Assalamualaikum...
Alhamdulillah segala nikmat hanyalah milikNya, dan dengan limpahan rahmatNya jua ku masih di sini menikmati masa-masa percuma yang dianugerahkan.Sesungguhnya tiada yang lebih membahagiakan selain dapat menikmati masa rehat dan terluang ini. Sesungguhnya inilah detik yang amat-amat dirindui.
Dapat mencoretkan sesuatu di sini merupakan kepuasan buat saya demi memenuhi tuntutan ilahi juga mencari nur dariNya.

Alhamdulillah, sepinya saya di alam maya ini bukan bermakna saya sepi di alam nyata. Kekangan masa dan kewajiban menyebabkan saya turut berenang mengejarnya.Alhamdulillah, Allah memberi peluang untuk saya terus menyampaikan sesuatu kepada masyarakat berbekalkan ilmu yang amat sedikit nisbahnya.Menyedari hal itu, saya perlu berbuat sesuatu untuk membaiki segala kelemahan yang disedari.

Saya sukakan situasi ini.Situasi yang akan membuatkan saya hanya berfikir mengenai semua orang, berbanding apabila bersendirian,maka akan banyak hasutan dan anasir lain yang mampu mempengaruhi emosi dan iman.Kerana itu, manusia dan kehidupan ini perlu disibukkan.Bukankah setiap masa yang dianugerahkan itu akan terbiar rugi walaupun sesaat seandainya tidak dihabiskan ke jalan yang diredhai.
Terasa juga semakin jauh dengan dunia penulisan di sini, namun saya mula menyukai dunia berkata-kata pula.Berdakwah dengan lidah amat berbeza dengan berdakwah dengan mata pena. Di khalayak ramai segala kata-kata yang terluncur dibibir segalanya akan dinilai. Kekadang amat terasa kedangkalan ilmu di dada dek soalan-soalan yang agak 'complicated'.Namun,itu bukan alasan untuk kita tidak berada di medan ini.

Teringat semasa di DQ, usai zikir dan doa maghrib dilaksanakan,maka pelajar banin akan tampil seorang demi seorang memberikan tazkirah.Kekadang diselang-seli juga dengann tazkirah daripada banat. Dalam ramai-ramai yang menyampaikan tazkirah, sudah tentu pelbagai gaya dan teknik dapat diperlihatkan.Sehinggakan tazkirah yang meminta kita tafakur 5 minit juga pernah ada. Mungkin benar niatnya untuk meminta sekelian jemaah bertafakur atau sudah kehabisan idea untuk berkata-kata. Maka selepas itu YDP PERKEMAT zaman itu tampil dengan pesanannya supaya para daie sekelian bersedia dengan soruh atau peluru berpandu setiap masa. Yang dimaksudkan ialah buah idea bagi menyampaikan tazkirah andai diminta. Benarlah, apabila masing-masing telah terjun ke masyarakat sudah tentu golongan agama ini dipandang tinggi sebagai golongan yang kaya dengan kefakehan dan kedalaman ilmu agama. Sehinggalah merasakan kita mampu melontarkan apa sahaja.Masyaallah.

Oleh itu, sama-sama kita bermuhasabah agar lebih sedaya-upaya mempertingkatkan kemampuan diri dalam terjun ke masyarakat. Sesungguhnya setiap daya usaha kita walaupun sedikit tetap akan dikira ganjaran pahala kerana bukan natijah yang akan ditanya di akhrat nanti, tetapi usaha ke arah keredhaan Allah itu.
Sebagai akhir,terima kasih teman seiman kerana kalian hadir seorang demi seorang di dalam hidup ini.Kalian amat berharga kerana telah mengingatkan di kala teralpa, telah menerjah ketika ku dalam igauan, dan paling membahagiakan hati apabila kalian sentiasa mengingatkan walaupun diri ini dalam keadaan berjaga.Semoga ikatan ukhuwah antara kita segar mewangi hingga menerjah ke syurga Allah.