26 December 2011 Tags: , 0 comments

SHL

Assalamualaikum warahmatullah....

Tanggal 26 Disember tiba lagi....kebiasaannya orang zaman sekarang terlalu mengambil berat berkenaan tarikh-tarikh istimewa di dalam hidup mereka...yalah, disebaliknya terdapat peristiwa manis dan pahit yang meninggalkan kenangan dalam hidup.
Ulangtahun kelahiran yang tiba ini menggamit kembali suka duka yang dilalui dalam kehidupan. Biasanya kenangan pahit amat sukar untuk dilupakan. Namun, jangan dilupa sebenarnya yang manis itu amat banyak untuk dikenang sebagai motivasi hidup di masa hadapan...

~DOA BUAT SEMUA YANG MENYAMBUT HARI LAHIR,YANG TELAH DAN AKAN DATANG~May Allah Bless Us


Segala puji bagi Allah Tuhan Seru Sekelian Alam, Selawat dan Salam Untuk Nabi Muhammad saw, Ahli Keluarganya dan Sahabat-sahabatnya.
Terima kasih ya Allah untuk usia yang telah Engkau berikan. Terima kasih juga untuk setiap rezeki yang Engkau kurniakan. Terima kasih juga untuk setiap ujian yang Engkau turunkan. Terima kasih untuk bakat dan ilham yang Engkau anugerahkan. Terima kasih kerana keluarga bahagia yang Engkau amanahkan. Sesungguhnya terlalu banyak yang telah Engkau berikan kepada kami…. Tetapi terlalu sedikit pengabdian kami terhadap-Mu

Engkau tetap menerima walaupun terkadang kami alpa, kami lupa. Kami silap dan khilaf menafsir makna setiap kurniaan dan dugaan. Namun begitu besarnya kasih-Mu….Engkau tetap melindungi kami walaupun terkadang kami kalut merunggut ketika saat-saat lemah kami datang. Kami tak pernah menafikan hak-Mu sebagai Khaliq walaupun terkadang terbuai dengan kesedihan yang amat perit.

Ampunkan kami ya Allah apabila kami merintih nasib kami di hadapan-Mu, kepada siapa lagi harus kami mengadu? Kami tidak pernah menyesali kewujudan kami ini ya Allah… namun kami hanya hamba-Mu yang dhaif dan lemah. Adakalanya kami kurang kesabaran. Ada masanya kami goyah keimanan. Ada masanya kami terikut bisikan syaitan. Namun dengan limpah kasih sayang-Mu, Engkau menarik kami kembali jauh daripada kesesatan.

Dalam usia bagini….. Kami ingin lebih dekat pada-Mu ya Rahman. Dalam usia yang makin jauh ini…. Kami ingin lebih merindui-Mu ya Rahiim. Dalam usia meniti senja ini Kami ingin selaku mengabdikan diri sekudusnya terhadap-Mu. Dalam usia ini yang kami inginkan hanyalah ketenangan, kekusyukan beribadah, segala kesederhanaan dan kerendahan hati tanpa berhenti menghulur kasih kepada yang sudi.

Ya Muhaimin…Pimpinanlah tangan hamba-Mu ini.. pimpinanlah hati hamba-Mu ini akan sentiasa berpijak ke atas jalan kebenaran.

Ya Al Quddus… sebagai hamba-Mu yang hina dina, kami takkan mungkin mencapai sempurna, tapi kasihanilah kami… bimbinglah kami sentiasa agar kami mampu meniti Titian Silatulmustakim-Mu dengan tenang dan mudah tanpa cela.

Ya Hakim,berikanlah kami kejayaan di dunia dan akhirat.Beratilah ilmu yang Engkau kurniakan kpd kami dan jadikanlah kami beramal dengan ilmu-ilmu kami.

Ya Allah…Sesungguhnya kematian itu benar…. Alam kubur itu benar…..Hari Pembalasan itu juga benar….Hari ini, semakin hampir kami kepada Alam Kematian…. Semakin dekat kami dengan Alam Kubur… semakin takut kami terhadap Hari Pembalasan… izinkan kami dalam usia yang semakin sedikit ini kami mengaut sebanyaknya himpunan pahala, untuk kami jadikan bekalan kehidupan yang tiada penghujungnya nanti. Kami ingin menjadi anak, ibu, isteri dan muaalim yang solehah..

Terima kasih ya Allah atas segala takdir yang telah Engkau tentukan untuk kami… Engkaulah Yang Maha Besar… Allahu Akbar!.. peliharalah kami yang lemah ini agar terus berpegang teguh pada tali-Mu…

Terimalah pemohonan hamba-hamba Mu yang sedang bermusafir di bumi-Mu ini Ya Al Mudzill.
Amin Ya Rabbil-Alamin.
 

23 December 2011 Tags: 0 comments

Hidung


Assalamualaikum dan salam ziarah..
Salam Sayyidul Ayyam yang mulia.Kali ini saya nak berkongsi mengenai hidung pula, biasanya kita ni jarang sangat mengkalorkan mengenai hidung kita walaupun ianya sebenarnya sangat penting.
 

Hadis Abu Hurairah r.a: Nabi s.a.w telah bersabda:
"Apabila seseorang dari kamu bangkit dari tidur, maka hendaklah dia memasukkan air ke dalam hidung dan menghembusnya keluar sebanyak tiga kali kerana sesungguhnya syaitan tidur dalam rongga hidungnya iaitu ketika dia tidur (Muslim)"

Tahukah kita hidung adalah salah satu anggota yang amat diminati oleh syaitan. Masa yang paling sesuai untuk dikunjungi syaitan adalah ketika kita sedang tidur. Ketika itu syaitan akan berkumpul di dalamnya.
 

Tidak dapat diketahui  dengan tepat kenapa dia suka sangat dengan lubang hidung, tetapi ia boleh menganggu keupayaan kita untuk bangun dari tidur.
 
Membersihkannya sebaik sahaja bangun dari tidur adalah satu amalan yang dilakukan oleh Rasullullah selain dari bersugi. Oleh itu bersihkanlah sebaik bangun dari tidur.
 
