21 January 2010 Tags: 2 comments

::Catatan pilu tahun baru 2010::Pemergian yang memedihkankan,namun ku redha

Tiap dari kita diberi oleh Allah pinjaman perhiasan di dunia berbentuk harta, anak, dan suami.Malah kudrat iradat,ilmu dan hayat yang ada pada kita ini pun sementara.Sampai masanya boleh ditarik semula.Mana milik kita?Tidak ada milik kita.Yang ada hanyalah Allah yang punya.


Sebuah pengalaman cukup mengajar kita bahawa siapa kita dan siapa Allah yang hakiki..cukup memberi kesan di hati.ucapan 'aku tidak mampu Ya Allah"biasa terkeluar dari hati kita.Rintihlan pada Ilahi kerana Dia sememangnya menanti rintihan hambaNya…Andai tidak ditimpa ujian ini,adakah kita akan mengingati Allah…tanyalah iman,kerana ia bisa memberi jawapan yang paling jujur.Tidak Allah timpakan ujian melainkan kita mampu menghadapinya dan tidak Allah mencabut sesuatu melainkan menggantikannya dengan yang lebih baik..

31hb Disember 2009
Pagi: Seperti biasa saya memenuhi temujanji di klinik kesihatan Chenor dengan ditemani suami.Inilah kali pertama saya menjalankan pemeriksaan di klinik ini setelah berpindah dari Temerloh.Kata suami saya,lebih mudah nanti untuk saya pergi sendirian sekiranya dia berjauhan kerana tempatnya hampir dengan rumah.Alhamdulillah semuanya seperti biasa, tahap kesihatan saya dan baby memuaskan.

Petang: Setelah menjalankan kewajiban seperti biasa, saya dan suami berehat sambil suami saya khusyuk membaca buku yang baru dibelinya Rabu lalu ketika kami ke Kuala Lumpur. Saya hanya mendengar penjelasannya mengenai buku tersebut yang berjudul 'Untukmu Wanita' karangan Ustaz Zaharudin Abdul Rahman.Dia menulis sesuatu dihelaian kedua buku tersebut sambil saya hanya memerhatikannya.Lantas dia menghulurkan kepada saya lalu saya membacanya "Hadiah buat isteriku yang tersayang,Selamat Hari Lahir"…terharu saya membaca kata-kata tersebut.
"Abang minta maaf sebab lambat bagi hadiah hari lahir sayang"teringat kata-katanya."Bacalah buku ni buat panduan, bagus bukunya"katanya lagi.
"Terima Kasih abg,buku ni memang sangat-sangat berharga dari abang"kataku.
Selepas itu dia mengambil kembali buku itu dari tangan saya dan terus membacanya.Kami hanya menghabiskan masa dengan buku itu petang itu.

Maghrib: Saya bersiap untuk menunaikan solat Maghrib sedang suami saya masih di dalam bilik.Apabila saya masuk ke bilik saya tidak dapati dia, dan semena-mena telinga saya mendengar deruan bunyi motor abah."Oh dia dah pergi ke masjid"
Tiada apa kelainan yang saya perhatikan padanya kerana sememangnya kebiasaannya dia begitu.
Selepas saya menunaikan solat Maghrib, saya membuka kitab suci Al Quran lantas membaca surah Ar Rahman.Namun,belum selesai saya menghabiskan surah tersebut saya mendengar deruan enjin motosikal di jalan depan begitu kuat sehingga tiba-tiba saya mendengar dentuman yang kuat."Ya Allah,hati saya terus mengatakan ada kemalangan di depan rumah.
Segera saya menamatkan bacaan saya dan menjenguk ke luar rumah..dalam hati saya tertanya-tanya siapalah agaknya yang berlanggar tersebut.Tidak sedikit pun saya sangkakan suami saya yang terlibat kerana waktu itu di masjid masih ada bacaan yasin.Suami saya sudah tentu belum pulang,kata hati saya.
Saya dapat melihat waktu itu ramai yang membantu mangsa,mengangkat dan membawa ke klinik menaiki hilux.
Tiba-tiba jiran saya yang turut pergi membantu datang tergesa-gesa kepada saya dan berkata"Motor yang kena tu macam motor pak cik(ayah saya)"
Terus hati saya berdetik dan jantung berdeguk kencang.Saya tanpa membuang masa pergi ke tempat kejadian,"Ya Allah, ni suami saya"Terus kata-kata itu keluar dari mulut saya.Saya hanya menyaksikan kupiahnya yang jatuh ke tanah.
Segera saya masuk ke dalam rumah dan memberitahu emak dan abah yang sedang membaca yasin.Mereka begitu terperanjat.Saya terus bersiap-siap dan ingin terus ke klinik waktu itu,hanya doa dipanjatkan di dalam hati in "Ya Allah,selamatkan suami saya".Jiran saya segera menghantar kami ke sana.
Sesampai di klinik saya dapat melihat suami saya mengerang di atas trechar,sambil ambulan telah siap sedia untuk membawa ketiga-tiga mangsa ke hospital.Saya mendapatkan suami saya,namun kata pembantu doktor tersebut suami saya tak sedarkan diri walaupun dia mengerang kesakitan.Saya hanya membisikkan ketelinganya perkataan sabar dan menyuruh suami saya mengucap.Saya hanya menyebut "ALLAH"berulang-ulang kali ketelinganya.Alangkah sayu hati saya waktu itu melihat keadaan suami saya yang seperti sangat kesakitan sedang mulutnya berlumuran darah.

