11 April 2014 0 comments

Baitu Haraki

Assalamualaikum...Salam Jumaat Mubarak.
Semoga Allah terus menitipkan rahmatNya pada kita semua dari hari ini ke Jumaat berikutnya.

Artikel asal ini bertajuk Manual Baitul Haraki.. saya ubah mengikut kesesuaian.


“Muslimah adalah ciptaan Allah S.W.T yang unik, emosinya tak terjangkau, meledak-ledak dalam masa yang sama boleh menjadi sesejuk mata air di gunung. Penciptaannya sangat unik, kisahnya sangat berwarna-warni, perempuan adalah peniup obor semangat, dibelakang seorang tokoh adijagat atau maestro perjuangan adalah kaum hawa yang dicipta dengan seribu keunikan.”


Kata-kata di atas adalah prakata buku terbaru Ustaz Riduan Md Nor yang berjudul 'Peranan Muslimat di medan amal Islami'.

Penulis asal buku itu adalah seorang yang berasal dari Perancis. Di dalamnya ada ditimbulkan persoalan:
“Isteri tidak aktif dalam jemaah kerana sikap suami? Pandangan yang merungkai persoalan mengapa muslimat tidak aktif dalam gerak kerja Islam. Benarkah ia berpunca dari sikap kaum lelaki?”

Terdapat pelbagai pro kontra persoalan ini. Pernah juga dalam usrah saya semasa di alam kampus dahulu di utarakan isu ini.
“Kita muslimat ni, kalau nak ‘selamat’ dan istiqamah perlu cari pasangan yang jemaah juga. Kalau cari yang tidak sefikrah, virus futur akan datang.”

Semua mengangguk-angguk tanda setuju.

“Tapi ada juga yang dapat tidak sefikrah tapi berjaya kaderkan suami dia selepas mereka berkahwin, namun masih dalam kuantiti yang sangat kecil. Sebab apa sangatlah kuasa si isteri untuk merubah fikrah suaminya”

Saya melihat pada masa itu, semuanya bercita-cita mahukan suami pinjaman Allah S.W.T yang sefikrah, boleh turun ke medan masyarakat dan menghadiri usrah bersama-sama termasuk saya juga.

Waktu yang berlalu sedikit sebanyak memahamkan erti perjuangan merealisasikan baitul haraki sebenar . 

Hakikatnya tidaklah seindah yang disangka walaupun telah ‘selamat’ mendirikan rumah tangga bersama sang mujahid yang sefikrah. Kerana ego sang suami selaku pemimpin rumah tangga tetap ada untuk ‘menyekat’ pergerakan si isteri. Rata-rata, kebanyakkan isteri ini ‘setia’ berada di rumah menguruskan suami dan anak-anak.

Kehidupan berubah berevolusi. Laman sosial hanya menceritakan perihal peribadi.Tiada lagi kata-kata, gambar dan status-status tarbiyah dan dakwah. Apatah lagi, soal politik negara. Mereka seolah-olah ‘hanyut’ tatkala bersama suami dan anak-anak.

Allah berfirman,” Dihiasi dalam diri manusia rasa kecintaan yang besar terhadap wanita, anak-anak, harta benda yang banyak berupa emas dan perak, kuda terlatih, binatang ternak dan tanah ladang. Itulah perhiasan dalam kehidupan dunia. dan Allah adalah sebaik-baik tempat kembali.”(QS. Ali Imron : 14)

Berlainan pula dengan sebilangan kecil yang dengan izin Allah, dibenarkan oleh suami, malah turun bergerak bersama-sama.

Ini luahan mereka apabila sahabat yang bersama-sama suatu ketika dulu di kampus tidak lagi seiring sejalan.

“Tapi sayang kebanyakannya walaupun sudah berumah tangga dengan yg sefikrah, sang suami tidak bagi keluar berjuang...sudah ramai ku kehilangan sahabat-sahabat muslimat yg dulunya sama-sama berjuang...”

Kes yang berlainan pula dilihat pada sebilangan yang takut mendirikan rumah tangga kerana bimbang futur. Dan akhirnya, mereka sememangnya tidak berkahwin sehingga umur menginjak naik.

"Ramai yang bila kahwin, futur... Hanya suami yang aktif, isteri tidak lagi melibatkan diri. Blog juga berubah corak. Sebelum kahwin, terhias indah pelbagai tarbiyah dan fikrah. Selepas kahwin, gambar anak demi anak. Tiada lagi 'roh' perjuangan."

Bagaimana mengatasinya?

Jujurnya seorang muslimah yang benar-benar ingin istiqamah, kami pasti risau kehidupan kami selepas berumah tangga.

Adakah dibenarkan untuk keluar ke mesyuarat seperti di kampus dulu?

Adakah dibenarkan menghadiri usrah bagi mengisi jiwa dan rohani?

Adakah dibenarkan melakukan program-program dakwah terhadap masyarakat yang semakin ketandusan mengenali agama Islam itu sendiri?