Cara nak membersihkannya :
1.Berselawatlah dan gunakan jari yang kecil, bersihkanlah perlahan-lahan.Jangan gunakan jari yang besar atau
sebarang objek kerana dikhuatiri hidung akan tercedera atau bulu hidung akan tertanggal,

Maka, sama-sama lah kita mengamalkannya kerana melalui hidunglah kita menyedut udara pemberian Allah dan dapat menghidu bau syurga (ini bergantung kepada amalan masing-masing).
Wallahu alam

*mengkalorkan= bahasa loghat Chenor bermaksud mengambil tahu hihi

20 December 2011 Tags: 0 comments

Nasihat Imam Shafie untuk mencari SAHABAT

Hayatilah nasihat Imam Shafie ini dan jadilah ia sebagai panduan dalam kehidupan seharian..


Aku mencintai sahabatku dengan segenap jiwa ragaku, 
seakan-akan aku mencintai sanak saudaraku.
Sahabat yang baik adalah yang sering sejalan denganku dan 
yang menjaga nama baikku 
ketika aku hidup atau selepas aku mati.
Aku selalu berharap mendapatkan sahabat sejati 
yang tidak luntur baik dalam keadaan suka atau duka. Jika itu aku dapatkan, aku berjanji akan
selalu setia padanya.
Kuhulurkan tangan kepada sahabatku untuk berkenalan 
kerana aku akan berasa senang. Semakin ramai aku peroleh sahabat,  aku semakin percaya diri.
Mencari sahabat pada waktu susah.
Belum pernah kutemukan di dunia ini seorang sahabat yang setia dalam duka. Pada hal hidupku sentiasa berputar-putar antara 
suka dan duka.  Jika suka melanda, aku sering bertanya: Siapakah yang sudi menjadi sahabatku?? Pada waktu aku senang, sudah biasa ramai yang akan iri hati, namun bila giliran aku susah mereka pun bertepuk tangan. Pasang surut persahabatan.
Aku dapat bergaul secara bebas dengan orang lain ketika nasibku sedang baik.
Namun, ketika musibah menimpaku, kudapatkan mereka tidak ubahnya roda zaman yang tidak mahu bersahabat dengan keadaan.
Jika aku menjauhkan diri daripada mereka, mereka mencemuh dan jika aku sakit, tidak seorang pun yang menjengukku.
Jika hidupku berlumur kebahagiaan, banyak orang iri hati, jika hidupku berselimut derita mereka bersorak sorai.
Mengasingkan diri lebih baik daripada bergaul dengan orang jahat.
Apabila tidak ke temu sahabat yang takwa, lebih baik aku hidup
menyendiri daripada aku harus bergaul dengan orang jahat.
Sukarnya mencari sahabat sejati.
Tenanglah engkau dalam menghadapi perjalanan zaman ini. Bersikap seperti
seorang paderi dalam menghadapi manusia.
Cucilah kedua-dua tanganmu dari zaman itu dan daripada manusianya.
Peliharalah cintamu terhadap mereka. Maka, kelak kamu akan memperoleh kebaikannya.
Sepanjang usiaku yang semakin tua, belum pernah aku temukan di dunia ini sahabat yang sejati.
Kutinggalkan orang bodoh kerana banyak kejelekannya dan kujanji orang mulia kerana kebaikannya sedikit.

Agar anak mencintai ilmu



Assalamualaikum dan salam ziarah lagi...

Perumpamaan orang yang mempelajari ilmu pada waktu kecil adalah seperti memahat batu, sedangkan perumpamaan mempelajari ilmu ketika dewasa adalah seperti menulis di atas air. [HR. ath-Thabrani dari Abu Darda' ra].
     
Dalam sejarah, tidak ditemukan suatu agama yang mendorong pemeluknya untuk memberikan pengajaran kepada anak-anak seperti Islam. Islam menjadikan seorang Muslim memiliki antusiasme yang sangat tinggi untuk belajar dan mengajar. Antusiasme inilah yang menjadikan mereka sangat isimewa sepanjang sejarahnya yang panjang. Apalagi bagi mereka, menuntut ilmu adalah ibadah yang paling utama, yang boleh dijadikan wasilah untuk mendekatkan diri kepada Alllah.
     
Masa kanak-kanak merupakan fasa yang paling subur untuk melakukan pembinaan keilmuan dan pemikiran. Pada masa ini daya tangkap dan daya serap otak mereka berada pada kemampuan maksimum; dada mereka masih kosong dan lebih mudah untuk menghafal terhadap apa yang mereka dengar. 

Abu Hurairah ra. meriwayatkan secara marfû', bahawa Rasulullah saw. bersabda (yang ertinya): Siapa yang mempelajari al-Quran ketika masih muda, maka al-Quran itu akan sebati dengan daging dan darahnya. Siapa yang mempelajarinya ketika dewasa, sedangkan ilmu itu akan lepas darinya dan tidak melekat pada dirinya, maka ia mendapatkan pahala dua kali. (HR al-Baihaqi, ad-Dailami, dan al-Hakim).
     
Agar para ibubapa dapat mengarahkan anak melangkah menuju ilmu, belajar, serta mencintai ilmu dan ulama, ada beberapa hal penting yang harus ditempuh:

1. Tanamkan bahwa menuntut ilmu adalah perintah Allah Swt.
    
Kecintaan anak kepada Allah, yang selayaknya sudah terlebih dulu ditanamkan, akan mendatangkan ketaatan pada perintah-Nya dan takut akan azabNya, termasuk dalam menuntut ilmu. Cinta dan takut kepada Allah akan memunculkan sikap konsisten dalam mencari ilmu tanpa bosan dan dihinggapi rasa putus asa.

2. Tanamkan bahwa al-Quran adalah sumber kebenaran.
     Al-Quran sebagai sumber kebenaran (QS al-Maidah [5]: 48) sejak awal harus disampaikan oleh ibubapa kepada anak. Semua yang benar menurut al-Quran itulah yang harus dan boleh dilakukan. Ini memerlukan teladan dari ibubapa. Dengan begitu, anak akan melihat realisasi al-Quran sebagai sumber kebenaran dalam setiap perilaku orangtuanya. Begitu pula ketika menilai suatu keburukan, semuanya dinilai dengan standard al-Quran. 
3. Ajarkan metode belajar yang betul menurut Islam.
     Syaikh Taqiyuddin an-Nabhani menjelaskan dalam kitab As-Syakhshiyah al-Islâmiyyah jilid 1, bahwa Islam mengajarkan metode belajar yang benar, iaitu: 

1. Mempelajari sesuatu dengan mendalam hingga dipahami apa yang dipelajari dengan benar. 


2. Meyakini ilmu yang sedang dipelajari hingga bisa dijadikan dasar untuk berbuat. 

3. Sesuatu yang dipelajari bersifat praktikal, bukan sekadar teori, hingga dapat menyelesaikan suatu masalah.
    
Dalam mempelajari alam semesta, misalnya, dikatakan secara teori bahwa bulan mengelilingi bumi. Untuk menjadikannya sebagai pemahaman yang mendalam haruslah anak diajak melihat fakta bulan, yang dari hari ke hari berubah bentuk dan besarnya. Dengan demikian, anak pun menjadi yakin bahwa perubahan tanggal setiap harinya adalah kerana peredaran bulan. Dengan begitu, ia dapat mengetahui bahwa menentukan tanggal satu Ramadhan, misalnya, adalah dengan melihat bulan. 

