Baitu Haraki
Assalamualaikum...Salam Jumaat Mubarak.
Semoga Allah terus menitipkan rahmatNya pada kita semua dari hari ini ke Jumaat berikutnya.
Artikel asal ini bertajuk Manual Baitul Haraki.. saya ubah mengikut kesesuaian.
“Muslimah adalah ciptaan Allah S.W.T yang unik, emosinya tak
terjangkau, meledak-ledak dalam masa yang sama boleh menjadi sesejuk mata air
di gunung. Penciptaannya sangat unik, kisahnya sangat berwarna-warni, perempuan
adalah peniup obor semangat, dibelakang seorang tokoh adijagat atau maestro
perjuangan adalah kaum hawa yang dicipta dengan seribu keunikan.”
Kata-kata di atas adalah prakata buku terbaru Ustaz Riduan Md Nor yang berjudul 'Peranan Muslimat di medan amal Islami'.
Penulis asal buku itu adalah seorang yang berasal dari
Perancis. Di dalamnya ada ditimbulkan persoalan:
“Isteri tidak aktif dalam jemaah kerana sikap suami? Pandangan yang merungkai
persoalan mengapa muslimat tidak aktif dalam gerak kerja Islam. Benarkah ia
berpunca dari sikap kaum lelaki?”
Terdapat pelbagai pro kontra persoalan ini. Pernah juga dalam usrah saya semasa di alam kampus dahulu di utarakan
isu ini.
“Kita muslimat ni, kalau nak ‘selamat’ dan istiqamah perlu cari pasangan yang
jemaah juga. Kalau cari yang tidak sefikrah, virus futur akan datang.”
Semua mengangguk-angguk tanda setuju.
“Tapi ada juga yang dapat tidak sefikrah tapi berjaya kaderkan suami dia
selepas mereka berkahwin, namun masih dalam kuantiti yang sangat kecil. Sebab
apa sangatlah kuasa si isteri untuk merubah fikrah suaminya”
Saya melihat pada masa itu, semuanya bercita-cita mahukan suami pinjaman Allah
S.W.T yang sefikrah, boleh turun ke medan masyarakat dan menghadiri usrah
bersama-sama termasuk saya juga.
Waktu yang berlalu sedikit sebanyak memahamkan erti perjuangan merealisasikan
baitul haraki sebenar .
Hakikatnya tidaklah seindah yang disangka walaupun telah ‘selamat’ mendirikan
rumah tangga bersama sang mujahid yang sefikrah. Kerana ego sang suami selaku
pemimpin rumah tangga tetap ada untuk ‘menyekat’ pergerakan si isteri.
Rata-rata, kebanyakkan isteri ini ‘setia’ berada di rumah menguruskan suami dan
anak-anak.
Kehidupan berubah berevolusi. Laman sosial hanya menceritakan perihal peribadi.Tiada lagi kata-kata, gambar dan status-status
tarbiyah dan dakwah. Apatah lagi, soal politik negara. Mereka seolah-olah
‘hanyut’ tatkala bersama suami dan anak-anak.
Allah berfirman,” Dihiasi dalam diri manusia rasa kecintaan yang besar
terhadap wanita, anak-anak, harta benda yang banyak berupa emas dan perak, kuda
terlatih, binatang ternak dan tanah ladang. Itulah perhiasan dalam kehidupan
dunia. dan Allah adalah sebaik-baik tempat kembali.”(QS. Ali Imron : 14)
Berlainan pula dengan sebilangan kecil yang dengan izin Allah, dibenarkan oleh
suami, malah turun bergerak bersama-sama.
Ini luahan mereka apabila sahabat yang bersama-sama suatu ketika dulu di kampus
tidak lagi seiring sejalan.
“Tapi sayang kebanyakannya walaupun sudah berumah tangga dengan yg sefikrah,
sang suami tidak bagi keluar berjuang...sudah ramai ku kehilangan
sahabat-sahabat muslimat yg dulunya sama-sama berjuang...”
Kes yang berlainan pula dilihat pada sebilangan yang takut mendirikan rumah tangga
kerana bimbang futur. Dan akhirnya, mereka sememangnya tidak berkahwin sehingga
umur menginjak naik.
"Ramai yang bila kahwin, futur... Hanya suami yang aktif, isteri tidak
lagi melibatkan diri. Blog juga berubah corak. Sebelum kahwin, terhias indah pelbagai
tarbiyah dan fikrah. Selepas kahwin, gambar anak demi anak. Tiada lagi 'roh'
perjuangan."
Bagaimana mengatasinya?
Jujurnya seorang muslimah yang benar-benar ingin istiqamah, kami pasti risau
kehidupan kami selepas berumah tangga.
Adakah dibenarkan untuk keluar ke mesyuarat seperti di kampus dulu?
Adakah dibenarkan menghadiri usrah bagi mengisi jiwa dan rohani?
Adakah dibenarkan melakukan program-program dakwah terhadap masyarakat yang
semakin ketandusan mengenali agama Islam itu sendiri?
Maka, saya pernah mendengar jawapan-jawapan daripada muslimin daripada segala
persoalan di atas.