Maka, saya pernah mendengar jawapan-jawapan daripada muslimin daripada segala persoalan di atas.

‘Mesyuarat’ sekarang yang perlu dihadiri hanya bersama dengan suami bagi membentuk baiti jannati.

Jiwa dan rohani si isteri akan diisi oleh sang suami selaku pendidik tetap seorang isteri.

Jangan fikir anak orang lain kalau anak-anak sendiri tidak didakwahkan.

Segala jawapan yang diberikan adalah benar 100%. Tiada yang salah. Tetapi, mungkin jawapan tersebut kurang adil dihuraikan terhadap pihak kaum muslimat yang ingin istiqamah.

Ada pelbagai pendapat yang diberikan dan kebiasaannya kelihatan kontra antara para suami dan para isteri.

Para suami yang sudah keluar berjuang merasa sudah ‘cukup’ pahala buat mereka suami isteri berdasarkan hadis nabi tersebut.

Dalam satu pertemuan antara Asma bt Yazid al-Ansoriyyah dengan Rasulullah saw, beliau berkata: “ Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku adalah utusan bagi seluruh wanita muslimah di belakangku, seluruhnya mengatakan sebagaimana yang aku katakan dan seluruhnya berpendapat sesuai dengan pendapatku. Sesungguhnya Allah Taala mengutusmu bagi seluruh lelaki dan wanita, kemudian kami beriman kepadamu dan membai’atmu. Adapun kami para wanita terkurung dan terbatas gerak langkah kami. Kami adalah penjaga rumah tangga kaum lelaki, dan kami adalah tempat memenuhi syahwat mereka, kamilah yang mengandung anak-anak mereka, akan tetapi kaum lelaki mendapat keutamaan melebihi kami dengan solat jumaat, menghantar jenazah dan berjihad. Apabila mereka keluar berjihad, kamilah yang menjaga harta mereka, yang mendidik anak-anak mereka, maka apakah kami juga mendapat pahala sebagaimana yang mereka dapat dengan amalan mereka?”

Mendengarkan pertanyaan tersebut, Rasulullah saw menoleh kepada para sahabat dan bersabda: “Pernahkah kalian mendengar pertanyaan seorang wanita tentang Deen yang lebih baik dari apa yang dia tanyakan?”

Para sahabat menjawab, “Benar, kami belum pernah mendengarnya ya Rasulullah !,”

Kemudian Rasulullah saw bersabda: “Kembalilah wahai Asma’ dan beritahukanlah kepada para wanita yang berada di belakangmu bahawa perlakuan baik salah seorang diantara mereka kepada suaminya, patuh terhadap apa ang disuruhnya selagi tidak melanggar syara’, itu semua setimpal dengan seluruh amal yang kamu sebutkan yang dikerjakan oleh kaum lelaki.”

Namun, lebih dari itu yang dimahukan. Para muslimah juga mahu turut menyumbang kepada kemenangan Islam yang telah sekian lama dirindukan. Mereka mahu sama-sama turun ke lapangan masyarakat terutamanya pada golongan wanita, menyedarkan golongan yang bilangannya kian bertambah, bahkan masalah sosial para wanita juga turut bertambah.

“Habis tu, rumah bersepah? Anak-anak di rumah siapa mahu jaga dan didik? Takkan dua-dua nak sibuk?”

Di sinilah peranan duhai muslimah sekalian untuk memantapkan pengurusan rumah tangga. Dan pastinya pengorbanan seluruh jiwa dan raga diperlukan. Sentiasa perlu mujahadah dan muhasabah dalam memenangi hati suami dan anak-anak tetapi dalam masa yang sama masih aktif memberikan sehabis mampu buat masyarakat yang kian membarah.

Jika hujung minggu ada program, seawal pagi telah bangun menyiapkan sarapan dan mungkin makan tengah hari sekali (jika program habis petang), rumah dikemas dengan bersih, dan anak-anak disiapkan (anak-anak dibawa bersama). Tidak lupa membawa kelengkapan dan keperluan anak-anak semasa menghadiri program.

Dalam masa yang sama, anak-anak sebenarnya sedang didakwah bersama. Biarpun pada awalnya agak sukar, namun nanti akan jadi 'Alah bisa tegal biasa'.Mereka melihat sendiri dengan mata erti hidup sebenar, tugas menjadikan Islam sebagai cara hidup dan turut bawa bersama orang-orang lain mempraktikkannya.

Indahnya jika hidup sebegini…

Tetapkan prinsipmu duhai serikandi penggerak ummah, ujian dan cabaran tidak akan berhenti menyinggah. Ia sebenarnya semakin mematangkan diri dalam menghadapi kehidupan yang semakin menduga iman, akal dan hati. Koreksilah diri sendiri sebaiknya, berbincanglah dengan bakal suami (buat yang bakal berumah tangga) dan juga dengan suami (buat yang telah berkahwin).