4. Memilihkan guru dan sekolah yang baik bagi anak.
Guru adalah cermin yang dilihat oleh anak sehingga akan membekas di dalam jiwa dan pikiran mereka. Guru adalah sumber pengambilan ilmu. Para Sahabat dan Salaf ash-Shâlih sangat serius di dalam memilih guru yang baik bagi anak-anak mereka. 
Ibnu Sina dalam kitabnya, As-Siyâsah, mengatakan, "Seyugianya seorang anak itu dididik oleh seorang guru yang mempunyai kecerdasan dan agama, piawai dalam membina akhlak, cekap dalam mengatur anak, jauh dari sifat ringan tangan dan dengki, dan tidak kasar di hadapan muridnya. "


     Imam Mawardi (dalam Nashîhah al-Mulûk hlm. 172) menegaskan urgensi memilih guru yang baik dengan mengatakan, "Wajib bersungguh-sungguh di dalam memilihkan guru dan pendidik bagi anak, seperti kesungguhan di dalam memilihkan ibu dan ibu susuan baginya, bahkan lebih dari itu. Seorang anak akan mengambil akhlak, gerak-gerik, adab dan kebiasaan dari gurunya melebihi yang diambil dari orangtuanya sendiri. "
     Begitupun memilihkan sekolah yang baik yang di dalamnya diajarkan hal-hal yang tidak bertentangan dengan agama, apalagi yang merosak aqidah anak-anak Muslim. Ramai ibubapa memilih sekolah untuk anaknya sekadar agar anak dapat memperolehi ilmu dan prestasi yang bagus, tetapi lupa akan perkembangan kemantapan akidah dan akhlaknya. 
     Namun demikian, tentulah guru yang  pertama dan utama adalah ibubapanya, dan sekolah yang pertama dan utama adalah rumah tempat tinggalnya bersama ibubapa.
5. Mengasuh anak untuk memuliakan para ulama.
     Abu Umamah ra. menuturkan bahwa Rasulullah saw. pernah bersabda (yang ertinya): Ada tiga manusia, tidak ada yang meremehkan mereka kecuali orang munafik. Mereka adalah orangtua, ulama, dan pemimpin yang adil . (HR ath-Thabrani).
     Ulama adalah pewaris para nabi. Memuliakan dan menghormati mereka, bersikap santun dan lembut di dalam bergaul dengan mereka, adalah di antara adab yang harus dibiasakan sejak kanak-kanak. Memuliakan ulama menjadikan anak akan memuliakan ilmu yang diterimanya, yang dengannya Allah menghidupkan hati seseorang. 

Abu Umamah ra. juga menuturkan bahawa Rasulullah saw. pernah bersabda (yang ertinya): Sesungguhnya Luqman berkata kepada puteranya, "Wahai anakku, engkau harus duduk bersama dengan ulama. Dengarkanlah perkataan para hukama', kerana sesungguhnya Allah menghidupkan hati yang mati dengan cahaya hikmah, sebagaimana Dia menghidupkan bumi yang mati dengan hujan deras. " (HR ath-Thabrani).  
6. Membiasakan seluruh keluarga membaca dan menghafal ayat-ayat al-Quran dan Hadis Nabi saw.
     Dalam membina aqidah anak, mengajarkan al-Quran dan Hadis Nabi saw. adalah perkara yang utama dalam membentuk mentaliti anak. Keduanya merupakan sumber untuk menghidupkan ilmu yang akan menyinari dan menguatkan akal. Para Sahabat ra. sangat mengambil berat sekali menjinak anak-anak mereka dengan al-Quran. Anas bin Malik ra., setiap kali mengkhatamkan al-Quran, mengumpulkan isteri dan anak-anaknya, lalu berdoa untuk kebaikan mereka.  
      Pada masa Rasulullah saw. masih hidup, Ibnu Abbas ra. telah hafal al-Quran pada usia sepuluh tahun. Imam Syafii rahimahullâh telah hafal al-Quran pada usia tujuh tahun. Imam al-Bukhari mulai menghapal hadis ketika duduk dibangku madrasah dan mengarang kitab At-Târîkh pada usia 18 tahun.

7. Membuat perpustakaan rumah, sekalipun sederhana. 

     Mempelajari ilmu tak akan lepas dari kitab ataupun buku-buku sebagai media referensi yang senantiasa akan memenuhi tuntutan ilmu. Adanya perpustakaan rumah menjadi hal yang sangat penting untuk mengkondisikan anak-anak sentiasa dekat dengan ilmu dan bersahabat dengan kitab-kitab ilmu. 
     Imam asy-Syahid Hasan al-Banna dalam Risâlah-nya, Formula Paling Efektif dalam Mendidik Generasi Muda dengan Pendidikan Islam yang Murni, mengatakan, "Adalah sangat penting adanya perpustakaan di dalam rumah, sekalipun sederhana. Koleksi bukunya dipilihkan dari buku-buku sejarah Islam, biografi Salafus Solih, buku-buku akhlak, hikmah, kisah perjalanan para ulama ke berbagai negeri, kisah-kisah penaklukan berbagai negeri, dan semisalnya…."
8. Mengajak anak menghadiri majlis-majlis ilmu bersama orang dewasa.
    Nabi saw. pernah menceritakan bahwa beliau ketika masih kecil juga turut menghadiri majlis-majlis orang kaum bersama teman-temanku…. " (Diriwayatkan oleh Abu Ya'la dengan sanad sahih dalam Musnad-nya [2/157] dan oleh Ahmad [1/190]).
Dengan membawa anak-anak ke majlis orang dewasa, akalnya akan meningkat, jiwanya akan terdidik, semangat dan kecintaannya kepada ilmu akan semakin kuat.  
Wallâhu a'lam bi ash-shawâb
Sumbangan Artikle Oleh:
Rashidah Munir 

16 December 2011 Tags: 0 comments

Oley!!

