30 April 2010 Tags: 0 comments

::Cerita hati::

Sekadar perkongsian bersama…

Cerita 1
Baru-baru ini saya telah menerima sebuah panggilan telefon dari seorang yang menggelarkan dirinya Kak Ani.Kak Ani tinggal di Kuala Lumpur bersama keluarganya.Sungguh saya tidak mengenali Kak Ani namun hajat dia menghubungi saya adalah semata-mata untuk bersembang dengan saya.Katanya dia ingin mengambil semangat dari saya setelah mengetahui musibah yang menimpa saya melalui seorang sahabat.
Kak Ani menceritakan perihal suaminya yang telah sebulan koma di Hospital UKM kerana mengalami strok.Sehingga kini suaminya masih belum sedar.Saya hanya mengingatkannya sesungguhnya setiap ujian yang Allah anugerahkan itu merupakan ujian bagi menguji iman kita.Walau apapun saya mendoakan agar suami Kak Ani akan semakin pulih dari penyakitnya.
"Ya Allah, janganlah kau uji hambaMu dengan ujian yang berat ini."

"Sungguh Kak Ani,sesiapa yang tidak mengalaminya tidak akan merasai keperitannya.Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul.
Namun bagi kita insan yang mengalaminya hanya perkataan sabar dan harapan agar kita tabah yang mampu memujuk hati,semoga kita menemui hikmah disebaliknya."


Cerita 2
Pada 6 Februari 2010, saya mendapat berita kemasukan abang ipar saya Muhamad B.Azizan ke Hospital Temerloh kerana dijangkiti paru-paru berair.Mad telah mengalami demam dan batuk-batuk setelah pulang dari Hospital Selayang semasa menjadi penjaga arwah suami saya.Setelah menjalani pemeriksaan di Hospital Jengka, scan paru-paru mendapati air yg berada di paru-paru agak banyak dan terpaksa dibawa ke Hospital Temerloh.Baru-baru ini Mad terpaksa ditukarkan ke Hospital Selayang dan menjalani pembedahan paru-paru.Sehingga ke hari ini Mad masih berada di dalam wad sehingga dia agak sihat untuk dibenarkan keluar.
Doa saya semoga Mad semakin pulih dan dapat keluar dari hospital dengan segera.

Cerita 3
Seorang sahabat rapat yang saya meluahkan masalahnya kepada saya.Dia mengadu bahawa suaminya sudah mempunyai kekasih lain di luar.Keadaan suaminya sekarang seolah-olah berada di awanan dan lupa pada rumahtangganya.Setiap hari dia sibuk dengan handphone ditangan apabila berada dirumah malah selalu 'bergayut' sampai larut malam.
Kawan saya mengadu yang dia begitu sedih dan semakin tidak mempercayai suaminya.Kekadang dia menyuarakan hasrat untuk meminta cerai tetapi suaminya tidak mahu melepaskannya.

Saya bukanlah seorang motivator yang mampu untuk merungkai permasalahan begini,namun sebagai sahabat saya simpati dengan keadaan yang menimpanya."Sabarlah dengan apa yang menimpa kita.Keadaan akan lebih rumit sekiranya masing-masing tetap dengan pendirian masing-masing.Berbincang adalah jalan yang terbaik."

Apakah kesimpulan ketiga-tiga cerita ini?
Walaupun keadaan dan situasi berbeza, namun semuanya meruntun hati dan rasa.Sakit pada badan dan jiwa kekadang mampu membuat seseorang itu jatuh dan tidak mampu bangkit untuk meneruskan kehidupan.

Apa yang perlu kita ketahui dan sedar ialah sesungguhnya ujian dan dugaan itu merupakan satu sunnah Allah Taala kepada hambaNya. Kerana itulah Rasulullah s.a.w bersabda;
'Orang yang lebih berat menghadapi ujian itu adalah para anbiya' dan auliya' kemudian orang yang mengikuti mereka'.

Ini bermaksud ujian yang berbentuk mala petaka dan sebagainya ini atau berbentuk nikmat dan rahmat kesenangan, ini merupakan satu ujian iman daripada Allah s.w.t.
Firman Allah taala:
"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan: 'Kami tela beriman' sedang mereka tidak diuji lagi?
(Surah Al Ankabut ayat 2)

Bagi saya,sungguh saya katakan bahawa selepas saya ditimpa musibah berat ini,barulah saya merasakan setiap rintihan kepada Yang Esa benar-benar tulus dari hati ini.Doa tulus saya panjatkan setiap kali saya terkenangkan semua ini.Mungkin semua ini adalah penyucian hati buat saya dari dosa-dosa lalu yang saya sedari mahupun tidak.Setiap kali itulah saya memandang kepada mereka yang susah untuk menimbulkan keinsafan dihati saya, bukan hanya saya yang menerima nasib sedemikian.

"Ya Allah kami akui kelemahan diri kami,kami kesali kejahilan diri kami ,jadi terimalah taubat hambamu ini"

Dalam derita ada bahagia
Dalam gembira mungkin terselit duka
Tak siapa tahu tak siapa pinta ujian bertamu

Bibir mudah mengucap sabar
Tapi hatilah yang remuk menderita
Insan memandang mempunyai berbagai tafsiran

Segala takdir terimalah dengan hati terbuka
Walau tersiksa ada hikmahnya

Harus ada rasa bersyukur disetiap kali ujian menjelma
Itu jelas dan membuktikan Allah mengasihimu setiap masa

Diuji tahap keimanan sedangkan ramai terbiar dilalaikan
Hanya yang terpilih sahaja antara berjuta mendapat rahmatnya

Allah rindu mendengarkan rintihanmu berpanjangan
Bersyukurlah dan tabahlah menghadapi

Setiap ujian diberi
Maka bersyukurlah selalu

 

No Response to "::Cerita hati::"

.

.