‘Mesyuarat’ sekarang yang perlu dihadiri hanya bersama dengan suami bagi
membentuk baiti jannati.
Jiwa dan rohani si isteri akan diisi oleh sang suami selaku pendidik tetap
seorang isteri.
Jangan fikir anak orang lain kalau anak-anak sendiri tidak didakwahkan.
Segala jawapan yang diberikan adalah benar 100%. Tiada yang salah. Tetapi,
mungkin jawapan tersebut kurang adil dihuraikan terhadap pihak kaum muslimat
yang ingin istiqamah.
Ada pelbagai pendapat yang diberikan dan kebiasaannya kelihatan kontra antara
para suami dan para isteri.
Para suami yang sudah keluar berjuang merasa sudah ‘cukup’ pahala buat mereka
suami isteri berdasarkan hadis nabi tersebut.
Dalam satu pertemuan antara Asma bt Yazid al-Ansoriyyah dengan Rasulullah
saw, beliau berkata: “ Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku adalah utusan bagi
seluruh wanita muslimah di belakangku, seluruhnya mengatakan sebagaimana yang
aku katakan dan seluruhnya berpendapat sesuai dengan pendapatku. Sesungguhnya
Allah Taala mengutusmu bagi seluruh lelaki dan wanita, kemudian kami beriman
kepadamu dan membai’atmu. Adapun kami para wanita terkurung dan terbatas gerak
langkah kami. Kami adalah penjaga rumah tangga kaum lelaki, dan kami adalah
tempat memenuhi syahwat mereka, kamilah yang mengandung anak-anak mereka, akan
tetapi kaum lelaki mendapat keutamaan melebihi kami dengan solat jumaat,
menghantar jenazah dan berjihad. Apabila mereka keluar berjihad, kamilah yang
menjaga harta mereka, yang mendidik anak-anak mereka, maka apakah kami juga
mendapat pahala sebagaimana yang mereka dapat dengan amalan mereka?”
Mendengarkan pertanyaan tersebut, Rasulullah saw menoleh kepada para sahabat
dan bersabda: “Pernahkah kalian mendengar pertanyaan seorang wanita tentang
Deen yang lebih baik dari apa yang dia tanyakan?”
Para sahabat menjawab, “Benar, kami belum pernah mendengarnya ya Rasulullah !,”
Kemudian Rasulullah saw bersabda: “Kembalilah wahai Asma’ dan beritahukanlah
kepada para wanita yang berada di belakangmu bahawa perlakuan baik salah
seorang diantara mereka kepada suaminya, patuh terhadap apa ang disuruhnya
selagi tidak melanggar syara’, itu semua setimpal dengan seluruh amal yang kamu
sebutkan yang dikerjakan oleh kaum lelaki.”
Namun, lebih dari itu yang dimahukan. Para muslimah juga mahu turut menyumbang
kepada kemenangan Islam yang telah sekian lama dirindukan. Mereka mahu
sama-sama turun ke lapangan masyarakat terutamanya pada golongan wanita,
menyedarkan golongan yang bilangannya kian bertambah, bahkan masalah sosial
para wanita juga turut bertambah.
“Habis tu, rumah bersepah? Anak-anak di rumah siapa mahu jaga dan didik? Takkan
dua-dua nak sibuk?”
Di sinilah peranan duhai muslimah sekalian untuk memantapkan pengurusan rumah
tangga. Dan pastinya pengorbanan seluruh jiwa dan raga diperlukan. Sentiasa
perlu mujahadah dan muhasabah dalam memenangi hati suami dan anak-anak tetapi
dalam masa yang sama masih aktif memberikan sehabis mampu buat masyarakat yang
kian membarah.
Jika hujung minggu ada program, seawal pagi telah bangun menyiapkan sarapan dan
mungkin makan tengah hari sekali (jika program habis petang), rumah dikemas
dengan bersih, dan anak-anak disiapkan (anak-anak dibawa bersama). Tidak lupa
membawa kelengkapan dan keperluan anak-anak semasa menghadiri program.
Dalam masa yang sama, anak-anak sebenarnya sedang didakwah bersama. Biarpun pada awalnya agak sukar, namun nanti akan jadi 'Alah bisa tegal biasa'.Mereka
melihat sendiri dengan mata erti hidup sebenar, tugas menjadikan Islam sebagai
cara hidup dan turut bawa bersama orang-orang lain mempraktikkannya.
Indahnya jika hidup sebegini…
Tetapkan prinsipmu duhai serikandi penggerak ummah, ujian dan cabaran tidak
akan berhenti menyinggah. Ia sebenarnya semakin mematangkan diri dalam
menghadapi kehidupan yang semakin menduga iman, akal dan hati. Koreksilah diri
sendiri sebaiknya, berbincanglah dengan bakal suami (buat yang bakal berumah
tangga) dan juga dengan suami (buat yang telah berkahwin).
Binalah kejayaan pada langkah kedua, bait muslim selepas individu muslim ini
sebelum menuju masyarakat Islam, negara Islam dan dunia Islam.
Baitul haraki itu perlu bermanual.
Yakinlah pada Allah!