09 December 2011 Tags: 1 comments

::Hati-hati dengan media baru::

Gambar Hiasan
Assalamualaikum dan salam ziarah.Bertemu lagi di alam maya..

Musim ini saya sibuk menggodam internet di rumah, sesekali selepas menyelesaikan beberapa kerja yang masih tertangguh. Search dan baca sekadarnya perihal cerita tanahair dan luar negara. Masuk ke laman sosial pula, pelbagai perkara boleh jumpa.

Cuma ada satu perkara yang membuatkan saya terpanggil untuk berkongsi di sini. Itupun selepas melihatkan video ini dan ini.

Sebenarnya ada kebimbangan di hati saya perihal masyarakat Islam kini yang mengalami 'kerabunan' sensitiviti terhadap isu-isu berkaitan agama Islam sendiri. Dan sudah tentu bukan saya sahaja yang berperasaan begini.

Mungkin yang mereka cipta dan pengarah video di atas dan banyak lagi seumpamanya hanyalah atas dasar kepentingan politik atau kepentingan kepartian, atau mungkin juga kepentingan peribadi...namun yang saya sentuh di sini bukanlah isu politik tetapi isu agama Islam yang diperkotak-katikkan.

Boleh jadi juga yang melakonnya tidak mengetahui ataupun tidak pernah mempelajari berkaitan isu-isu agama yang disentuhnya. Namun, bagi yang merasakan diri mereka tidak mengetahui isu-isu yang berkaitan agama, sama ada dasar, hukum dan sebagainya...eloklah berdiam diri tanpa menyuarakan apa-apa. Itu adalah lebih baik daripada terus sesat dan menyesatkan manusia lain. .

Itu yang berkaitan video sahaja, belum sentuh mengenai cerita-cerita di dalam filem dan drama yang sewenang-wenangnya menyentuh isu-isu agama dengan tidak selayaknya. Sehinggakan isu mempersendakan pemakaian yang menutup aurat, para ustaz dan ustazah dan sebagainya.

Adalah sesuatu yang menyedihkan bilamana media baru yang serba canggih dan terbuka ini membuka ruang seluas-luasnya kepada penggunanya untuk mencari seberapa banyak ilmu pengetahuan ini di salah gunakan.Orang Islam yang mengaku beriman sendiri sanggup menggunakan medium ini belandaskan hawa nafsu semata-mata tanpa rasa was-was mahupun rasa bersalah.

Apa yang penting, sebelum bebas membuat penilaian berdasarkan akal dan emosi..adalah lebih baik mengkaji sesuatu perkara itu terlebih dahulu berdasarkan sumber perundangan utama kita iaitu Al Quran dan As Sunnah. Yang baru belajar adalah tidak sepatutnya menjadikan medium ini sebagai guru utama...malah carilah guru yang mursyid dan alim sebagai tempat bertanya dan bersoal-jawab.


Bagi ibu bapa yang mempunyai anak-anak, sudah tentu waktu ini masa mereka mempelajari banyak perkara. Menjadi peranan ibu bapa mengawasi dan memberi bimbingan kepada anak-anak dalam melayari medium baru ini. Semoga anak-anak kita membesar dengan kecerahan akal dan minda yang sihat mendorong melaksanakan kebaikan seterusnya menjadi daie dan khalifah Allah yang diredhai.
Sekadar buah pandangan.Semoga dapat manfaat bersama. Wallahu 'alam.

08 December 2011 Tags: 0 comments

::Mengatasi Masalah Anak-Anak::

Assalamualaikum...kembali bertamu.


Saya  terkenangkan anak-anak didik saya di sekolah, mengenai akhlak dan perangai mereka.Yang nakal sikit-sikit tu bolehlah dikatakan 'biasa' bagi seorang kanak-kanak. Yang suka bermain dan ingin tahu dalam pelbagai perkara.Yalah,nama pun kanak-kanak yang didefinasikan sebagai budak atau anak kecil iaitu manusia yang muda masih belum mencapai baligh. 

Namun, jika perangai nakal itu berubah kepada nakal melampau sehingga terjebak dengan gejala sosial seperti anak-anak yang lari dari rumah, bergaul dengan remaja yang rosak akhlak, berzina, menagih dadah, melawan ibu-bapa, kasar serta biadab dengan ibu bapa dan seumpamanya, itu adalah sesuatu yang perlu ditegah dan diambil berat oleh semua.

Maka di dalam artikle ini memberi panduan bagaimana kaedah Islam mengajar ibu bapa khasnya menyelesaikan anak-anak yang sebegini.

Di antara yang biasa dilakukan oleh perawat ialah membaca doa-doa tertentu pada air seperti 

Surah al-Fatihah, 
Doa Pelembut Hati (Surah Taha ayat 1 hingga 5), 
Selawat Syifa’, 
Selawat Tafrijiyah,
Doa Menghindar Maksiat (Surah al-Mu’min ayat 3) 
dan beberapa doa-doa yang lain

Air yang telah dibacakan dengan doa ini diberi minum kepada anak-anak yang bermasalah ini juga dibuat bilasan mandi.
Salah satu ikhtiar yang sangat mujarab bagi mengatasi anak-anak yang suka melawan ibu-bapa ialah dengan memberi minum anak-anak ini dengan air tadahan lebihan wuduk ibu-bapa. Caranya seperti berikut;
 

1. Ibu dan bapa terlebih dahulu membersihkan semua anggota wuduk dengan sabun. Anggota-anggota wuduk ini termasuk yang rukun dan sunat iaitu mulut, hidung, muka, kedua tangan, kepala, kedua-dua telinga dan kaki hingga buku lali.
2. Setelah dibersihkan anggota-anggota wuduk tersebut, gunakan air minuman atau air mineral untuk mengambil wuduk.
3. Cara yang mudah, duduk di atas kerusi dan letakkan baldi di bahagian antara kedua belah kaki. Biar isteri tolong menuangkan air untuk mengambil wuduk.
4. Membasuh semua anggota wuduk tiga kali. Mulakan dengan membaca bismillah. Basuh kedua belah tapak tangan diikuti dengan berkumur-kumur, membersihkan hidung. Pastikan air yang telah digunakan untuk membasuh tapak tangan dan berkumur-kumur masuk ke dalam baldi.
5. Berniat mengambil wuduk diikuti membasuh muka, seterusnya membasuh kedua tangan hingga ke siku, menyapu sedikit air di bahagian kepala, membasuh telinga dan akhir sekali membasuh kedua belah kaki hingga ke buku lali.
6. Setelah suami selesai, isteri pula mengambil wuduk dengan cara yang sama manakala suami pula yang membantu menuangkan air.
7. Setelah selesai, air lebihan wuduk yang terkumpul di dalam baldi tersebut dicampurkan dengan air biasa.
8. Beri minum air tersebut dan Mandikan anak-anak yang bermasalah dengan air tersebut. Insya’Allah dia akan menjadi anak yang patuh kepada kedua ibu-bapanya.



