“…Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat…”

Selain daripada itu, para muslimat juga mestilah mempunyai ketahanan iman, sabar, istiqamah dalam menjalankan amal dan berani. Baginya tempat pergantungan sebenar bukanlah daripada orang yang berkuasa di dunia, suami atau orang lain, tetapi Allah s.w.t. Firman Allah di dalam surah Al-Maidah ayat 55-56 yang bermaksud:


“Sesungguhnya penolong kamu hanyalah Allah, Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman, yang mendirikan solat dan menunaikan zakat, seraya mereka tunduk (kepada Allah). Dan barang siapa mengambil Allah, Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman menjadi penolongnya, maka sesungguhnya Golongan Allah itulah yang pasti Menang”


Peranan wanita dalam perjuangan Islam sememangnya bermula dalam ruang rumah bersama ahli-ahli keluarga; iaitu suami dan anak-anak. Tetapi tidak bermakna kaki dan tangan mereka terikat di luar rumah sehingga tidak boleh digerakkan untuk kepentingan masyarakat luar, khususnya di kalangan wanita sendiri.

Firman Allah di dalam surah Al-Ahzab ayat 35:
“Sesungguhnya laki-laki dan perempuan yang beriman, laki-laki dan perempuan yang mu’min, laki-laki dan perempuan yang tetap dalam kereta’atannya, laki-laki dan perempuan yang benar, laki-laki dan perempuan yang sabar, laki-laki dan perempuan yang khusyu’, laki-laki dan perempuan yang bersedekah, laki-laki dan perempuan yang berpuasa, laki-laki dan perempuan yang memelihara kehormatannya, laki-laki dan perempuan yang banyak menyebut (nama) Allah, Allah telah menyediakan untuk mereka ampunan dan pahala yang besar”

Artikel Dari: Portal Komuniti Muslimah -- Hanan.com.my
http://www.hanan.com.my/

.

.