Binalah kejayaan pada langkah kedua, bait muslim selepas individu muslim ini sebelum menuju masyarakat Islam, negara Islam dan dunia Islam.

Baitul haraki itu perlu bermanual.

Yakinlah pada Allah!

08 April 2014 0 comments

Sebening coretan...

Bismillah..dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani..

Segala puji bagi Allah tuhan semesta alam, puji-pujian buat junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w serta para ahliNya sepanjang masa hingga ke akhirnya.

Alhamdulillah, Allah masih melapangkan masa ini sehingga dapatku mencoret di laman maya yang telah sekian lama ditinggalkan.

Dalam keralikan menjalankan amanah, Allah telah meluaskan rahmatNya dengan dihadirkan seseorang yang melengkapi kehidupanku.Tanggal 25 Januari 2014, selepas Isyak kami telah diijabkabulkan dengan majlis yang sederhana.Majlis Walimatul Arus pula pada 15 Feb 2014, bersama adinda Sumayyah dan Sataruddin.




Alhamdulillah, semoga suamiku Mohd Shariff Bin Abdullah menjadi penguatku dalam menjalani kehidupan ini...

Doa untuk suamiku…
Dengan menyebut asmaMu ya Allah yang Maha Kasih dan Sayang… Puji syukurku atas segala nikmatMu untuk ku… Telah kau berikan aku satu pendamping hidup Yang sentiasa setia menjaga dan melindungiku..
Berjalan sejajar denganku.. Yang dengan cinta dan sayangnya mampu menghapus segala lara… Yang segala hidupnya diserahkan untuk menyayangiku…. Yang dengan cintanya padaMu mampu mengecup hatiku ketika ku berduka..
Ya Allah kumohon PadaMu… Kini berilah ia kemudahan dalam melangkah.. Berjuang mencari keRedhoanMu… Berjuang menjemput rezeki yang Kau takdirkan untuknya… Berjuang untukku dengan cintanya padaMu….
Ya Allah Maha pengabul doa… Terimalah berjuta doa dan harapku… Balaslah segala keluhuran dan kesabarannya Balaslah segala kebaikan juga amarahnya Dengan CintaMu….
Ya Allah Sang Pemilik Hati…. Sampaikan berjuta sayangku untuknya… Sampaikan sejuta cintaku padanya… Dan sampaikan terima kasihku yang sangat untuknya… Karena telah bersedia menyatu dalam satu rasa… Dengan segala macam kunci syurga yang kau Pilihkan untukku..
Ya Allah sampaikan salamku pada baginda Rasulullah… Yang telah begitu banyak mengajarkan cinta dan kasih sayang… Sungguh Engkau Maha Mengetahui segala isi hati… Maka kabulkanlah doaku…..
Amin ya Rabbal ‘Alamin………

3 Mac 2014 pula, anakda Aufa Hannan telah mula bersekolah. Ku memilih PASTI Al Hidayah Tanjung Perang sebagai sekolahnya. Walaupun usianya belum genab 4 tahun, Alhamdulillah, tidak sukar untuk membiasakan Aufa dengan sekolah kerana sememangnya Aufa suka berkawan. Semoga Aufa boleh mengikuti pelajaran di sekolah dengan baik dan menjadi insan solehah nanti. 

Tuhanku
bentuklah puteriku menjadi manusia yang cukup kuat
untuk menyedari ketika dia lemah
dan cukup berani untuk menghadapi dirinya sendiri
ketika dia takut

Bentuklah puteriku menjadi manusia yang tabah
ketika dia dalam kesulitan dan kekalahan
rendah hati dan jujur ketika dia dalam kemenangan

Bentuklah puteriku menjadi manusia yang mengerti
agar mengetahui dan kenal akan dirinya sendiri
karena itu adalah dasar dan segala ilmu yang benar

Tuhanku,
janganlah puteriku kau bimbing
hanya di atas jalan yang mudah dan lemah
biarlah Kau bimbing puteriku
di bawah tempa dan desak kesulitan hidup
bimbinglah puteriku supaya tegak berdiri di tengah badai
dan berbelas kasih kepada yang gagal dan lemah
bentuklah puteriku menjadi manusia yang berhati jernih
dengan cita-cita setinggi langit
seorang puteri yang mampu menjalankan masa depan
tanpa melupakan masa lampau

Semoga puteriku dilengkapi dengan hati yang ringan
dan jangan sekali-kali menganggap dirinya
terlalu lebih dari yang lain

Berikan kepadanya kerendahan hati
kesederhanaan dan keagungan yang hakiki
berfikiran cerah dan terbuka bagi sumber kearifan
dan kelembutan dan kekuatan yang sebenarnya

Dan setelah semua itu menjadi miliknya
barulah aku orang tuanya berani berbisik
hidupku tidak sia-sia.
Semoga apa yang diimpikan menjadi kenyataan dan semoga Rahmat Allah jua menaungi seluruh kehiduan kita..Ameen.

.

.