Pencegahan Awal


Terjemahannya: Ya Allah, jauhkan syaitan daripada kami dan jauhkan syaitan daripada anak yang akan Engkau anugerahkan kepada kami.


p/s:Mungkin bagi guru-guru yang menghadapi masalah pelajar yang nakal juga boleh melakukan kaedah ini.Wallahu 'alam.

30 November 2011 Tags: 1 comments

Kekal solo?

Assalamualaikum dan Salam Ziarah di musim cuti persekolahan...

Alhamdulillah musim ini pelbagai projek yang dirancang untuk memenuhinya...dan rata-rata orang memilih untuk melangsungkan perkahwinan dan mengadakan majlis Walimatul 'Arus.Tidak kurang juga yang merancang untuk bertunang.Buktinya di dalam diari tercatat 2 atau 3 majlis yang diundang dalam masa sehari. Ahlamdulillah, kiranya telah sampai jodoh masing-masing.Semoga mahligai yang dibina kekal mawaddah wa rahmat hingga ke syurga.

Kekal solo? Kenapa tajuknya demikian? Saya telah terbaca sebuah artikle mengenai tajuk ini.Begitu tertarik dengan isi di dalamnya maka, saya suka untuk berkongsi di sini.

Sebaik sahaja angka usia mencecah 30-an, hati sang gadis gundah gelana memikirkan nasib diri.Adakah mereka ditakdirkan dihup membujang apabila diri tidak juga disunting oleh mana-mana kumbang.Apatah lagi setelah usia mencecah ke angka 40-an.Harapan hidup sebagai isteri dan ibu sedikit demi sedikit mula pudar.Malah perasaan itu semakin menipis selari dengan pertambahan usia.Ya, mereka mungkin ditakdirkan untuk hidup solo!

Sebenarnya hidup solo bukanlah sesuatu yang luar biasa terjadi pada masa kini. Ramai wanita yang masih bujang walaupun usia telah mencecah 40-an dan 50-an. Mungkin ada juga yang diantaranya telah memilih untuk hidup membujang atas pelbagai faktor. Namun, ramai juga yang membujang bukan atas pilihan sendiri.Mungkin jodohnya belum sampai. Puas berusaha namun jejaka pilihan masih juga belum ditemui.Keluarga asyik bertanya bila hendak berkahwin?.Terfikir juga untuk hidup berkeluarga dengan mempunyai suami dan anak-anak sebagai penyambung keturunan. Bila melihat teman-teman sebaya yang telah mempunyai anak yang sudah besar perasaan juga semakin tertekan. Kenapakah aku masih solo? Siapakah yang tidak tertekan begini?

Andai ada yang mengalami situasi begini, usahlah terlalu kecewa, sedih, malu dan tertekan kerana diri ini pilihan Allah untuk kekal membujang.Ianya adalah sesuatu yang istimewa.Mungkin jodoh ada di syurga nanti, siapa tahu?Di dunia ini ada tanggungjawab dan dan peranan besar yang harus dipikul dan dilunasi. Mungkin sekiranya anda berkeluarga, anda tidak dapat menjalankan tanggungjawab tersebut dengan sebaik mungkin. Hanya Allah jua yang Maha Mengetahui.

Apa yang perlu dilakukan ialah, kuatkan minda sebelum anda boleh mempertahankan diri di mata masyarakat yang segelintirnya memandang rendah kepada gadis yang berusia.Jika ada yang menyindir, kononnya anda tidak laku, katakan dengan tegas anda bahagia dengan hidup anda dan soal jodoh serahkan kepada tuhan. Jangan pula rasa rendah diri dan sedih.Soal jodoh adalah sesuatu yang cukup misteri.

Jadi, jangan stress dengan sesuatu yang masih belum pasti.Sekarang inipun berapa ramai yang kita lihat bertemu jodoh di usia 40-an?Malah ada yang bergelar isteri buat kali pertama di usia 50-an.Itu bukan lagi perkara yang mustahil.

Sekiranya anda masih lagi menyimpan hasrat untuk mendirikan rumahtangga suatu masa nanti,diri sendiri perlu berfikiran lebih terbuka. Bukan bermakna selama ini kita memilih dalam mencari pasangan hidup, tetapi perlu lebih praktikal.Maksudnya, di usia ini anda harus membuka peluang kepada mana-mana lelaki sahaja yang ingin mendekati anda,asalkan dia baik dan dapat membimbing anda dunia dan akhirat.Tidak kiralah yang muda, yang bujang terlajak, duda mahupun suami orang.Ini kerana tidak dinafikan di usia anda pilihan sudah semakin kurang.

Apapun, soal rezeki,jodoh hidup dan mati semuanya ditangan yang Maha Berkuasa. Apa yang penting berdoalah dan mohonlah kepada Allah agar apa yang ada pada kita hari ini merupakan jalan yang terbaik yang terus mendorong kita ke jalan yang diredhai.
Solo atau berkahwin, kedua-duanya punyai nilai dan value sendiri...

Semoga perkongsian ini bermanfaat untuk semua..