Sesampai di hospital,segera suami saya dibawa ke wad kecemasan sedang saya hanya menanti diluar wad.Doa tidak putus-putus dipanjatkan semoga suami saya selamat.Hati mana yang tidak luluh bilamana orang yang kita sayangi ditimpa musibah,namun saya cuba kuatkan hati,"Ya Allah tabahkan hatiku"bisikku waktu itu.
Beberapa kali saya dipanggil oleh doktor yang meminta saya mendaftarkan kemasukan suami ke hospital dan meminta saya untuk menandatangani surat membenarkan "city scan" dilakukan terhadap suami saya.Waktu itu suami saya memang sudah tidak sedarkan diri.Namun kedua-dua lelaki yang sama terlibat kemalangan bersama suami saya hanya cedera ringan malah boleh segera pulang ke rumah mereka.
Sekali lagi saya dipanggil oleh doktor untuk menerangkan keadaan suami saya waktu itu.Katanya suami saya hanya mengalami sedikit kecederaan di kepala dan terdapat sedikit pendarahan di dalam kepala namun tidak sampai tahap perlu dilakukan pembedahan.Scan yang dilakukan ditunjukkan kepada saya.Agak malang waktu itu ICU di hospital Temerloh sudah penuh,malah ICU di beberapa hospital lain seperti Afzan dan HKL juga penuh.Lebih kurang jam 1.00 pagi baru doktor memberitahu saya yang suami saya terpaksa dihantar ke Hospital Selayang.Saya meminta Abang Mad (abang kepada suami) utk bersama-sama mengikut ambulan memandangkan keadaan saya yang tidak mengizinkan untuk turut sama.Lebih kurang 1.30 pagi ambulan bertolak dan saya hanya iringi dengan doa yang tidak putus "YA ALLAH,Selamatkan suami saya"..

1 Januari 2010

Pagi itu abang Long telah berjanji untuk bersama-sama ke Hospital Selayang, setelah Abang Long dan Ngah pergi membuat laporan polis,tapi pihak polis mengatakan bahawa laporan hanya boleh dibuat setelah suami saya sedar dari koma.Jam 9.30 pagi kami bertolak ke Selayang,jam 12.30 kami tiba di sana.Waktu melawat ICU hanya pada pkul 1.00ptg hingga 2.00ptg.Waris juga tidak dibenarkan untuk menjaga pesakit.Tiba waktu melawat saya segera menjenguk suami yang masih tidak sedarkan diri.Doktor yang merawat suami ingin bertemu dgn saya untuk menerangkan keadaan suami saya.Katanya keadaan suami saya agak stabil namun pendarahan di dalam kepala tersebut mungkin akan membuatkan suami saya lambat untuk sedar semula.Kemungkinan sedikit tulang leher retak namun keputusan rasmi akan diberitahu kemudian.Kecederaan lain sama ada patah dan sebagainya tidak ada.Saya terus memanjatkan doa agar suami saya sedar semula dan sihat seperti biasa.
Petang: Abang Long,Ngah dan Abah terpaksa pulang memandangkan banyak hal yang perlu diselesaikan.Saya sejak awal telah berura-ura untuk menunggu suami di hospital bersama emak yang menemani saya.Alhamdulillah, adik saya yang tinggal di Klang sanggup untuk menghantar dan mengambil kami.Jadi kami berulang-alik setiap hari dari rumahnya.

