07 January 2012 Tags: 0 comments

Perutusan 2012 by Hati Besi

sebuah ukhuwwah
Assalamualaikum warahmatullah...
Salam ziarah di entri pertama di tahun 2012. Minggu kedua ini,rasanya belum terlambat untuk saya titipkan Ucapan Selamat Tahun Baru. Biasanya yang dikaitkan dengan tahun baru sudah tentulah 'sebuah azam'.Tetapi untuk menanam azam, tidak semestinya di tahun baru sahaja, betul tak?

Kerana, sebagai umat Islam, Allah telah membuka luas ruang taubat kepada hamba-hambanya yang berdosa untuk melaksanakan taubat, bukan hanya bertaubat apabila tiba tarikh-tarikh yang tertentu sahaja. Prinsip azam dan taubat sama sahaja. Yang penting, pasang niat dan laksanakan.

Bercakap berkenaan tahun baru, bermakna telah bertambah setingkat lagi hitungan usia kita. Juga bermakna, berkurang setingkat lagi usia kehidupan kita. Sebab itu biasa kita dengan luahan teman-teman "Cepatnya masa berlalu."

Sedar tidak sedar sahaja, seolah berada di sebuah filem. Namun, saya suka mengkoreksi apa yang telah berlaku dalam kehidupan saya. Bukankah kehidupan ini ibarat sebuah roda? Apa yang berlaku hari ini sudah pasti akan berulang kembali suatu hari nanti.  Sejarah yang pernah saya ukir, saya kenang lagi dan lagi. Kerana di hati saya ada sedikit sesalan pada sebuah ketaatan,perubahan yang pernah saya lakukan dan kebaikan yang pernah saya kongsikan.

Jadi, dalam melalui perjalanan hari ini, kena sentiasa berhati-hati dalam melangkah. Hati-hati dengan erti kata membawa sebuah panduan bersama-sama. Sudah tentu panduan kita sebagai muslim dengan meletakkan Al Quran dan Sunnah di sisi kita. Apabila terpana pada suatu lubang, maka tanyalah panduan itu, sudah pasti suatu hari nanti kita akan sampai dengan selamat di jalan yang terang.

Di dalam mengkoreksi pula, pelbagai halangan pasti tiba.Berhati-hatilah juga dengan bisikan noda dari musuh syaitan yang sentiasa mewar-warkan kepalsuan. Usah bertanya-tanya kenapa dan kenapa sesuatu yang pernah terjadi, sebaliknya bertanyalah bagaimana untuk kita ulangi kegemilangan amal dan ilmu yang pernah kita miliki.

Dalam urusan bersahabat pula, sentiasalah mencerahkan hati dengan sikap bersangka baik, kerana nilai sebuah ukhuwwah itu amat besar nilainya. Bukankah setiap mukmin itu adalah bersaudara? Usah mencipta pelbagai cerita keburukan sahabat kita, sekalipun cerita yang sampai itu adalah realitinya. Sebaliknya usahalah mengikat semula tali yang terputus. Musnahkan benteng penghalang kepada ketulusan hati dalam bersahabat. 

Insyaallah jalan dan panduan telah lama tersedia, sebagai insan kitalah yang mendorong hati dan akal yang dimiliki ini untuk mencari cahaya ilahi. Semoga sikap dan perlakuan kita akan sentiasa membawa 'sakinah' kepada mereka-mereka dan alam di sekeliling kita.Ibaratnya, di campak ke laut menjadi pulau dan dicampak ke darat menjadi gunung khusus dalam beramal. Semoga kita menjadi insan yang sama-sama beriringan  ke syurga nanti, dengan rahmat Allah taala. Wallahu 'alam.

No Response to "Perutusan 2012 by Hati Besi"

.

.