18 November 2011 Tags: 0 comments

::Siapakah Siti Fatimah Binti Maimun?::

Assalamualaikum...
Salam Ziarah di Sayyidul Ayyam...hari terakhir persekolahan 2011 merangkap hari yang paling sibuk dalam sejarah hehe.
Sejurus tiba di teratak bonda, seperti biasa tidak terlepas menonton 'Usrah" yang dikendalikan oleh Ustazah Asni Mansur. Hati begitu tertambat dan teringin benar untuk menghadam siapakah tokoh wanita yang disebut-sebut di dalam rancangan hari ini.Cuba amati dan search di kotak minda...rasa-rasa pernah mendengar nama ini,namun mungkin telah lama dan tersimpan di stor memori.
Tokoh yang disebutkan adalah Siti Fatimah Binti Maimun  iaitu salah seorang penyebar agama Islam yang pertama di Pulau Jawa.Apa yang amat-amat menarik minat saya ialah beliau merupakan seorang wanita sufi yang dikatakan telah lama menyebarkan agama Islam di Tanah Jawa lebih awal daripada wali songo.Dan usianya ketika memulakan dakwah iaitu 17 tahun.
Nama penuh beliau ialah Fatimah binti Maimun Dewi Ratna Swari. Beliau puteri kepada Sayyid Maimun Sultan Kedah Malaka (Malaysia) yang bergelar Sultan Mahmud Mahdad Alim.Beliau termasuk seorang wanita yang mempunyai ilmu yang tinggi dan pendakwah Islamiyah yang sangat alim.Pernah diceritakan beliau dengan ikhlas menyediakan dirinya untuk bertemu Raja Mojopahit yang beragama Hindu untuk menyebarkan Islam.
Fatimah binti Maimun meninggal dunia pada tahun 1082 Masihi.Makam beliau terletak di Desa Leran Kecamatan Manyar kira-kira sejauh 5 km arah barat kota Gresik di Jawa Timur.
 Inilah makam Siti Fatimah Binti Maimun di Jawa Timur

Menurut ahli Arkeologi makamnya merupakan Makam Islam tertua di Asia Tenggara. Bentuk Makamnya sangat unik, karena berbentuk Cungkup yang dinding dan atapnya semua terbuat dari batu putih kuno.Walaupun Cungkup Makam beliau mirip dengan bentuk Candi, dikatakan Cungkup tersebut memang dibangun oleh Raja Mojopahit untuk menebus perlakuannya yang kurang bersahabat terhadap utusan Raja Kamboja yang ternyata bermaksud baik
Apa yang menarik mengenai beliau, dikatakan Fatimah termasuk dikalangan Ahli Bait Rasulullah s.a.w kerana salasilah nasabnya  sampai kepada Fatimah binti Rasulullah SAW. Fatimah binti Rasulullah SAW adalah isteri Sayyidina Ali bin Abi Talib.

Berikut adalah salasilah keturunan Fatimah binti Maimun :
Sayyidina Ali bin Abi Thalib
Sayyid Al Imam Husain
Sayyid Al Imam Zainal Abidin
Sayyid Muhammad Al Bakir
Sayyid Al Imam Ja'far Shodiq
Sayyid Ali Al 'Uroidli
Sayyid Sulaiman Al Bishri
Sayyid Abu Yazid Al Bishri
Sayyid Ahmad Al Baruni
Sayyid Idris Al Malik
Sayyid Muqoddam Shiddiq
Sayyid Hibbatullah
Sayyid Maimun
Fatimah binti Maimun 

Kebenaran daripada sejarah ini hanya Allah yang mengetahuinya namun cari-gali dan bukti-bukti yang ditemui oleh para pengkaji sejarah dapat merungkaikan kesahihannya.
Sebagai kesimpulannya,apa yang penting dapat dilihat di sini ialah peranan wanita lebih-lebih lagi para remaja dalam menyampaikan dakwah Islamiyyah telah terbukti sejak sekian lama.Bermula dengan para ummahatul mukminin, disusuri para pendakwah bebas di awal penyebaran Islam di Asia Tenggara sampai ke Malaysia dan akhirnya sampai kepada kita pada masa kini.
Bersyukurlah atas nikmat agama yang sampai kepada kita dengan menjadi mata rantai perjuangan ini.Semoga Islam akan terus bersinar sehinggalah ke akhirnya.Wallahu alam.

09 November 2011 Tags: 0 comments

::Buat yang prihatin::

Assalamualaikum dan salam ziarah buat semua...harapnya belum terlambat untuk mengucapkan Salam Eiduladha buat semua(walaupun gema takbir raya telah berakhir petang tadi) Apapun, sama-samalah kita menghayati semangat pengorbanan yang telah ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim a.s dan anaknya Ismail a.s.
Akhir tahun yang begini kesudahannya lebih-lebih lagi di akhir-akhir musim persekolahan...perlulah menyiapkan mana-mana kerja yang tertangguh dan ujian akhir tahun perlu diselesaikan.Namun,sempat saya mencuri-curi mencari ilmu lebih-lebih lagi ilmu keibubapaan buat pedoman mendidik si kecilku yang semakin membesar kini.

Jika Sultan Muhammad Al Fateh menguasai 6 bahasa pada umurnya belasan tahun, bagaimanakah dengan anak muda masyarakat kita yang sebaya denganya ketika ini? Kebanyakkannya sedang sibuk bercinta monyet, merempit, mencuba apa yang terlarang dan sebagainya. Nauzubillah.. Bukannya ibubapa mereka tidak mempunyai cita-cita dahulu. Tentu mereka juga mahu anak mereka berjaya. Mungkin ada antara mereka ini adalah kanak-kanak bijak. Hebat membaca atau hebat matematik pada umur yang sangat muda. Tetapi..

Ikutilah jejak langkah Ibu Sultan Muhammad Al Fateh.. mulakan didikan anak dengan al Quran.

Petikan di atas saya ambil di sebuah blog yang saya baca kini.Ianya menarik dan banyak panduan yang boleh digunakan bagi mendidik anak-anak.

Melihatkan situasi anakanda Aufa yang cepat belajar,saya telah mulakan dengan pengajaran Al-Quran yang diperdengarkannya saban hari. Harapnya tip-tip yang telah menjadi panduan saya berkesan buatnya dan dia dapat belajar dengan baik.Semoga anakanda membesar sebagai srikandi solehah di dunia dan akhirat sana.
Sekadar sebuah perkongsian...