Setiap kali saya menjenguk suami di dalam wad,hati saya selalu terusik.Masakan tidak,memandang wayar dan tiup yang berselirat disekeliling suami membuatkan saya benar-benar berserah.Berserah pada Allah yang Maha Kaya.Setiap kali itu saya katakan kepada suami 'Abang,abang kena kuatkan semangat. Abang,kita ngaji sama-sama ye!Abang pernah hafaz semua ni" lalu saya bacakan ayat-ayat suci Al Quran ketelinganya. Walaupun dia tidak membuka mata melihat saya,namun kadang-kala saya rasakan gerak matanya membalas perbualan saya.Harapan saya waktu itu hanyalah untuk melihat suami saya membuka mata dan tersenyum kembali kepada saya.Semoga ingatan dia akan pulih dengan kesucian Al Quran yang dihafaznya.

4 Januari 2010
Tatkala saya melawat suami tengahari itu,suami saya telah menunjukkan tindak balas dengan menggerakkan kaki dan tangannya.Walaupun dia masih tidak membuka mata,namun tindakan itu menyebabkan hati saya sedikit lega.Kata jururawat yang menjaganya, ubat tidur yang diberikan kepadanya telah ditutup pagi tadi.Kerana itulah dia telah menunjukkan tanda-tanda akan jaga.Namun apabila dipanggil nama,tetap tidak ada sahutan dari suami.

5 Januari 2010
Doktor meminta saya menandatangani surat kebenaran untuk pembedahan kecil yang perlu dilakukan keatas suami iaitu menebuk sedikit lubang dilehernya.Ini untuk memudahkan tiup oksigen disambungkan.Tiup yang dipakai ke mulut suami saya telah lama dan ini boleh menyebabkan jangkitan kuman.Itupun hanya akan dilakukan sekiranya suami saya masih tidak sedar.Akhirnya saya redha itu dilakukan terhadap suami saya.Namun dihati saya berdoa semoga suami akan sedar segera.

6 Januari 2010
Saya masuk ke wad ICU seperti biasa setelah tiba waktu melawat.Hati saya berdebar-debar.Adakah prosedur semalam telah dilakukan terhadap suami saya?Doktor memberitahu saya pembedahan kecil tersebut baru saja selesai dilakukan terhadap suami saya.Saya akur yang suami masih belum sedar,malah mungkin akan memakan masa lebih lama memandangkan ubat bius telah diberikan terhadap suami saya.Tambahan suhu badan suami agak panas,demam yang agak kuat.Saya megusap dahi suami sambil membaca beberapa ayat Syifa' "Ya Allah, selamatkan suami saya"

7 Januari 2010
Tengahari itu saya melawatnya seperti biasa.Kata jururawat tersebut keadaan dia agak stabil.Demam pun sudah berkurangan kira-kira 37.6 pada bacaan.Saya lihat ke muka suami,kelihatan dia hanya seperti tidur.Seolah-olah tidak menanggung sebarang kesakitan.Namun, hati saya sayu.Seperti biasa saya bacakan lagi ayat suci Al Quran ke telinganya."Abang,kuatkan semangat.Abang cepatlah sedar.."bisik saya.
Petang: Keadaan dia agak mencemaskan saya.Degupan jantungnya terlalu laju sehingga mencecah 200 lebih.Kata doktor,ini keadaan yang tidak baik kerana boleh menyebabkan organ lain menjadi lemah.Paru-paru juga telah dijangkiti kuman.Keadaan dia pada petang itu sememangnya merisaukan saya.Sememangnya keadaannya sudah tidak stabil petang itu.Saya pulang dengan langkah yang berat,namun doa tetap tidak putus di hati saya.

8 Januari 2010
Kira-kira jam 11.00 pagi saya mendapat panggilan dari hospital.Saya dikehendaki datang segera ke hospital kerana keadaan suami saya sememangnya kritikal.Bacaan nadi,jantung dan tekanan darah semuanya terlalu tinggi.Malah paru-parunya telah berair.
Saya menelefon Abg Mad yang sememangnya menunggu di hospital agar segera ke wad ICU kerana saya masih dalam perjalanan.Sesampai di sana saya menatap wajah suami yang tetap seolah-olah tidur.Namun hanya bacaan di mesin menunjukkan keadaannya yang kritikal.Abang Mad waktu itu membacakan Yasin untuknya.Segera saya membuka Al Quran dan membacakan Yasin untuknya berulang-ulang kali sambil kekadang saya berbisik ke telinganya agar mengucap."Abang,sebut Allah,Allah,Allah…"saya ulang banyak kali ke telinganya."Lailahaillallah,sebut abang.."saya menyebut lagi sambil mengusap dahi suami saya.Terasa panas dahinya.Namun, bacaan di mesin telah semakin turun dan turun.Saya tetap berbisik pada suami agar ingat Allah.Akhirnya suami saya menghembuskan nafas yang terakhir di sisi saya,mak dan abang mad.Saya melihat jam waktu itu 2.25petang.Tatkala itu mukanya seolah senyum pada kami dan terus berubah pucat.
"Innalillahi wainna ilaihi rajiun.."saya lafazkan
"Abang,maafkan semua kesalahan yang pernah sayang lakukan..semoga abang ditempatkan bersama para syuhada dan solihin" saya cium dahi arwah suami sebelum jururawat meminta kami keluar.Saya redha takdir yang telah ditentukan kepada kami.