16 October 2011 Tags: 0 comments

Salam buat semua

Assalamualaikum warahmatullah....
Kaifa halukum rakan-rakan maya sekalian...:)
Lama rasanya tidak mencoret sesuatu di laman maya ini.Sekadar jenguk dan jenguk sahaja.Melihat tarikh entri post terakhir di blog,rasanya dekat sebulan juga.Cuma baru-baru ini tukar rumah baru pula, dah macam kanak-kanak riang gayanya hehe.
Kekangan masa mambuatkan saya terpaksa memilih  aktiviti yang penting-penting sahaja (dah macam sibuk sangat je :D)Namun hakikatnya begitulah...lumrah hidup sebagai insan biasa,tanggungjawab perlu dilunaskan.Sebagai pendidik ,ibu, anak dan yang paling penting sebagai hamba Allah yang mendambakan syurgaNya.
Senggang waktu yang berlalu pelbagai peristiwa suka dan duka yang dilalui...perubahan demi perubahan yang dicipta dan kekadangnya dipaksa melaluinya. Kekadang perasaan bercampur-baur datang, silih berganti rupanya.  
Begitulah hakikat dunia semakin hari semakin banyak transformasi...Yalah, sedang dunia juga sudah semakin tua. Bagaimana pula kita?Masakan mahu duduk ditakuk yang sama juga? Mengambil contoh melihat situasi pendidik-pendidik di sekolah, rata-ratanya telah menyambung kursus ke peringkat yang lebih tinggi. Satu kebanggaan juga apabila layak digelar 'student' kembali.Kekadang seronok melihat aksi student-student baru berbincang lagak study group..seronok dan menggamit nostalgia di alam pelajaran.Keseronokan menadah kitab di depan syeikh dan syekhah, demi mencari bekalan didada.Rindu pada situasi itu.Dan saya juga menyimpan hajat yang sama.Semoga hajat saya dikabul olehNya.
Buat akhir kalam ini, sekalung ucapan tahniah buat sahabat-sahabat juga saudara mara yang akan melangsungkan perkahwinan tidak lama lagi juga tahniah atas kelahiran cahaya mata.Semoga dengan kehidupan baru yang terbina akan membawa rahmat buat kalian disulami mawaddah dan rahmat semuanya...

16 September 2011 Tags: 1 comments

Ya Akhi Muslim,
Wahai putera Islam,wahai putera al-Quds,wahai putera Palestin,wahai putera harapan yang dicita-citakan...

Wahai putera Islam yang kita tunggu-tunggu untuk menghapuskan longgakan sampah sarap ini.Angkatlah bendera Islam!!!

Wahai putera Islam yang diharapkan untuk mencapai kemuliaan yang teguh...

Wahai putera Islam yang ditunggu-tunggu menjadi sumber kebaikan,kemuliaan dan kehidupan,dimana kamu sekarang?

Marilah...sambutlah harapan yang dicita-citakan ini.

Jadilah kamu hamba Allah taala yang sujud,yang rukuk, yang berzikir dan yang membaca.

Bulatkanlah tenaga dan kemahuanmu, belajarlah dan kuatkan azam mu untuk menjadi tentera Allah taala yang ikhlas.

Aku menyerumu dgn sepenuh ketulusan cintaku kepadamu, supaya kamu bercita-cita dan terus berusaha untuk merialisasikannya dan beramal kerananya...

Tidak ada cita-cita yang lebih besar daripada Islam dan tidak ada permulaan dan kesudahan yang lebih mulia daripadanya...

(Abbas Assisi)

05 September 2011 Tags: 0 comments

::Kisah Kehidupan::

Sekadar bercerita sebuah kisah kehidupan...
Semalam saya ke sekolah seperti biasa...menjalani rutin biasa seorang guru. Entah mengapa, sejak akhir-akhir ini saya sedikit garang dengan mereka..apabila tugas yang diberi tidak dilangsaikan, lebih-lebih lagi murid-murid di kelas ke2.Tangan saya cepat juga mengutil peha hehe.Rotan?Oh tidak sama sekali...:D

Apabila tiba di waktu P n P Bahasa Arab yang kebiasaannya kelas di penghujung waktu, di tambah kondisi pelajar yang sudah penat..maka mood mereka juga sudah layu untuk sebuah kelas mempelajari bahasa.Maka satu cabaranlah bagi saya untuk memupuk mereka mendengar apa yang bakal diajar dengan baik. Kesian juga bila mana ada pelajar yang sudah terjelepuk di bawah meja mengadu lapar...hehe.

Dan semalam saya telah mendenda seorang pelajar yang agak lemah di dalam pelajaran, masih tidak fasih dalam membaca biarpun telah di tahun 3.Saya meminta menyiapkan tugasan,sedangkan kawan-kawannya sudah pulang.

Seorang anak yang istimewa di mata saya, juga anak yatim yang dikasihi Rasulullah...bapanya baru beberapa bulan kembali mengadap ilahi akibat sakit. Tulus hati saya amat menyayangi dia.
Sedang dia tekun dihadapan saya, saya melontarkan beberapa soalan pada dia dengan niat saya untuk membangkitkan motivasi dirinya..
Saya: Asyraf sebelum pergi sekolah ada tak mak pesan supaya belajar rajin-rajin?
Asyraf : Tak ada.(sambil dia geleng kepala)
Saya: Kalau Asyraf tak usaha rajin-rajin besar nanti kena kerja menoreh getah nak ke?
Asyraf : Menoreh getah dapat banyak duit. ( Saya tersenyum dengan jawapannya)
Saya: Dulu masa ayah ada, ada tak ayah pesan supaya belajar rajin-rajin?
Asyraf : Tak ada gak..(dia terus menulis)
Saya: Ayah tak ada pesan apa-apa? (saya tanya lagi kemudian dia pandang saya)
Asyraf : Ada, ayah kata kalau jual 2 guni getah dapat seribu..(RM1000)
Saya terdiam, asyik-asyik getah juga yang diulang...

Pada saya, dia sebagai kanak-kanak tidak bersalah untuk berfikir demikian..nampak juga matlamat belajar hanya untuk mencari pekerjaan nanti..Ya, kini duit boleh dapat dengan mudahnya. Kerja tanpa ilmu juga boleh buat duit.Namun yang bersalah ibu bapa yang mencoraknya..belajar untuk mencari ilmu..itu yang sewajarnya.

Moralnya, peranan ibu bapa perlu bagi memotivasikan anak-anak yang masih diusia kanak-kanak. Jika dorongan yang diberi salah ditafsirkan, maka impaknya juga akan menjadi salah. Maka, tindakan juga akan salah.

Ingatlah "Anak-anak ibarat kain putih, maka ibu bapanya yang mencorakkan sama ada Yahudi, Nasrani atau Majusi"
Wallahu a'lam

30 August 2011 Tags: 0 comments

::Salam Eidul Fitri~Mari ikut Sunnnah Nabi::


Kullu 'am wa antum bil khair
Eidulfitri sudah tiba, menandakan kita sudah meninggalkan madrasah Ramadhan..bagaimanakah result dan natijah Ramadhan kita? Adakah Mumtaz atau Jayyid Jiddan atau juga Jayyid sahaja? Amat malang jika result yang diperolehi Rosid..nauzubillah.
Untuk memperolehi keputusan yang mumtaz jiddan elok juga kita dalami 10 sunnah Rasulullah dalam kita merayakan hari kemenangan ini.

1. Bertakbir 
Takbir pada hari Aidilfitri bermula ketika terlihatnya anak bulan dan berakhir setelah selesainya imam membaca khutbah. Disunatkan juga  untuk kita bertakbir di sepanjang perjalanan dari rumah menuju ke masjid utk menunaikan solat aidilfitri.
2. Lafaz ucapan selamat 

Majoriti amalan umat islam di Malaysia akan mengucapkan antara satu sama lain pada hari lebaaran dengan ucapan ‘selamat hari raya, Maaf zahir batin’. Namun diceritakan al-hafiz Ibn Hajar al-Asqalani r.h yang dinukilkan daripada Jubair Nufair r.a katanya :- ” Apabila para sahabat Rasulullah s.a.w bertemu di hari Raya, sebahagian mereka mengucapkan kepada yang lain “taqabbalullah minna waminka”(semoga Allah menerima amalan kami dan amalanmu [waminka di atas boleh ditukar kepada waminkum untuk diucapkan kepada orang ramai] ).”
3. Meneruskan Qiamullail
Jika sepanjang Ramdahan kita telah bersungguh-sungguh menghidupkan malam kita dengan pelbagai ibadah contohnya melalui solat tarawih, maka ia seharusnya diteruskan juga pada hari-hari berikutnya dengan mengerjakan solat tahajjud.
4. Mandi sunat pagi hari raya 
Disunatkan mandi di pagi hari raya sebagaimana mandi wajib iaitu sebelum berangkat menuju ke tempat perlaksanaan solat aidilfitri.

5. Makan sebelum solat Aidilfitri
Disunatkan kaum muslimin menjamah makanan sebelum berangkat menunaikan solat Aidilfitri. Perbuatan ini bertujuan menutup segala andaian bahawa dibenarkan berpuasa pada hari raya.  Kebiasaannya Rasullullah s.a.w akan memakan kurma dalam jumlah yang ganjil pada pagi hari raya. Namun, tidak bermakna umat islam perlu menyediakan buah kurma untuk dimakan pada hari raya Aidilfitri.Mereka bebas memakan apa sahaja.
6. Memakai pakaian yang indah
Disunatkan kamu muslimin memilih pakaian yang terbaik serta indah-indah mengikut kemampuan masing-masing untuk menuju tempat solat. Disunatkan juga kaum lelaki memakai wangi-wangian tetapi tidak disunatkan kepada kaum wanita.
7. Berjalan kaki menuju tempat dikerjakan solat hari raya
Berjalan kaki menuju ke tempat solat lebih afdal berbanding menaiki kenderaan. Disunatkan juga mengikut jalan yang berbeza ketika pergi dan kembali dari mengerjakan solat hari raya. Ada pendapat menyatakan ia dilakukan agar dapat bersalam dengan orang-orang yang melalui kedua-dua jalan itu. Selain itu, orang yang berjalan ke masjid, salah satu langkah kakinya akan meninggikan darjat.
8. Mengerjakan solat aidilfitri
Syiar yang paling utama dalam menyambut Aidilfitri adalah perlaksanaan solat Aidilfitri sebanyak 2 rakaat oleh seluruh umat islam.
9. Bergembira pada Hari Raya Aidilfitri
Setelah sebulan umat islam memberi tumpuan sepenuhnya untuk beribadah kepada Allah s.w.t, makan tiba masanya untuk menyambut kejayaan itu dengan kegembiraan dan kemeriahan. Suasana kegembiraan ini berbeza mengikut adat setempat. Bagi kita di Malaysia, kegembiraan sambutan hari raya aidilfitri dapat dilihat dengan memakai baju-baju baru yang indah , selutruh ahli keluarga berkumpul, ziarah-menziarah sesama umat islam.
10. Puasa sunat 6 hari pada bulan Syawal
Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadahan lalu diiringi dengan puasa 6 hari di bulan Syawal, seolah-olah dia telah berpuasa setahun.
Cara paling afdal untuk melaksanakannya adalah memulakan berpuasa sesudah hari raya secara berturut-turut (bermula pada 2 syawal. Namun seseorang bebas memilih mana-mana hari sepanjang bulan syawal samada secara berturut-turut atau berpisah-pisah.
Semoga dengan amalan yang digariskan ini akan terus mendidik jiwa kita menjadi insan yg muttaqin..

28 August 2011 Tags: 0 comments

::Diari Pendidik, Majlis Penutup Program Ihya' Ramadhan dan Khatam Al Quran::

Alhamdulillah dengan izin Allah jua program Ihya Ramadhan 1432H dapat dijayakan dengan jayanya. Program tadarus dimulakan tanggal 1 Ramadhan 1432H bersamaan 1 Ogos 2011.Setelah 3 kali khatam bacaan yang di ambil bahagian oleh murid-murid tahap 2 sepanjang ramadhan, akhirnya tanggal 26 Ramadhan bersamaan 26 Ogos 2011 majlis Penutupan dan Khatam Al Quran telah selesai diadakan dengan meriahnya. Semoga objektif yang telah digarapkan kepada para pelajar dan guru-guru telah tercapai.
Berikut bebarapa foto yang sempat dirakamkan...


 
GB Tn Hj Azmi Hj Muhammad menyampaikan bunga telur kepada peserta
Ust Rodzi menyampaikan bunga telur kepada semua guru
Sebelum majlis dilangsungkan murid-murid berzikir munajat bersama-sama, diikuti bacaan yasin dan solat dhuha.
Selain daripada itu, acara penyampaikan bantuan kepada pelajar miskin dan pembahagian duit raya kepada semua pelajar.
Acara penutup adalah Salam Wada' antara murid-murid dan semua guru-guru sebelum pulang.
Semoga program mengimarahkan Ramadhan ini dapat diteruskan dari semasa ke semasa.

.

.