Saya mengkhabarkan kepada sahabat-sahabat dan keluarga yang lain dengan menghantar sms.Ramai yang menghubungi saya waktu itu bertanyakan perkhabaran suami saya.

Kami berura-ura untuk membawa pulang arwah ke rumah ayah di Jengka 20.Namun prosedur hospital tetap tidak membenarkan kami membawanya pulang.Kami diminta untuk membuat laporan polis kerana arwah terlibat dalam kemalangan.Malah kami terpaksa menunggu pilis trafik yang menguruskan hal tersebut datang dari Maran. Kata pihak hospital lagi, sekiranya meninggal disebabkan kemalangan,post mortem perlu dilakukan terhadap jenazah.Kami tetap mempertahankan dan tidak membenarkan post mortem dilakukan.Perbincangan dilakukan di antara kami,pihak forensik dan polis.Alhamdulillah,akhirnya kami berjaya namun waktu itu jam sudah hampir pukul 8.30 malam.Setelah abang mad menguruskan van jenazah kira-kira pukul 9.00 malam kami bertolak dari Selayang.

Jam 11 lebih kami sampai ke Jengka 20.Segera jenazah suami dimandikan dan dikafankan.Tatkala jenazah siap dikafan, saat itulah saya mencium jenazah suami saya buat kali terakhir."Selamat tinggal abang,abang jalanlah dengan selamat.Sayang pasti akan menyusul juga nanti.Abang tunggu sayang di sana ye".Air mata saya tidak dapat dibendung.Saya telah kehilangan suami dan baby ini tidak sempat mengenali ayahnya.

Jenazah suami saya dibawa ke masjid untuk disolatkan dan segera dibawa ke tanah perkuburan.Bersemadilah jasad suami saya di sana.Namun,kasih sayangnya tetap ditinggalkan bersama saya."Insyaallah,sayang akan jaga dan pelihara zuriat abang menjadi anak yang soleh"
Jam 1pagi lebih baru semuanya selesai.

Terima Kasih buat sahabat-sahabat yang tidak putus-putus menziarahi suami sepanjang kami di Selayang juga yang tidak putus memberi semangat kepada saya.Segala pertolongan dan sumbangan kalian hanya Allah yang membalasnya.

Doakan sama semoga arwah suami saya ditempatkan bersama para syuhada dan solehin di syurga.

Sesungguhnya hati saya berasa terlalu kehilangan.Kehilangan suami yang terlalu baik.Yang terlalu bersabar dengan karenah saya, yang terlalu lembut melayani saya,yang selalu bersama ketika saya sakit.Yang selalu menasihati saya,malah selalu memberi semangat kepada saya.Namun, saya akui suami saya hanyalah pinjaman sementara kepada saya.Kini,dia telah kembali kepada pemilik sebenar jasad dan rohnya.


Ketika Allah anugerahkan kamu satu nikmat, maka ia adalah pinjaman dariNya.Jika dia mengambilnya semula darimu,itu hakNya.Suami adalah satu nikmat dan pinjaman dari Allah,redhalah pemergiannya.Apa yang perlu kamu lakukan redhalah pada tuhanmu dan teruskan kehidupan.




2 Response to ::Catatan pilu tahun baru 2010::Pemergian yang memedihkankan,namun ku redha

June 2, 2010 at 12:27 PM

salam dik..
akak baru jumpa blog adik ni dari sorg sahabat. takziah buat adik..semoga Allah memberi kesabaran dan ketabahan buat adik..dan semoga arwah ditempatkan di kalangan org2 soleh..adik, kisah kita sama..akak juga kehilangan suami, juga dalam satu kemalangan jalanraya di jerantut. dan anak akak juga tak sempat mengenali abahnya..semoga kita tabah menghadapi ujian hidup sementara ini...ada kelapangan ziarah blog akak..

http://hilma-mujahidahsolehah.blogspot

Anonymous
December 28, 2010 at 3:32 PM

salam...

sebak sy dlm menghabiskan bacaan entry ni...moga saudari tabah menghadapi ujian ini...sy tahu..berat mata memandang..berat lg bahu yg memikul...tp i'Allah...saudari boleh...teruskan perjuangan...

.

.